PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Friday, September 10, 2010

PERUTUSAN AIDILFITRI YANG DIPERTUA KELUARGA PENUNTUT-PENUNTUT TERENGGANU MESIR 2009/2010


Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.
Lailahaillallah, Allahuakbar.
Allahuakbar, Walillahilhamd..

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dengan nama Allah Taala ; Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, segala puji bagi Allah Taala yang telah mengurniakan pelbagai nikmat dan rahmatNya ke atas sekalian hambaNya. Selawat dan salam ke atas rasul junjungan Sollallahu Alaihi Wasallam yang diutuskan olehNya sebagai rahmat sekalian alam.

Ramadha baru saja melabuhkan tirainya. Setelah melalui proses pembinaan diri selama sebulan dengan pelbagai ibadah yang didirikan semata-mata keranaNya, Dia pula menjanjikan limpahan keberkatanNya melalui Aidilfitri yang disambut sebagai anugerah kepada hamba-hambaNya yang berimana. Masing-masing bergembira dengan rahmatNya ini sebagai tanda penerimaanNya atas segala ibadah yang dilakukan ikhlas keranaNya.

Semoga isyarat paling jelas yang menunjukkan bahawa Allah Taala menurunkan rahmat kepada hambaNya apabila dia melapangkan hati manusiaketika mereka sama-sama menyambut Aidilfitri di seluruh dunia. Ukhuwah Islamiyyah antara mu'min terzahir apabila seluruh umat Islam saling bermaafan dan saling menziarahi saudara mereka. Kekuatan Islam terletak pada kesatuan yang ditunjukkan pada umatNya. Pada hari yang bahagia ini, Allah Taala menzahirkan - dengan rahmatNya - bahawa Islam merupakan agama yang sentiasa berada di bawah jagaanNya.

Ketika kita sama-sama bergembira dengan sambutan Aidilfitri, cubalah untuk melakukan muhasabah secara amanah; adakah kegembiraan ini semata-mata kerana rahmatNya? Kita mendoakan kepadaNya supaya termasuk dalam golongan yang sentiasa mendekatkan diri kepadanya dengan amalan yang terzahir pada diri. Biarlah kegembiraan yang terbit dalam hati disebabkan rahmatNya yang mengizinkan kepada kita untuk mentajdidkan amalan dan mempertingkatkan ibadah kepadaNya.

Gembira yang terbit dari hati yang menyedari bahawa segala kelebihan yang ada pada diri hanyalah semata-mata kerana kurniaan Allah Taala. Tiada daya dan upaya pada diri manusia yang sangat dhaif yang sentiasa mengharapkan pimpinan daripadaNya. Bukti yang paling jelas apabila seseorang mu'min itu istiqamah dengan segala ibadah yang dilakukan pada bulan Ramadhan, berusaha untuk memperbaiki dan menambah amalnya kepada Allah. Perasaan gembira inilah yang disebut dalam firmanNya;

"katakanlah : dengan kurniaan Allah Taala dengan rahmatNya yang demikian itu bergembiralah, dan ianya lebih baik dari segala yang mereka kumpulkan."

Adapun kegembiraan yang dimurkai oleh Allah Taala adalah kegembiraan yang terbit dari syahwat yang tidak dipimpin oleh cahaya iman. Tidak pernah timbul dalam diri mereka untuk menilai segala ibadah yang dilakukan. Bahkan, mereka melupakanNya yang menganugerahkan pelbagai rahmat kepada hambaNya. Aidilfitri yang disambut dikotori pelbagai maksiat dan dosa. Hiburan yang tidak berlandaskan syara' menjadi penyebab umat Islam semakin hanyut untuk mengingati Allah Taala walaupun hakikat Adilfitri itu adala anugerahNya kepada hambaNya yang sedia taat kepada perintahNya. Gembira seumpama ini adalah gembira yang ditegah oleh Allah Taala melalui firmanNya;

"Janganlah kamu bergembira (lalai dan leka), sesungguhnya Allah Taala tidak suka orang yang bergembira (yang melupakan Allah Taala)."

Aidlifitri mempunyai makna tersendiri dari sudut pandangan syara' apabila seluruh umat islam berjaya menyempurnakan ibadah Ramadhan yang diperintahkan oleh Allah Taala ke atas mereka. Hasil dari madrasah yang mengeluarkan nafsu yang tunduk kepada perintah Ilahi, hati yang bersih dari maksiat kepadaNya dan peribadi yang dihiasi akhlak-akhlak yang terpuji.

Begitulah juga dari sudut kemasyarakatan; mereka bertemu dengan wajah yang manis, bersalamn dan saling bermaafan. Masing-masing berkata kepada saudara seagamanya; lupakan segala kesilapan yang lalu. Segala kebencian terdahulu yang sengaja dilemparkan oleh syaitan ke dalam hati ana-anak Adam supaya berpecah. Anak-anak kecil bergembira manakala orang dewasa merasa tenang melihat suasana yang penuh harmoni di bulan yang mulia ini.

Disamping itu Aidilfitri memberi makna tersendiri pada pandangan politik dan ketamadunan. Kerja syaitan yang memecahbelahkan menyebabkan timbulnya perasaan khianat sesama sendiri. Perpecahan yang menyebabkan kelemahan dan kemunduran. Hasilnya, lahirnya sifat cintakan dunia yang menebal dalam diri. Juga isyarat kepada penguasaa yang zalim, tinggalkan kezalimanmu. Jangan jadi perosak kepada agama dan negara. Pikullah amanah sebaiknya sebelum dipersoalkan oleh Allah pada Hari Kiamat kelak.

Akhir kalam, istiqamahlah dengan segala amal kebaikan yang dilakukan sepanjang Ramadhan yang lalu. Semoga Allah Taala menerima segala ibadah dn dikurniakan keikhlasan dalam beramal.

Bagi pihak Saf Kepimpinan AJKT dan AJK HEWI Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) 2009/2010, saya mengucapkan Salam Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin.

Sekian, Wassalam.

"BERILMU DAN BERAMAL"

"KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH"

MOHD RIDUAN BIN ABU BAKAR
Yang DiPertua,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2009/2010.

Pejabat KPT, Kompleks Darul Iman,
Haiyyu Asyir, Kaherah.