PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Friday, April 27, 2012

HABLUMMINALLAH, HABLUMMINANNAS



Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasihani
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera kepada sahabat-sahabat seperjuangan sekalian.

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana dengan izinnya dapat kita menikmati dua nikmat yang cukup besar iaitu nikmat kesihatan dan nikmat masa lapang. Dengan dua nikmat ini kita dapat meneruskan kehidupan kita sebagai seorang muslim yang memakmurkan bumi ini dengan pelbagai agenda dakwah, tarbiah dan sebagainya.

Selawat dan salam kepada junjungan mulia Rasulullah S.A.W, para sahabat yang menjadi pendokong setia perjuangan baginda dan seterusnya penolong-penolong agama Allah sekalian.


Mahasiswa dan mahasiswi yang dirahmati Allah sekalin,

Pertamanya salam imtihan diucapkan kepada seluruh mahasisiwi yang bakal menduduki imtihan tidak lama lagi, semoga kita semua berjaya. Fatrah imtihan merupakan fatrah perjuangan bagi kita untuk mendapatkan kejayaan setelah bertungkus lumus menuntut ilmu sepanjang sesi pengkuliahan kemudian ilmu yang telah dipelajari itu akan diuji untuk memastikan kita benar-benar mendalami ilmu yang dipelajari atau pun sebaliknya.

Inilah tugas sebagai seorang pelajar, nak tengok sejauh manakah ilmu yang dipelajari melekat dalam diri dan juga sejauh mana kefahaman tentang ilmu itu pada diri sendiri.


'Kesihatan yang hilang boleh diperoleh dengan ubat-ubatan yang baik tetapi masa yang hilang sekali hilang akan terus hilang'.

Berdasarkan kata-kata tersebut dapatlah kita simpulkan bahawasanya masa yang berbaki ini hendaklah digunakan sebaiknya supaya kita tidak menyesal di kemudian hari. Usaha dan ikhtiar itu adalah penting sebelum kitah menyerahkan urusan kita kepada Allah SWT sepenuhnya.

Setelah habis mengulangkaji, setelah khatam semua kitab-kitab dan setelah semua urusan kita dengan Allah dan sesama manusia telah selesai maka pada masa itu seharusnyalah kita bertawakkal kepada Allah SWT pula.

Jaga hubungan dengan Allah dan jaga hubungan dengan manusia ini menjadi kepentingan kepada kita semua kerana di dalam Al-Quran Allah ada menyebut di dalam surah Ali I'mran ayat 112 yang bermaksud:mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali(agama)Allah dan tali (perjanjian) manusia.


Dalam kita tidak sedar ada di kalangan kita secara sengaja atau tidak telah melukakan hati sahabat-sahabat kita yang lain.
Maka dengan itu, marilah kita gunakan kesempatan yang masih berbaki ini untuk memohon maaf dari mereka dan mendoakan insan-insan yang telah berkorban untuk kita ini.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda : “Barangsiapa telah berbuat kebaikan kepadamu, maka balaslah kebaikannya itu. Jika engkau tidak mendapati apa yang dapat membalas kebaikannya itu, maka berdo’alah untuknya hingga engkau menganggap bahwa engkau benar-benar telah membalas kebaikannya.” (Hadith Sahih Riwayat Ahmad)

Saya juga ingin menggunakan kesempatan ini untuk memohon maaf dari pada sahabat-sahabat atas segala kesalahan yang pernah saya lakukan secara sedar atau tidak. Semoga Allah memberkati atas segala usaha kalian.

Kepada sahabat-sahabat, panjatkanlah doa kepada Allah SWT semoga dipemudahkan urusan semasa menjawab soalan-soalan yang tertera pada kertas soalan nanti, yang penting di sini adalah, usaha itu adalah datangnya daripada kita sendiri.


Sekian sahaja untuk kali ini.bittaufiq wan najah fil imtihan lil islam.

