PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Thursday, January 2, 2014

MENGGENGGAM AMANAH ILMU


Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh

Ribuan kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana masih memberi peluang untuk berada di atmosfera Islam dan bernafas di bumiNya. Selawat dan salam diucapkan kepada baginda Rasulullah SAW utusan Allah memancarkan sinar Islam di pelusuk dunia. Sabda Nabi Muhammad SAW;

من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين

“Sesiapa yang ingin Allah berikan kebaikan padaNya akan diberi kefaqihan dalam agama”

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,

            Musim imtihan kembali menjengah mahasiswa mahasiswi di Perlembahan Nil. Medan peperiksaan wajar dijadikan sebagai salah satu platform menekuni setiap ilmu yang diperoleh di samping mengukur kefahaman masing-masing.

            Kefahaman merupakan elemen penting dalam melaksanakan gerak kerja Islam sehingga Imam Hasan al-Banna meletakkan al-Fahmu sebagai rukun baiah yang pertama. Apabila telah tertanam kefahaman di dalam diri, maka disitulah titik pemula untuk kita bergerak menjulang Islam sehingga ia kembali berada di puncak tertinggi. Memetik satu kalam yang dinukilkan oleh Imam Syafie;      
"Aku mampu berhujah dengan sepuluh orang yang berilmu tapi aku pasti kalah berhujah dengan seorang yang jahil kerana seorang yang jahil tidak pernah faham landasan ilmu."

Sahabat-sahabat sekalian,

Ingatlah bahawasanya di bahu kalian terpundak satu amanah yang besar sebagai duta di tempat masing-masing kelak. Perjalanan menggali ilmu wajar didasari dengan usaha yang gigih dan keikhlasan dalam meruntuhkan benteng kejahilan yang bersarang dalam diri. Sahutlah seruan Allah melalui firmanNya;

فَلَوْلَا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

“Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.”

(Surah at-Taubah 9:122)

Melihat kepada fenomena masyarakat semasa, maka kita akan menyedari kepentingan melaksanakan tanggungjawab ini kerana kurangnya para penuntut ilmu bergerak di lapangan mereka. Sorotilah perjuangan para sahabat yang menjadi utusan menyebarluaskan ajaran Islam.  Amru bin al-Asr dan Abdullah bin Huzafah adalah nama-nama yang dirakam di langit sejarah dalam menjadi ejen pengenalan Islam kepada umat manusia.

Mahasiswa mahasiswi sekalian,

Suka saya menyeru kepada semua agar menyahut subtopik yang kelima dalam ucaptama Yang Dipertua; “Kecemerlangan Akademik Dan Thaqafah Teras Mahasiswa Berkredibiliti”. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah meningkatkan ubudiah kepada Allah dan menambah ilmu di dalam diri selaras dengan tujuan penubuhan KPT Mesir iaitu; Meningkatkan ilmu pengetahuan, kefahaman dan kesedaran dalam kalangan anggota. Pasakkan azam di dalam diri demi melihat lahirnya generasi terbilang yang mampu mengulangi sejarah kegemilangan tamadun ilmu zaman Abbasiah yang pernah berkilau suatu masa dahulu. Namun aspek kemasyarakatan jangan pernah dilupa kerana itu antara sumber kekuatan yang kian sirna.

Ayuh laksanakan pecutan memacu tali kefahaman untuk diterjemahkan ke dalam medan yang ada. Jangan lupa meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada pemilik segala kekuasaan.  Firman Allah SWT yang bermaksud;

"Katakanlah (wahai Muhammad) Ya Allah! Engkau pemilik segala kekuasaan, Engkau memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau mencabutnya dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Dan Engkau memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Padamu kekuasaan untuk mengurniakan kebaikan, sesungguhnya Engkaulah yang meliputi segala kekuatan."

(Surah Ali Imran 3:26)

 “Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”
“Berilmu dan Beramal”


SITI AMINAH ISMAIL,
NAIB PENGERUSI,
HAL EHWAL WANITA ISLAM,
KELUARGA PENUNTUT-PENUNTUT TERENGGANU MESIR,

SESI 2013/2014.