PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Thursday, September 30, 2010

PILIHANRAYA KPT 2010


Suruhanjaya Pilihanraya KPT 2010 telah mengumumkan calon-calon kepimpinan KPT bagi sesi 2010/2011 pada 28 September 2010. Hasil daripada pengiraan borang pencalonan, pihak SPR telah menetapkan bahawa antara yang bakal bertanding dalam Pilihanraya KPT 2010 adalah bagi kerusi calon YDP dan juga kerusi ahli Hal Ehwal Wanita Islam(HEWI KPT). 2 orang calon telah dicalonkan bagi kerusi YDP dan 12 orang calon telah dicalonkan bagi kerusi HEWI KPT sesi 2010/2011.



Pihak SPR KPT 2010 akan mengadakan majlis taaruf Yang Dipertua KPT sesi 2010/2011 pada 4 Oktober 2010 di Dewan Asrama Darul Iman Hayyu Ashier Kaherah. Dijemput pada semua ahli Terengganu yang bernaung di bawah KPT untuk sama-sama mengikuti majlis taaruf ini.


Sila klik pada gambar untuk melihat lebih jelas

Pilihanraya bagi jawatan Yang Dipertua dan Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam bagi sesi 2010/2011 akan diadakan pada 5 Oktober 2010 iaitu pada hari Selasa jam 9.00 pagi hingga 5.oo petang di Dewan Asrama Darul Iman.Pihak KPT mengharapkan mana-mana ahli KPT yang layak mengundi agar sama-sama turun ke Kaherah untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi memastikan kepimpinan untuk sesi akan datang adalah daripada kesepakatan pilihan ahli KPT keseluruhannya.

senarai calon yang dipertua dan ahli jawatankuasa tadbir KPT sesi 2010/2011

Pastikan pilihan anda tepat.

senarai calon HEWI KPT sesi 2010/2011 yang bakal bertanding

12 orang Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam yang bakal bertanding pada 5 Oktober 2010 ini. Pastikan Ahli Hewi KPT yang layak mengundi untuk sama-sama turun mengundi. Anda berhak menentukannya.

-SELAMAT BERKEMPEN DAN SELAMAT MENGUNDI-

Ijtima' Mahabbah Dan Taaruf Calon

Ijtima' Mahabbah dan Ta'aruf Calon HEWI utk sesi baru akan diadakan seperti berikut :-

Tarikh : 30 September 2010
Masa : 4.45 petang
Tempat : Dewan Asrama Darul Iman

Sama-sama turun padang untuk memeriahkan lagi program.

Wednesday, September 29, 2010

HEWI KPT's Tour di Mansurah

MANSURAH, 23 September 2010 - Berkhidmat sambil melawat pelajar-pelajar baru tajaan Yayasan Terengganu (YT) di Mansurah yang sedang mengikuti program YT di bawah kelolaan Tuan Haji Ahmad Kamal bin Abdullah, Pegawai HEP Negeri Terengganu. Nama HEWI KPT's Tour diambil bersempena tarikh HEWI's Tour anjuran HEWI PMRAM baru-baru ini sebagai meraikan dan tanda sokongan terhadap program-program anjuran PMRAM.


Langkah menziarahi pelajar-pelajar baru YT ini diambil sebagai langkah mendekatkan ahli dengan KPT selaku Badan Kebajikan Anak Negeri yang bernaung di bawah PMRAM dan juga berdaftar dengan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK). Seramai 4 orang HEWI KPT menyertai rombongan ini iaitu Naib Pengerusi, Bendahari, Unit Kebajikan dan Unit Informasi dan Penerbitan turun padang menziarahi pelajar-pelajar baru yang berada di sana seramai 69 orang keseluruhannya. Turut bersama HEWI KPT's Tour ini juga ialah 2 ahli HEWI yang mendapat arahan supaya meninjau-ninjau keaadaan pelajar selepas pulangnya wakil AJK HEWI nanti.


Penginapan 2 hari 1 malam di Asrama Yayasan Terengganu di Mansurah memberi peluang penuh kepada HEWI untuk memperkenalakn KPT sebagai badan kebajikan induk yang memberi khidmat kepada seluruh anak-anak Terengganu di seluruh muhafazah seterusnya beramah mesra bersama pelajar pengajian Islam, perubatan dan pergigian yang menginap di sana. Keberadaan HEWI di sana dilayan dengan baik oleh seluruh penghuni asrama tersebut.

