PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Saturday, October 27, 2012

Al-ibrah Min Ar-rasulain


KAHERAH, 25 OKTOBER 2012 : Sempena  Eid Al-Adha 1433H, Keluarga Penuntut - Penuntut Terengganu Mesir menganjurkan program Malam Gema Eidil Adha.

Program bermula dengan pembentangan kertas kerja Fiqh Al-Udhiyyah  yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Kamal bin Mansor. Selesai pembentangan, para hadirin menunaikan solat Maghrib berjemaah dan iftor jama’ie.

Usai solat Isyak berjemaah, program diteruskan dengan Majlis Malam Gema Eidil Adha. Majlis dimulakan dengan ucapan daripada pengarah program, Ustaz Muhammad Bukhari bin Yahya dan Yang Dipertua KPT, Ustaz Mohd Zahani bin Abdul Ghani. Majlis seterusnya diserikan lagi dengan ucapan  oleh Badan Pengurus angkat PMRAM Cawangan Terengganu iaitu Ustaz  Subki bin Zakaria.
Antara intipati ucapan, beliau menceritakan kronologi kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan puteranya Nabi Ismail AS dalam melaksanakan ibadat korban. Bertepatan dengan tema  yang dibawa oleh KPT Mesir pada Ihtifal Eidil Adha kali ini iaitu I’tibar Min Ar-Rasulain.

 Pengajaran utama yang dipetik berdasarkan kisah ini ialah mengenai kepatuhan kepada pimpinan selagi mana tidak bercanggah syara’. Beliau mengaitkan bahawa sifat ini perlu ditanam dan dibaja dalam diri individu terutama kepada seluruh ahli KPT  khususnya dan PMRAM amnya.
Selesai ucapan perasmian, Ustaz Mohd Zahani selaku Yang Dipertua KPT Mesir telah menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Ustaz Subki bin Zakaria atas kesudian beliau menghadiri Majlis Malam Gema Eidil Adha. Turut hadir pada malam itu, Ustazah Atiyqah binti Yusof selaku HEWI angkat PMRAM cawangan Terengganu.

Majlis diteruskan dengan Perutusan Aidil-Adha oleh Presiden PMRAM 2012 saudara Ustaz Abdul Aziz bin Ali dan sedikit tayangan video untuk tontonan ahli.

Semoga pengorbanan dan pengajaran daripada kisah dua rasul ini dapat diaplikasikan dalam diri setiap ahli demi kelangsungan kesatuan KPT dan PMRAM di bumi Mesir ini.