Norlida bt Kelima
Ketua Unit Kebajikan & Kemanusiaan
HEWI PMRAM 2012

'MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN'
'JULANG KEILMUAN JANA KEIZZAHAN'   

Monday, April 23, 2012

MAKLUMAN PERTUKARAN PENGERUSI FELO MANHAL PMRAM 2012


Pengerusi Felo MANHAL PMRAM sebelum ini, Ustaz Mohd Hanif bin Haron telah digantikan dengan Saudara Muhammad Zuhaili bin Saiman melalui persetujuan dalam mesyuarat Badan Pengurus PMRAM 2012. Saudara Mohd Hanif bin Haron akan pulang ke Malaysia 8/5/2012 dan pihak MANHAL PMRAM mengucapkan ribuan penghargaan di atas sumbangan dan jasa beliau sepanjang keterlibatan dalam MANHAL PMRAM 2010-2011.

Nama
Muhamad Zuhaili bin Saiman

Asal
Serdang, Selangor.

Pengajian

- Graduan Ijazah Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar 2010
- Melanjutkan pengajian Master di :
1. Jurusan Fiqh Am, Al-Azhar (tahun 1)
2. Jurusan Syariah Islamiah, American Open Universiti

Keterlibatan dalam PMRAM


- Ketua Badan Ekonomi PMRAM 2008
- Naib Presiden III, (Ketua Lajnah Kebajikan &
  Kemanusiaan) PMRAM 2009

- Timbalan Presiden (Ketua Lajnah Perancang &
  Panitia) PMRAM 2010

- Presiden (Ketua Lajnah Perhubungan Antarabangsa & Pengerusi HEWI) PMRAM 2011
- Penasihat PMRAM 2012



 "Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar"

"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

Saturday, April 21, 2012

Peperiksaan Kelayakan Al-Azhar Di Malaysia


KAHERAH, 21 April – Majlis Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang dianggotai daripada Presiden Saudara Abdul Aziz bin Ali, Timbalan Presiden Saudara Zulhafeez bin Ahmad Zahidi, Naib Presiden I Saudara Ahmad Baihaki bin Rashid , Naib Presiden II Saudara Nur Ahmad Wafiy bin Noor Azri , Naib Presiden III Saudara Ahmad Huzaifah bin Fauzi , dan Setiausaha Agung Saudara Norhalis Syafiq bin Ahmad , telah mengadakan kunjungan hormat ke Education Malaysia Egypt (EME) di Pejabat EME, Mohandissien Kaherah pada Khamis yang lalu.

Kerjasama yang baik daripada PMRAM dan EME diteruskan oleh setiap generasi pimpinan PMRAM sekaligus membuktikan bahawa peranan PMRAM dalam memastikan kebajikan mahasiswa Islam terjaga terutama berkenaan dengan akademik bersama pihak EME.

Pertemuan ini dihadiri oleh Prof. Dr. HJ Su’aidi bin Dato’ Hj Safei yang merupakan Pengarah EME, En.Zulkifli bin Din, Atase Pendidikan dan turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah ASP En.Hashim bin Man, Assistant Security Liaison Officer, KBMK.

Kunjungan sekitar dua jam ini telah membincangkan beberapa usul penting yang melibatkan pelajar, antaranya ialah berkenaan Imtihan Qabul ( Peperiksaan Kelayakan Al-Azhar ) bagi mendapat penjelasan sendiri daripada Pengarah EME berhubung dengan perkara tersebut.

Dalam membincangkan perkara tersebut, beliau menegaskan bahawa selepas ini Imtihan Qabul sememangnya akan dilaksanakan di Malaysia di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Menurut Pengarah EME, setelah diteliti dan dikaji dari pelbagai aspek, persetujuan tersebut telah disepakati oleh pihak KPT dan Pentadbiran Al-Azhar.

PMRAM terus komited dalam memastikan hubung baik antara PMRAM dan pihak Kedutaan, khususnya EME dalam soal pendidikan.