Peranan wakil-wakil HEWI untuk 2 hari adalah memberi khidmat dan tunjuk ajar kepada mereka yang baru mengenal dan menjejak kai ke bumi Mesir ini. Sempat juga membawa 5 orang pelajar pergigian mengenal kawasan-kawasan sekitar dan mengajar cara bermu'amalat dengan arab di Mansurah ini sebelum mereka dihantar ke Iskandariah mendaftarkan diri di Universiti Iskandariah.


2 hari 1 malam dimanfaatkan sebaiknya dengan melawat ke bilik-bilik di aras 5 & 7 yang didiami pelajar akhawat. Memberi taklimat kesihatan dan keselamatan secara tidak formal dan memberi beberapa maklumat tambahan sebagai panduan kepada mereka.

Rombongan HEWI mula bergerak menuju Kaherah, melunaskan kerja-kerja yang menanti dengan penuh sabar di sana selepas ditinggalkan agak lama, selama 3 hari. Pengalaman bersama mereka membibitkan bunga-bunga ukhuwah yang semoga berkekalan hingga ke akhirnya.

Saturday, September 25, 2010

Ziarah HEWI ke Rumah Madam Tanta

Wakil HEWI sempat berkunjung ziarah ke rumah Madam Tanta, mantan Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM 2009, Ustazah Siti Anisah binti Ahmad. Suami beliau berasal dari Terengganu yang merupakan mantan Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta (DPMT), Ustaz Faizol Endut.

Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata yang usianya lebih kurang 3 bulan. Bayi ini dilahirkan kurang 4 hari 8 bulan menyebabkan berlaku beberapa komplikasi yang mengakibatkan pembedahan. Selesai satu pembedahan ketika waktu kecilnya yang menelan belanja lebih kurang LE 4000, pembedahan kedua akan dilakukan setelah usia bayi mencecah 3 bulan dan mempunyai berat sekurang-kurangnya 5 kg, bagi membolehkan bayi membuang air seperti biasa dan tidak melalui lubang yang ditebuk lagi.

Perbualan panjang yang dihidangkan juga air minuman itu, dapat menyaksikan sendiri pengorbanan seorang ibu yang sangat besar dalam memelihara anak yang disayangi. Walau payah manapun diuji, tetap sabar demi melihat seorang anak dapat membesar dengan sempurna.

Wakil HEWI mula meminta diri untuk pulang setelah jam menunjukkan pukul 9 malam. Perjalanan pulang ke rumah ahli di Tanta dan bermalam di sana, setelah agak kelewatan untuk pulang kembali ke Kaherah.



Seluruh warga HEWI KPT mendoakan agar bayi, Sofiyatul Ulya cepat kembali normal seperti bayi lain dan membesar dengan sihat dan cergas. Doa kami juga sentisa mengiringi Sofiya setiap hari. Semoga menjadi anak solehah penyejuk mata abi dan umi.

Ahlan Wasahlah Mahasiwa/wi Baru ke Perlambahan Nil

Selamat Datang daripada Barisan Kepimpinan KPT kepada seluruh mahasiswa mahasiswi baru Terengganu yang tiba di Mesir baru-baru ini. KPT kali ini mencatat rekod rombongan ketibaan pelajar baru terbanyak, sebanyak 4 rombongan.




Rombongan pertama tiba pada 12 September 2010, jam 5.15 petang, Penerbangan Qatar Airways. Pelajar baru rombongan pertama ini seramai 30 orang yang diiringi oleh 4 pengiring, antaranya Ustaz Hisyamuddin Abdul Karim yang merupakan mantan YDP KPT dan mantan Presiden PMRAM. Pelajar-pelajar ini kesemuanya adalah pelajar Pengajian Islam dan persendirian. Segala urusan barang-barang di lapangan terbang hingga pengagihan beg ke tempat kediaman diuruskan oleh Ahli Jawatankuasa USMB KPT.




Rombongan Kedua pula di bawah Tajaan Yayasan Terengganu, yang diiringi oleh Pegawai Yayasan Terengganu sendiri. Rombongan tiba jam 5.15 petang, 20 September 2010, Penerbangan Qatar Airways. BP Angkat, Pengarah USMB Pusat, HEWI Angkat, Timbalan Pengarah USMB Pusat, AJKT dan AJK HEWI bersama AJK USMB turun padang menyambut pelajar-pelajar tajaan ini di Lapangan Terbang Kaherah. Seterusnya mereka seramai 35 orang ini yang terdiri daripada pelajar Pengajian Islam dan Perubatan, terus dibawa ke Asrama Yayasan Terengganu di Mansurah bagi mengikuti program untuk pelajar baru.




