PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Wednesday, October 31, 2012

Jaulah Tanta Patri Ukhwah


TANTA, 30 Oktober 2012 - Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir di bawah seliaan Unit Sambutan & Rehlah telah mengadakan Jaulah ke Tanta sempena Sambutan Aidiladha PMRAM (ADHA’12).

       Jaulah ini disertai seramai 20 orang mahasiswi. Rombongan mula bertolak dari Kaherah tepat jam 8.30 pagi. Tiga jam perjalanan, para peserta tiba di rumah Saudari Siti Anisah dan Saudara  Mohd Faizol. Walaupun  ziarah mahabbah hanya berlangsung sekitar 30 minit, namun detik ini amat bermakna dan akan kekal tersemat di sanubari.

        Seterusnya, rombongan bergerak ke destinasi utama iaitu Dewan Pelajar Tanta yang merupakan tempat berlangsungnya ADHA’12. Tanta menjadi tuan rumah bagi program mega PMRAM kali ini sekaligus menjayakan  resolusi Konvensyen DPM’12  iaitu menghidupkan suasana di DPM.
Kehadiran para tetamu yang begitu ramai mempamerkan kesungguhan ahli menjayakan program di samping mengikat ukhwah dalam kalangan mereka.

Sebelum pulang ke Kaherah,peserta sempat menziarahi maqam para auliya’ di masjid Sidi Badawi.
Semoga program seperti ini dapat meningkatkan ukhuwah dan kebersamaan dalam kalangan mahasiswi KPT.


Saturday, October 27, 2012

Al-ibrah Min Ar-rasulain


KAHERAH, 25 OKTOBER 2012 : Sempena  Eid Al-Adha 1433H, Keluarga Penuntut - Penuntut Terengganu Mesir menganjurkan program Malam Gema Eidil Adha.

Program bermula dengan pembentangan kertas kerja Fiqh Al-Udhiyyah  yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Kamal bin Mansor. Selesai pembentangan, para hadirin menunaikan solat Maghrib berjemaah dan iftor jama’ie.

Usai solat Isyak berjemaah, program diteruskan dengan Majlis Malam Gema Eidil Adha. Majlis dimulakan dengan ucapan daripada pengarah program, Ustaz Muhammad Bukhari bin Yahya dan Yang Dipertua KPT, Ustaz Mohd Zahani bin Abdul Ghani. Majlis seterusnya diserikan lagi dengan ucapan  oleh Badan Pengurus angkat PMRAM Cawangan Terengganu iaitu Ustaz  Subki bin Zakaria.
Antara intipati ucapan, beliau menceritakan kronologi kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan puteranya Nabi Ismail AS dalam melaksanakan ibadat korban. Bertepatan dengan tema  yang dibawa oleh KPT Mesir pada Ihtifal Eidil Adha kali ini iaitu I’tibar Min Ar-Rasulain.

 Pengajaran utama yang dipetik berdasarkan kisah ini ialah mengenai kepatuhan kepada pimpinan selagi mana tidak bercanggah syara’. Beliau mengaitkan bahawa sifat ini perlu ditanam dan dibaja dalam diri individu terutama kepada seluruh ahli KPT  khususnya dan PMRAM amnya.
Selesai ucapan perasmian, Ustaz Mohd Zahani selaku Yang Dipertua KPT Mesir telah menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Ustaz Subki bin Zakaria atas kesudian beliau menghadiri Majlis Malam Gema Eidil Adha. Turut hadir pada malam itu, Ustazah Atiyqah binti Yusof selaku HEWI angkat PMRAM cawangan Terengganu.

Majlis diteruskan dengan Perutusan Aidil-Adha oleh Presiden PMRAM 2012 saudara Ustaz Abdul Aziz bin Ali dan sedikit tayangan video untuk tontonan ahli.

Semoga pengorbanan dan pengajaran daripada kisah dua rasul ini dapat diaplikasikan dalam diri setiap ahli demi kelangsungan kesatuan KPT dan PMRAM di bumi Mesir ini.

MEMACU KECEMERLANGAN UMMAH



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Selaut kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan izinnya, persatuan Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir masih gah berdiri lewat tertubuhnya ia sejak 48 tahun yang lalu. Menelusuri pelbagai mehnah dan cabaran mematangkan KPT sebagai sebuah persatuan yang menjaga kebajikan anak negeri di perantauan Ardul Kinanah.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,

Kefahaman merupakan elemen penting dalam melaksanakan gerak kerja Islam sehingga Imam Hasan Al-Banna meletakkan al-Fahmu sebagai rukun baiah yang pertama. Apabila telah tertanam kefahaman di dalam diri, maka disitulah titik pemula untuk kita bergerak menjulang Islam sehingga ia kembali berada di puncak tertinggi.

Kepimpinan PMRAM dan HEWI PMRAM pada sesi ini terus mengorak langkah dengan membawa tema baru; “Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan” dan “Julang Keilmuan Jana Keizzahan”.  Penekanan terhadap ilmu jelas digazetkan sebagai memberi isyarat akan kepentingannya dalam memandu kefahaman manusia menuju  mardhatillah.