 “PMRAM bersedia bertemu dengan mana-mana pihak dalam membincangkan hal yang berkaitan kemaslahatan pelajar, khususnya hal yang memberi manfaat kepada ahli PMRAM. Kita juga mengharapkan generasi graduan Mesir terus berkesinambungan sekalipun pelajar Malaysia terpaksa menghadapi beberapa siri ujian dan tapisan untuk datang ke Mesir. Kita percaya makin susah ujian yang di lalui, makin berkualiti hasil yang diperolehi,” ujar Presiden PMRAM 2012 Saudara Abdul Aziz bin Ali usai pertemuan tersebut.

Thursday, April 19, 2012

AURA IMTIHAN



[MONOLOG] Ya Allah, tersentak jantung tatkala mendengar perkhabaran doktor mengatakan imtihan akan diadakan 28.4.2012 ni. Ya Allah, kenapa awal sangat? Kuliah malas nak jejak, buku ada lagi yang tak beli, tutorial pula? Hurm, lagilah! Argh, tension! Rasa seperti nak menangis pun ada. Rasanya semacam ada tong gas jatuh atas kepala. 8 subjek untuk kali ini. Ujian Lisan? Al-Quran belum habis hafaz lagi. Kemudian ujian ulangan untuk subjek yang gagal tahun lepas pula. Aduh, bercabang otak memikirkan solusi masalah ini. Melihat pada cara masalah ini seperti tiada solusi.

Sahabat-sahabat sekalian, adakah anda mengalami suasana seperti sahabat kita di atas? Pasti ramai yang cuak dengan tarikh peperiksaan diawalkan. Tapi adakah tarikh peperiksaan yang harus dipersalahkan? Universiti al-Azhar? pilihanraya? inilah sifat semulajadi manusia suka menyalahkan orang lain. Cuba kita tanya pada diri kita, sebelum ini kemanakah kita menghilangkan diri tatkala kuliah rancak berlangsung? Mari soroti tip di bawah ini :-


TIP-TIP SEBULAN SEBELUM MENGHADAPI PEPERIKSAAN
1)  Bertenang dan jangan cemas.

 Anda perlu bertenang dan jangan cemas. Tiada faedah yang akan diperolehi sekiranya anda cemas keterlaluan. Selepas bertenang, buat penilaian apa tindakan yang akan diambil seterusnya. Rancang tindakan yang akan diambil dan disiplinkan diri untuk mengikut perancangan yang dibuat.

 2) Beri tumpuan lebih terhadap pembelajaran.

Letakkan seluruh tumpuan fikiran anda kepada proses pembelajaran yang anda lakukan. Jangan terlalu memikirkan bahawa anda kesuntukan masa. Hafal perkara yang sepatutnya dihafal seperti biasa dan jangan melengah-lengahkan masa belajar.


Meskipun anda cuba mengenepikan ketakutan dan kegelisahan yang anda alami itu, tetapi lama-kelamaan perasaan itu akan datang semula. Sekiranya hal ini berlaku, cuba alihkan diri anda dari tempat belajar untuk melakukan senaman ringan seperti berdiri sambil menarik dan melepaskan nafas panjang-panjang secara perlahan-lahan beberapa kali. Kemudian duduk semula dan cuba teruskan pembelajaran anda. Cara ini sekurang-kurangnya akan dapat mengurangkan perasaan anda yang tidak tenteram itu.

Sentiasa melazimi kuliah disaat akhir sebelum imtihan kerana “akhir muhadoroh miftahul imtihan” dan mengambil nota-nota tambahan doktorah serta muqorror dari kawan-kawan arab. Di samping itu juga, mengetahui teknik menjawab soalan yang dikehendaki oleh doktorah juga merupakan perkara penting ketika hendak menjawab soalan peperiksaan.

3) Yakin terhadap kebolehan diri.

Selalu tanamkan dalam diri anda bahawa “saya boleh” dan tulis besar-besar dan terang dan letakkan di hadapan anda (di tempat anda belajar). Tiap-tiap kali anda melihat kad itu anda yakin bahawa anda boleh berjaya.  Sekiranya anda dapat menanamkan dalam diri anda bahawa anda berkeyakinan penuh boleh melakukan, maka secara spontan anda berusaha bersungguh-sungguh dan mental anda dapat berfikir ke arah kejayaan dan apa-apa yang anda cita-citakan selama ini akan membuahkan kejayaan yang membanggakan.