21 Sepetember 2010, pd waktu dan penerbangan yang sama, satu lagi rombongan tiba. Mereka adalah dikalangan pelajar perubatan dan pergigian Tajaan Yayasan Terengganu. Jumlah pelajar Rombongan Ketiga ini mencecah angka 35, diiringi oleh pengiring yang dihantar oleh pihak yayasan. Rombongan ini juga disambut mesra oleh pegawai-pegawai, BP dan Hewi Angkat, AJKT dan AJK HEWI, berserta AJK Pelaksana USMB. Rombongan ini juga terus ke Mansurah setelah semua pelajar siap sedia untuk bertolak.




Rombongan Keempat yang memilih Penerbangan Kuwait Airways tiba 25 September, jam 2.45 petang di Lapangan Terbang Kaherah. Rombongan ini seramai 8 orang yang terdiri daripada pelajar-pelajar persendirian dan kesemuanya lelaki. Rombongan disambut oleh AJKT dan AJK USMB yang hadir dan terus dibawa pulang ke Asrama Darul Iman.




Pihak KPT berbesar hati menyambut kedatangan seluruh mahasiswa mahasiswi yang menjejakkan kaki ke Bumi Mesir ini yang bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu walau terpaksa berpisah jauh dengan keluarga. Semoga usaha ini mendapat keberkatan serta dilimpahkan rahmat sepanjang meniti denai-denai kehidupan.




Ucapan terima kasih dirakamkan buat seluruh warga kerja yang begitu setia dan ringan tulang untuk membantu mengangkat barang-barang pelajar baru ini samada di lapangan terbang mahupun di tempat kediaman. Jazakumullahu khairan kathira.

Friday, September 24, 2010

IKLAN MAT ke 46 & IJTIMA' ke 10

Assalamualaikum. Cadangan usul dibuka sempena Mesyuarat Agung Tahunan KPT ke-46 | 29 September hingga 3 Oktober 2010 | Usul tersebut boleh dihantar kepada Setiausaha KPT; Abdullah Haris B Zakaria (0115173738) @ Setiausaha HEWI; Zaleha Bt Hassan (0116845173) | Sila sertakan nama & nombor keahlian anda | Usul hendaklah secara bertulis @ hantarkan mesej ke FB Rasmi KPT (http://facebook.com/infokpt) / YM Rasmi KPT (info_kpt1964) @ emailkan kpd infokpt@gmail.com / info_kpt1964@yahoo.com.

Ijtima' Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) KPT kali ke-10 : Rabu - 6 Oktober 2010.
Mesyuarat Agung Tahunan KPT kali ke-46 : Khamis - 7 Oktober 2010.

"Cerna Kefahaman Teras Kepimpinan"

> Web Rasmi KPT : http://www.infokpt.com
> FaceBook Rasmi KPT : http://facebook.com/infokpt

Friday, September 10, 2010

PERUTUSAN AIDILFITRI YANG DIPERTUA KELUARGA PENUNTUT-PENUNTUT TERENGGANU MESIR 2009/2010


Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.
Lailahaillallah, Allahuakbar.
Allahuakbar, Walillahilhamd..

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dengan nama Allah Taala ; Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, segala puji bagi Allah Taala yang telah mengurniakan pelbagai nikmat dan rahmatNya ke atas sekalian hambaNya. Selawat dan salam ke atas rasul junjungan Sollallahu Alaihi Wasallam yang diutuskan olehNya sebagai rahmat sekalian alam.

Ramadha baru saja melabuhkan tirainya. Setelah melalui proses pembinaan diri selama sebulan dengan pelbagai ibadah yang didirikan semata-mata keranaNya, Dia pula menjanjikan limpahan keberkatanNya melalui Aidilfitri yang disambut sebagai anugerah kepada hamba-hambaNya yang berimana. Masing-masing bergembira dengan rahmatNya ini sebagai tanda penerimaanNya atas segala ibadah yang dilakukan ikhlas keranaNya.

Semoga isyarat paling jelas yang menunjukkan bahawa Allah Taala menurunkan rahmat kepada hambaNya apabila dia melapangkan hati manusiaketika mereka sama-sama menyambut Aidilfitri di seluruh dunia. Ukhuwah Islamiyyah antara mu'min terzahir apabila seluruh umat Islam saling bermaafan dan saling menziarahi saudara mereka. Kekuatan Islam terletak pada kesatuan yang ditunjukkan pada umatNya. Pada hari yang bahagia ini, Allah Taala menzahirkan - dengan rahmatNya - bahawa Islam merupakan agama yang sentiasa berada di bawah jagaanNya.