Mahasiswa mahasiswi yang dikasihi sekalian,

Rentetan daripada itu, HEWI PMRAM meletakkan visi “Melahirkan mahasiswi berilmu dan berperanan sebagai dai’e kepada masyarakat berteraskan al-Quran dan as-Sunnah” dengan merangka beberapa misi bagi memfokuskan hala tuju pembawaan HEWI PMRAM pada sesi ini. Antaranya ialah:
Melahirkan mahasiswi bersyakhsiah melalui pentarbiyahan sebagai pemangkin kepada gerakan mahasiswi Islam.

-Memantapkan kualiti kecemerlangan akademik dan thaqafah bagi memacu mahasiswi berkemahiran.
-Memperkukuh ukhwah di seluruh peringkat melalui medium penyatuan mahasiswi.
-Menitikberatkan kebajikan bersama serta menyuntik sensitiviti terhadap isu umat sejagat.
-Membentuk generasi pelapis sebagai tunjang aktivis berkualiti.
-Meningkatkan sumber ekonomi sebagai tunjang kekuatan organisasi.

Penerapan nilai-nilai yang disebutkan tidak lain dan tidak bukan adalah bagi memastikan mahasiswa  mahasiswi memacu kecemerlangan duniawi dan ukhrawi di samping  terus bernaung di bawah lembayung PMRAM.

Sahabat sahabat penyambung rantai perjuangan sekalian,

Sesi ini juga melakar sejarah tersendiri apabila empat usul termasuk satu usul HEWI telah dipersetujui untuk dijayakan.Usul tersebut ialah :

Usul Muktamar PMRAM :

-Mengembalikan hak PMRAM di ARMA
-Memperkasa hubungan baik antara mahasiswa Pengajian Islam dan Sains Kesihatan
-Bersama menjayakan slogan “Kita PMRAM”

Usul Muktamar HEWI PMRAM :

“Memperanankan Mahasiswi Berkredibiliti”

Justeru, peranan yang jitu harus dimainkan di setiap peringkat agar apa yang dibawa mencapai objektifnya. Semoga setiap usaha yang dicurahkan dinilai oleh Allah dan mendapat keredhaan dariNya.

“Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”
“Julang Keilmuan Jana Keizzahan”

Siti Aminah Ismail,
Naib Pengerusi,
Hal Ehwal Wanita Islam,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2012/2013.



Thursday, October 25, 2012

Basic Information of Technology Galak Mahasisiwi Tonjol Kredibiliti








                                   


KAHERAH, 20 Oktober- Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir telah mengadakan program Basic Information of Technology (BIOT) dan telah dijayakan dengan baik oleh mahasiswi Terengganu Mesir. Pengisian yang dibentangkan adalah menjurus pada kesedaran tentang kepentingan menguasai International Network (IT). BIOT antara usaha yang dirasakan sangat wajar dalam mendepani suasana global masakini yang memerlukan para mahasiswi khususnya dan para mahasiswa keseluruhannya menguasai medan teknologi semaksimum mungkin.


Program BIOT yang dirancang khusus di bawah unit Informasi dan Penerbitan Keluarga Penuntut-penuntut terengganu ini telah memberi pendedahan kerja-kerja berteknologi melalui praktikal secara langsung semasa sesi pembentangan. Sambutan di peringkat mahasiswi Terengganu juga sangat memuaskan. Sikap sentiasa bertanya dan saling bertoleransi adalah nilai murni yang dilihat sangat baik untuk pembawakan Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir kali ini dalam menuju perpaduan yang utuh dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi KPT Mesir.


Pihak penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah menjayakan program ini secara langsung ataupun tidak langsung.


Friday, October 5, 2012

Pelajar Asrama Johor Diarah Keluar Asrama


KAHERAH, 2 Okt 2012 -- Malang tidak berbau buat pelajar-pelajar Asrama Rumah Johor, Rabaah, setelah mana sebahagian pelajar-pelajar yang tinggal di asrama tersebut diarahkan untuk mengosongkan bilik masing-masing dalam tempoh waktu yang singkat.

Notis arahan yang mengarahkan supaya mengosongkan asrama ini dikeluarkan oleh pihak pengurusan Rumah Johor pada 30 September baru-baru ini.

Notis arahkan ini mengejutkan para pelajar yang menghuni di asrama tersebut kerana mereka diarahkan supaya berpindah dalam tempoh waktu yang singkat. 

Pada 1 Oktober sehari berikutnya, satu lagi notis arahan dikeluarkan dengan mengarahkan para pelajar keluar daripada asrama sedangkan dalam masa yang sama, pihak pengurusan tidak menyediakan penempatan sementara kepada para pelajar.

Rentetan masalah yang berlaku, Yang DiPertua Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor (BKPJM), saudara Muhammad Yazid Bin Hanzir telah menghubungi Pengurus Rumah Johor, Haji Maulan bin Asmoni bagi mendapatkan penjelasan dan meminta beliau melanjutkan tempoh pemindahan tersebut.

Namun apa yang mendukacitakan, usaha tersebut tidak diendah oleh pihak bertanggngjawab dan masih belum menemui sebarang hasil tindakan.

BKPJM mengharapkan agar pihak pengurusan Rumah Johor dapat bertindak dalam menangani masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar tersebut serta dapat menemukan solusi secepat mungkin.