4) Masa rehat perlu secukupnya.
Semasa belajar anda berasa cepat letih, sama ada dari segi fizikal atau mentalAmbil masa untuk otak anda berehat sepenuhnya.  Anda juga digalakkan bangun dan cuba berjalan-jalan sebentar dan setelah merasakan kelegaan barulah anda menyambung semula pembelajaran anda.

5) Hapuskan tabiat suka tidur.

Sebaiknya para pelajar tidak terlalu melayan keinginan untuk tidur dari belajar. Kurangkan waktu tidur anda demi meraih satu kejayaan. Gunakan lebih banyak masa mengulangkaji pelajaran di samping melakukan latihan-latihan sendiri supaya anda berkeyakinan. Jadualkan masa tidur anda supaya anda tidak terlebih tidur. Sekiranya anda hendak tidur beberapa jam, anda pelu mengunci jam dan letakkan jam loceng berhampiran anda supaya anda terjaga pada waktu yang dikehendaki.

6) Beri tumpuan lebih kepada bab yang penting.

Dalam keadaan sebegini, anda hanya sempat mempelajari bahagian-bahagian yang penting sahaja. Jangan beri tumpuan berlebihan kepada bahagian-bahagian yang kurang penting. Cuba pilih lima atau enam isi penting daripada satu-satu bahagian dan tuliskan isi-isi penting ini di atas kertas dan cuba ingat serta hafalkan. Anda tidak mempunyai masa yang cukup untuk mempelajari butir-butir yang kurang penting. Membuat soalan-soalan tahun lepas yang sering keluar sebagai latihan dapat membantu anda menumpukan bahagian yang patut dipelajari terlebih dahulu. Cuba pilih soalan-soalan yang mesti dijawab dan sediakan sekurang-kurangnya enam atau tujuh isi dari setiap soalan yang anda pilih.

7) Berdoa serta bertawakkal kepada Allah SWT.
        Kita sudah melakukan yang terbaik dan sehabis daya tetapi hasilnya adalah kekuasaan Allah SWT. Ingatlah sahabat, doa adalah senjata mukmin. Doa tanpa usaha itu adalah satu kebohongan dan usaha tanpa doa adalah satu kesombongan. Berdoalah selalu kerana Allah sangat merindui rintihan hamba-hambaNya.
        Untuk akhirnya, selamat menduduki peperiksaan. Sesungguhnya anda masih lagi mempunyai masa untuk mengulangkaji pelajaran selagi kaki belum melangkah ke dewan peperiksaan. Semoga kita mampu meraih kejayaan yang cemerlang di dunia dan di akhirat.


Disediakan oleh:-
UNIT AKADEMIK
HAL EHWAL WANITA ISLAM
Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu Mesir
Sesi 2011/2012

Monday, April 16, 2012

PEPERANGAN MU’TAH



Jamadil Awal

JamadilAwal merupakan bulan yang kelima daripada bulan-bulan Islam.Sebagaimana bulan-bulan yang lain Jamadil Awal juga mempunyai catatan sejarahnya tersendiri.

Pada bulan Jamadil Awal tahun ke-8 Hijrah telah berlaku peperangan Mu’tah di sebuah tempat yang bersempadan dengan Syam (karak) .Peperangan ini berlaku disebabkan terjadinya pembunuhan terhadap utusan Rasulullah s.a.w kepada Raja Busra di Syam iaitu  Al-Harith Ibn Umair Al-A’zdi. Ini menimbulkan kemarahan orang-orang Islam dan mereka telah menyiapkan 3 ribu tentera muslimin untuk menyerang Syam.

Peristiwa Peperangan

Peperangan ini tidak disertai oleh Rasulullah s.a.w. Oleh kerana itu peperangan ini dinamakan sebagai Ghazwah dan kerana banyaknya bilangan anggota tentera.Sebelum tentera Muslimin bertolak ke Syam, Rasulullah s.a.w telah bersabda  yang  bermaksud:

“Amir  kamu ialah Zaid  bin  Harithah.  Jika Zaid gugur,  maka Jaa’far akan menggantikannya.  Jika Jaa’far gugur,  Abdullah  bin  Ruwahah akan menggantikannya,  jika  Abdullah  gugur maka hendaklah kamu pilih orang yang kamu suka untuk menjadi ketua kamu ”.