Ketika kita sama-sama bergembira dengan sambutan Aidilfitri, cubalah untuk melakukan muhasabah secara amanah; adakah kegembiraan ini semata-mata kerana rahmatNya? Kita mendoakan kepadaNya supaya termasuk dalam golongan yang sentiasa mendekatkan diri kepadanya dengan amalan yang terzahir pada diri. Biarlah kegembiraan yang terbit dalam hati disebabkan rahmatNya yang mengizinkan kepada kita untuk mentajdidkan amalan dan mempertingkatkan ibadah kepadaNya.

Gembira yang terbit dari hati yang menyedari bahawa segala kelebihan yang ada pada diri hanyalah semata-mata kerana kurniaan Allah Taala. Tiada daya dan upaya pada diri manusia yang sangat dhaif yang sentiasa mengharapkan pimpinan daripadaNya. Bukti yang paling jelas apabila seseorang mu'min itu istiqamah dengan segala ibadah yang dilakukan pada bulan Ramadhan, berusaha untuk memperbaiki dan menambah amalnya kepada Allah. Perasaan gembira inilah yang disebut dalam firmanNya;

"katakanlah : dengan kurniaan Allah Taala dengan rahmatNya yang demikian itu bergembiralah, dan ianya lebih baik dari segala yang mereka kumpulkan."

Adapun kegembiraan yang dimurkai oleh Allah Taala adalah kegembiraan yang terbit dari syahwat yang tidak dipimpin oleh cahaya iman. Tidak pernah timbul dalam diri mereka untuk menilai segala ibadah yang dilakukan. Bahkan, mereka melupakanNya yang menganugerahkan pelbagai rahmat kepada hambaNya. Aidilfitri yang disambut dikotori pelbagai maksiat dan dosa. Hiburan yang tidak berlandaskan syara' menjadi penyebab umat Islam semakin hanyut untuk mengingati Allah Taala walaupun hakikat Adilfitri itu adala anugerahNya kepada hambaNya yang sedia taat kepada perintahNya. Gembira seumpama ini adalah gembira yang ditegah oleh Allah Taala melalui firmanNya;

"Janganlah kamu bergembira (lalai dan leka), sesungguhnya Allah Taala tidak suka orang yang bergembira (yang melupakan Allah Taala)."

Aidlifitri mempunyai makna tersendiri dari sudut pandangan syara' apabila seluruh umat islam berjaya menyempurnakan ibadah Ramadhan yang diperintahkan oleh Allah Taala ke atas mereka. Hasil dari madrasah yang mengeluarkan nafsu yang tunduk kepada perintah Ilahi, hati yang bersih dari maksiat kepadaNya dan peribadi yang dihiasi akhlak-akhlak yang terpuji.

Begitulah juga dari sudut kemasyarakatan; mereka bertemu dengan wajah yang manis, bersalamn dan saling bermaafan. Masing-masing berkata kepada saudara seagamanya; lupakan segala kesilapan yang lalu. Segala kebencian terdahulu yang sengaja dilemparkan oleh syaitan ke dalam hati ana-anak Adam supaya berpecah. Anak-anak kecil bergembira manakala orang dewasa merasa tenang melihat suasana yang penuh harmoni di bulan yang mulia ini.

Disamping itu Aidilfitri memberi makna tersendiri pada pandangan politik dan ketamadunan. Kerja syaitan yang memecahbelahkan menyebabkan timbulnya perasaan khianat sesama sendiri. Perpecahan yang menyebabkan kelemahan dan kemunduran. Hasilnya, lahirnya sifat cintakan dunia yang menebal dalam diri. Juga isyarat kepada penguasaa yang zalim, tinggalkan kezalimanmu. Jangan jadi perosak kepada agama dan negara. Pikullah amanah sebaiknya sebelum dipersoalkan oleh Allah pada Hari Kiamat kelak.

Akhir kalam, istiqamahlah dengan segala amal kebaikan yang dilakukan sepanjang Ramadhan yang lalu. Semoga Allah Taala menerima segala ibadah dn dikurniakan keikhlasan dalam beramal.

Bagi pihak Saf Kepimpinan AJKT dan AJK HEWI Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) 2009/2010, saya mengucapkan Salam Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin.

Sekian, Wassalam.

"BERILMU DAN BERAMAL"

"KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH"

MOHD RIDUAN BIN ABU BAKAR
Yang DiPertua,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2009/2010.

Pejabat KPT, Kompleks Darul Iman,
Haiyyu Asyir, Kaherah.

Sunday, September 5, 2010

Mangsa Kebakaran

"Kecil api menjadi kawan, besar ia menjadi lawan". Peribahasa yang direka oleh generasi sebelum ini banyak memberi pengajaran kepada kita semua. Peribahasa bukan sekadar peribahasa tetapi ia merupakan suatu kecaknaan dan puitisnya bahasa.

