PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Saturday, October 27, 2012

MEMACU KECEMERLANGAN UMMAH



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Selaut kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan izinnya, persatuan Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir masih gah berdiri lewat tertubuhnya ia sejak 48 tahun yang lalu. Menelusuri pelbagai mehnah dan cabaran mematangkan KPT sebagai sebuah persatuan yang menjaga kebajikan anak negeri di perantauan Ardul Kinanah.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,

Kefahaman merupakan elemen penting dalam melaksanakan gerak kerja Islam sehingga Imam Hasan Al-Banna meletakkan al-Fahmu sebagai rukun baiah yang pertama. Apabila telah tertanam kefahaman di dalam diri, maka disitulah titik pemula untuk kita bergerak menjulang Islam sehingga ia kembali berada di puncak tertinggi.

Kepimpinan PMRAM dan HEWI PMRAM pada sesi ini terus mengorak langkah dengan membawa tema baru; “Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan” dan “Julang Keilmuan Jana Keizzahan”.  Penekanan terhadap ilmu jelas digazetkan sebagai memberi isyarat akan kepentingannya dalam memandu kefahaman manusia menuju  mardhatillah.

Mahasiswa mahasiswi yang dikasihi sekalian,

Rentetan daripada itu, HEWI PMRAM meletakkan visi “Melahirkan mahasiswi berilmu dan berperanan sebagai dai’e kepada masyarakat berteraskan al-Quran dan as-Sunnah” dengan merangka beberapa misi bagi memfokuskan hala tuju pembawaan HEWI PMRAM pada sesi ini. Antaranya ialah:
Melahirkan mahasiswi bersyakhsiah melalui pentarbiyahan sebagai pemangkin kepada gerakan mahasiswi Islam.

-Memantapkan kualiti kecemerlangan akademik dan thaqafah bagi memacu mahasiswi berkemahiran.
-Memperkukuh ukhwah di seluruh peringkat melalui medium penyatuan mahasiswi.
-Menitikberatkan kebajikan bersama serta menyuntik sensitiviti terhadap isu umat sejagat.
-Membentuk generasi pelapis sebagai tunjang aktivis berkualiti.
-Meningkatkan sumber ekonomi sebagai tunjang kekuatan organisasi.

Penerapan nilai-nilai yang disebutkan tidak lain dan tidak bukan adalah bagi memastikan mahasiswa  mahasiswi memacu kecemerlangan duniawi dan ukhrawi di samping  terus bernaung di bawah lembayung PMRAM.

Sahabat sahabat penyambung rantai perjuangan sekalian,

Sesi ini juga melakar sejarah tersendiri apabila empat usul termasuk satu usul HEWI telah dipersetujui untuk dijayakan.Usul tersebut ialah :

Usul Muktamar PMRAM :

-Mengembalikan hak PMRAM di ARMA
-Memperkasa hubungan baik antara mahasiswa Pengajian Islam dan Sains Kesihatan
-Bersama menjayakan slogan “Kita PMRAM”

Usul Muktamar HEWI PMRAM :

“Memperanankan Mahasiswi Berkredibiliti”

Justeru, peranan yang jitu harus dimainkan di setiap peringkat agar apa yang dibawa mencapai objektifnya. Semoga setiap usaha yang dicurahkan dinilai oleh Allah dan mendapat keredhaan dariNya.

“Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”
“Julang Keilmuan Jana Keizzahan”

Siti Aminah Ismail,
Naib Pengerusi,
Hal Ehwal Wanita Islam,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2012/2013.