Rasulullah juga telah berpesan kepada tentera Muslimin, agar mereka menyeru terlebih dahulu orang Mu’tah kepada Islam. Sekiranya mereka enggan pohonlah pertolongan daripada Allah SWT dan perangilah mereka. Ketika tentera muslimin mula  bergerak dari Madinah menuju ke Syam,  pihak musuh telah mendapat tahu akan ketibaan mereka. Lalu mereka mengumpulkan bala tentera yang ramai, Hiracla telah menghantar lebih daripada 100 ribu bala tentera yang terdiri daripada orang-orang Rom. Manakala Sharhabil telah mengumpul 100 ribu tentera yang terdiri daripada Qabilah Lukhan, Jazan, Al-Qaridan Bahra. Melihat kepada bilangan tentera musuh yang melebihi 200 ribu orang ini, tentera Muslim telah berhenti di Muan (satu daerah di Syam) selama dua malam sambil memikirkan apakah perancangan yang seharusnya dilakukan untuk menghadapi seluruh tentera musuh ini.

Ada di antara mereka berkata  “Eloklah kita menulis surat kepada Rasulullah s.a.w memberitahu bilangan tentera musuh yang begitu ramai ini. ”Tetapi Abdullah Ibn Ruwahah berkeras dan memberikan semangat kepada tentera muslimin supaya terus berjuang dengan berkata “Wahai orang-orang Muslim! Demi Allah SWT apakah yang ditakutkan? Untuk apa kita keluar? Tidakkah dengan tujuan syahid? Kita berperang bukan kerana berdasarkan bilangan yang ramai dan bukan dengan kekuatan, tetapi kita berperang kerana menegakkan kalimah Allah, dengan kita mendapatkan kemuliaan daripada Allah SWT. Ayuh, maju kehadapan! Satu daripada dua kejayaan sudah pastikan tercapai, menang atau syahid.”

Kemudian bertemulah tentera Muslimin dengan musuh-musuhnya yang berlipat kali ganda ramainya berhampiran karak. Zaid Ibn Harithah mengambil bendera dan terus mara kehadapan diikuti oleh semua jundi-jundi pejuang Islam.Akhirnya, beliau gugur syahid dengan tikaman musuh. Setelah gugurnya Zaid,  maka Jaa’far Ibn Abu Talib mengambil bendera dan memimpin bala tentera Islam menggantikan Zaid. Jaa’far telah menewaskan beberapa musuh hinggalah beliau sendiri gugur syahid. Padam ayat beliau terdapat lima puluh tikaman pedang.

Bendera tetap ditegakkan dengan teguhnya oleh pejuang-pejuang Islam yang kental jiwanya berjuang kerana  Allah SWT.Inilah antara sifat-sifat seorang Mukmin yang patut diterapkan dan dihidupkan dalam roh jiwa kita sebagai pejuang agama Allah untuk memastikan syiar Islam sentiasa dipuncaknya.

Setelah Jaa’far gugur, bendera diambil pula oleh Abdullah Ibn Ruwahah. Akhirnya beliau juga gugur dan syahid. Benarlah apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w tentang ketiga-tiga pemimpin tentera yang gugur ini. Maka dengan persetujuan bala tentera Muslimin, Khalid bin Al-Walid dilantik menjadi Amir dalam peperangan tersebut. Khalid terus menggempur musuh sehingga mereka menjadi kucar-kacir. Dalam keadaan kucar-kacir inilah Khalid mengambil peluang seluruhnya menyelamatkan bala tentera Islam. Oleh itu kemenangan telah berpihak kepada tentera Islam.