Peribahasa ini jika tidak dita'wilkan, ia sudah boleh menajdi satu pengajaran buat semua. Satu kejadian telah berlaku di bangunan siswi pada 3 September baru-baru ini. Kejadian ini berlaku kira-kira jam 10 malam waktu Mesir melibatkan bilik air di sebuah rumah.

Nyalaan api dari sebatang lilin telah mengakibatkan satu kebakaran setelah lama ia dibiar di atas sebuah mesin basuh. Penggunaan lilin dipercayai akibat ketidaknyalaan lampu bilik air rumah tersebut dalam satu jangka masa yang agak lama walaupun telah beberapa kali membuat aduan dan laporan kerosakan di Pejabat Pengurusan Pelajar. Ahli rumah tersebut mengalami kesulitan menukar lampu apabila didapati kerosakan itu amat rumit untuk diselesaikan sendiri setelah aduan yang dikemukakan mendapat respon yang lambat.

Kejadian disedari oleh Penasihat HEWI sendiri setelah terhidu bau plastik terbakar. Pada mulanya, asap yang berkepul disangkakan berpunca dari komputer di dalam bilik. Rupa-rupanya dari mesin basuh yang telah hampir separuh terbakar. Ahli rumah terbabit dengan sedaya-upaya memadamkan api dengan mendapatkan sumber air dari luar bilik air tersebut. Keadaan di dalam bilik air sudah kelam, mangsa hanya memadamkan api dari luar sahaja.

Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Ahli rumah tersebut dikhabarkan selamat. Semua kembali tenang setelah api berjaya dipadamkan.


Takziah dari Saf Pimpinan HEWI buat mangsa. Semoga perkara sebegini tidak berulang lagi di masa akan datang. Jika ada sebarang permasalahan, harap dapat diselesaikan dengan segera dengan menggesa mana-mana pihak demi menjamin keselamatan ahli di bangunan ini.

Pesanan dari Unit Perumahan HEWI KPT supaya lebih berhati-hati dalam mengurus perjalanan kehidupan sehari-hari. Jadikan kejadian yang berlaku ini sebagai satu iktibar supaya setiap ahli selesa dan harmoni tinggal di sini.

Friday, September 3, 2010

Jejak Mawaddah Siri 7

26 Ogos 2010 - Bagi siri Jejak Mawaddah yang seterusnya, rombongan HEWI bergerak ke rumah sewa seorang lagi ahli pasangan mutazawwijin di walidain, Ukhti Norhura Adam sekeluarga. Walaupun berada di bulan Ramadhan dengan cuaca panas terik, usaha menjejak para madam masih diteruskan, bermatlamatkan mengukuhkan ukhuwah sesama ahli baik yang sudah berkahwin mahupun belum, sementara mengadakan kunjung ziarah buat mereka yang tinggal di luar.

Serba sedikit mengenai yang dikunjung kali ini, Ukhti Norhura Adam sekarang sedang menuntut di Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir dalam Ijazah Sarjana Muda Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab dalam bidang Syariah Islamiyyah. Berusia 22 tahun dan berasal dari Kemaman, Terengganu. Pasangannya, Ustaz Che Azizi juga menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Pihak tuan rumah berbesar hati menerima kunjungan HEWI KPT ke rumah beliau. Dengan mesranya rombongan dihidang dengan cerita-cerita panjang dan pengalaman beliau menghadapi saat-saat mencuci rahim akibat komplikasi pada kandungan yang dialaminya baru-baru ini. Manalah yang lebih pedih pada kesakitan zahir atau kesakitan batin, lantaran baru saja disahkan mengandung lantas ia tidak bermakna apa-apa.

Pihak AJKTdan HEWI serta seluruh ahli KPT merakamkan Salam Takziah buat Ukhti Norhura sekeluarga atas musibah yang menimpa. Semoga hari-hari mendatang kalian lebih tabah serta tidak mudah berputus asa dengan rahmat Allah yang sangat luas.

Majlis dipengerusikan oleh Ketua Unit Informasi dan Penerbitan, dengan sedikit kata-kata aluan dan pengenalan terhadap Program Jejak Mawaddah ini. Seterusnya ucapan daripada tuan rumah, Ukhti Norhura Adam yang merakamkan jutaan terima kasih kepada rombongan HEWI kerana sudi hadir dan menjemput untuk datang lagi. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh Ketua Unit Kebajikan, simbolik penghargaan pihak HEWI kepada tuan rumah kerana sudi menerima kunjungan ini.