Bukhari meriwayatkan daripada Anas r.a, bahawa Rasulullah  s.a.w  diberitahu mengenai kematian Zaid, Jaa’far dan Abdullah bin Rawahah, lalu Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Zaid mengenai bendera gugurlah dia, kemudian diambil oleh Jaa’far beliau juga gugur, kemudian diambil oleh Ibn Rawahah juga turut gugur. Sambil berkata  air matanya mengalir. Kemudian diambil oleh salah seorang “ pedang Allah” iaitu Khalid bin Al-Walid, maka Allah SWT memberi kemenangan kepada mereka.



Hadith ini memberi maksud, bahawa pada akhirnya Allah SWT telah memberi kemenangan kepada tentera Islam. Mereka telah kembali ke Madinah setelah bala tentera musuh lari untuk mendapatkan perlindungan kerana gerun melihat angkatan tentera Islam. Langkah yang bijak lagi licin yang telah dilakukan oleh Khalid, telah memberi kemenangan kepada tentera Islam. Adapun kesyahidan di medan perang itu adalah tarbiah besar daripada  Allah dan mereka  yang berjuang kerana  menegakkan kalimah Allah SWT sudah pasti mendapat tempat yang terbaik disisi  Allah SWT sebagaimana yang dijanjikan olehNya.


Akhirnya, pesan saya kepada seluruh sahabat dan juga diri saya sebagai peringatan sebagaimana yang terkandung di dalam firman  Allah SWT yang bermaksud:

“Katakanlah: Dia-lah yang menciptakan kamu dan menjadikan kamu pendengaran, penglihatan dan hati, (tetapi) amat sedikit kamu bersyukur”.
(Surah Al-Mulk : 23)


Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan”.
(Surah Al-ghasyiyah : 21)

Jangan sesekali kedekut untuk kita luangkan otak, hati dan seluruh anggota tubuh badan untuk bersyukur kepada Allah dengan segala nikmat Allah yang dikurniakan kepada kita. Bukan bersyukur hanya zikrullah kepada  Allah akan tetapi lebar luaskanlah kesyukuran kita untuk berjuang untuk mentaati dan beriman kepada Allah, amar ma’ruf nahi mungkar dan berlumba-lumba mengerjakan kebaikan sebagai tanda kesyukuran kita kepada yang Maha Esa.




Disediakanoleh :-
UNIT RISALAH & TAQWIM
UNIT DAKWAH
Hal Ehwal Wanita Islam
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir
Sesi 2011/2012

SECANGKIR TINTA : IMTIHAN MENYINGSING KEMBALI

Bismillahirrahmanirrahim, segala puji bagi Allah, pencipta alam semesta yang layak disembah, yang memberikan kita nafas dalam nikmat terbesar iaitu iman dan Islam. Selawat dan salam dihamparkan ke atas nabi Muhammad s.a.w junjungan tercinta , agar syafaatnya diperolehi dan mengiringi kita di hari akhirat kelak insyaAllah, buat keluarga baginda serta sahabat yang setia mendokongi risalah nabawiah.

Sekelip masa berlalu, sedar tak sedar kita sudah tiba ke fasa  yang mendebarkan bagi kita selaku penuntut ilmu di bumi anbiaya’ ini. Fasa  imtihan kembali lagi.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian,kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran,” (Surah Al-Asr:1-3)

Ayatnya pendek dan mudah dihafal namun sukar dipraktikkan oleh kita selaku hamba-Nya. Jika tersilap langkah maka akan binasalah kita. Sebagai mahasiswa Islam kita perlu bijak dalam pengurusan masa agar dapat menyeimbangkan tanggungjawab sebagai hamba Allah Ta`ala dan tanggungjawab sesama manusia agar  tidak terabai.



Tanggungjawab kita selaku mahasiswa Islam bukan hanya berlegar sebagai pelajar sahaja, namun jangan kita lupa tanggungjawab kita sebagai hamba allah, anak, sahabat , da’ie dan sebagainya. Masalah inilah yang berlaku bila tiba sahaja musim imtihan, kita sering sahaja lupa dan mengabaikan tanggungjawab lain disebabkan terlalu ghairah dalam membuat persediaan imtihan hingga berlaku perselisihan faham antara kita dan sahabat kerana tidak melunaskan amanah sebagai ahli rumah. Contohnya tidak memasak mengikut jadual yang ditetapkan. Oleh itu, akan sia-sialah usaha kita bersengkang mata membaca buku tapi masih banyak lagi amanah lain yang kita abaikan yang boleh menyebabkan hubungan kita sesama manusia terjejas. Maka dimanakah redha Allah ketika itu?



Perlu kita sedari bahawa imtihan merupakan wasilah bagi kita untuk mencapai kejayaan dan dengan kejayaan itulah medium kita untuk menyebarkan dakwah Islam. Pastinya matlamat utama kita adalah untuk melihat agama Islam terus mekar dan seluruh penduduk bumi hidup berlandaskan syariat islam demi mencapai kejayaan di akhirat nanti. Oleh itu, adakah kejayaan tanpa redha Allah itu yang kita harapkan?. Pastinya tidak. Kejayaan yang hakiki pastinya bila mana kita dapat menyeimbangkan dunia dan akhirat tanpa mengabaikan hubungan dengan Allah dan hubungan kita sesama manusia. Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah Al-‘Imran ayat 112 yang bermaksud:

“ Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang pada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia ”.

Semoga dengan kehadiran fasa imtihan ini menjadikan kita mahasiswa Islam yang lebih matang berfikir dan dengan imtihan yang bakal ditempuhi akan menghasilkan kecemerlangan dalam keputusan nanti, dan yang lebih utama cemerlang dari sudut akhlak dan rohani supaya menjadi bekal bagi mencapai kejayaan di akhirat kelak. Amin.

Salam imtihan....


Nur Farhana Hanafi
Bendahari
Hal Ehwal Wanita Islam
Keluar Penuntut-penuntut Terengganu
Sesi 2011/2012

Memperanankan Aktivis Islam


Sejarah telah membuktikan bahawa golongan pemuda memainkan peranan yang sangat penting dalam membina sesebuah masyarakat manusia yang bertamadun. Mereka merupakan golongan yang mempunyai jiwa yang kental di samping memiliki kekuatan jasad yang istimewa

Kelebihan yang ada pada mereka ini perlu dicanang dengan acuan yang tepat sebagaimana ditentukan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran dan diperincikan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW melalui Hadis agar mereka mampu mewarisi takhta pemerintahan persatuan, badan kebajikan mahupun sesebuah negara dengan cara yang dikehendaki dan diredhai oleh Allah SWT. Hayatilah firman Allah SWT yang bermaksud ;

"Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar ; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda (aktivis Islam) yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk."

Dalam menyelusuri denai yang beronak dan berduri tidak dapat dinafikan bahawa PMRAM sehingga ke hari ini sedikit sebanyak menghadapi kesulitan dalam melahirkan golongan pelapis atau aktivis Islam yang benar-benar sanggup mewakafkan diri mereka untuk berkhidmat dan berbakti dalam meneruskan kelangsungan PMRAM yang menjadi satu medium kesatuan mahasiswa di bumi anbia’ ini.

Ini kerana para aktivis tidak diperanankan dengan sebaik mungkin di dalam setiap aktiviti yang dianjurkan di peringkat PMRAM. Tambahan pula, mereka seolah-olah tidak menjiwai dan tidak merasakan yang sebenarnya mereka sangat diperlukan oleh PMRAM.Namun PMRAM tidak hanya mengambil sikap diam membisu, berpeluk tubuh dan berdiri kaku akan tetapi terus berusaha dalam segenap lapangan dan elemen bagi melahirkan golongan yang akan menjadi mata rantai perjuangan yang mulia ini sehinggalah pucuk pimpinan persatuan ini tidak terbantut sama sekali dan terus silih bergantiSebagai contoh yang paling jelas, Program Kepimpinan PESAT yang saban tahun telah dilaksanakan adalah salah satu usaha di peringkat PMRAM dalam memastikan kelangsungan generasi pelapis ini tercapai dan terus berkekalan sepanjang tahun.

Mahasiswa dan Mahasiswi yang budiman,

Hari ini kita dapat saksikan bahawa fungsi aktivis Islam cukup penting di dalam medan gerak kerja PMRAM.  Mereka bukan sahaja menjadi tulang belakang kepada keteguhan dan kemantapan perjalanan PMRAM bahkan mereka juga adalah sebagai pemikir di dalam mencetuskan suatu idea yang baru untuk direalitikan.

Oleh yang demikian sebagai langkah awal para aktivis Islam perlu memiliki fikrah yang cukup jelas tentang amal Islami serta mempunyai kekuatan rohani yang mantap sebagai tunjang yang kukuh bagi memastikan mereka terus thabat bekerja di jalan Allah iniTidak hanya  semata-mata kerana bekerja dalam keadaan terpaksa atau kerana dipaksa bahkan mereka berpenat lelah kerana faham bahawa tugas yang paling mulia adalah saling menyumbang tenaga di dalam perkara kebaikan dan berlepas tangan dalam sebarang perkara kemungkaran.

Hal inilah yang ditekankan melalui Madrasah Muhammadiah yang berjaya melahirkankan sejumlah besar aktivis Islam dalam kalangan para sahabat ridhwanullah alaihim yang menjadi contoh tauladan terbaik kepada kita hingga ke saat ini.Apabila berbicara mengenai bidang tugas aktivis Islam juga, mereka seharusnya memiliki kefahaman yang jelas mengenai gerak kerja yang hendak dilakukan. Aktivis Islam yang tidak mempunyai kefahaman yang jelas dalam sesuatu gerak kerja boleh diibaratkan mereka ini seperti seseorang yang berjalan tanpa arah tuju dan tidak mengetahui destinasi paling akhir yang perlu mereka lawati. Sesat di siang hari, tiada tempat persinggahan yang akhirnya merugikan masa, kewangan dan tenaganya dengan begitu sahaja.

Menjadi keperluan kepada para aktivis Islam untuk bekerja dengan penuh konsisten kerana ia bagaikan sebuah cermin dalam mengukur atau menilai kematangan berfikir, bertindak, mengatur dan menyusun sebarang aktiviti dan perancangan. Selaras dengan sabda Nabi Muhammad SAW : Amalan yang paling disukai oleh Allah ialah amalan yang berterusan (konsisten) sekalipun sedikit ”. 

Lupakah kita kepada perajurit PMRAM sebelum ini yang sanggup berjuang mempertahankan hak PMRAM dan mahasiswa yang telah dinafikan. Mereka berhadapan dengan pelbagai jenis cubaan dan rintangan namun sama sekali mereka tidak pernah serik dan jemu dalam mempertahankan hak tersebutSemangat inilah yang patut para aktivis Islam contohi dan tauladani agar para aktivis Islam akan kekal teguh berdiri menghadapi tribulasi yang semakin mencabar ini.

Justeru,  marilah sama-sama kita menghayati untaian kalam ulama gerakan di dalam memotivasikan diri kita dalam arena perjuangan ini. Beliau menyebut : “Ramai di kalangan manusia mampu untuk berkata-kata namun sedikit daripadanya yang thabat dalam amal mereka. Dan ramai yang di kalangan sedikit itu mampu untuk thabat dengan amal kerja yang mereka buat  namun sedikit sahaja yang berkelayakan menanggung bebanan dakwah yang maha dahsyat sifatnya. Mereka itulah insan terpilih. Namun kekadang yang terpilih itu terpesong dari  hala tuju andai tidak dipandu petunjuk Yang Esa.

Penghargaan diberikan kepada tenaga aktivis PMRAM dengan wujudnya Anugerah Emas untuk individu yang sentiasa memberikan komitmen sepenuhnya kepada PMRAM dalam setiap gerak kerja. Ini adalah salah satu pengiktirafan diperingkat PMRAM untuk menghargai jasa dan pengorbanan aktivis sekaligus memberikan suntikan dorongan kepada mahasiswa yang lain untuk bekerjadan mencurahkan tenaga dalam melaksanakan segala agenda PMRAM.

Sub Topik
Ucapan Dasar Presiden PMRAM 2012
Sdr. Abdul Aziz Bin Ali