PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Monday, August 29, 2011

PERUTUSAN YDP KPT MESIR SEMPENA AIDILFITRI 1432H


Assalamualaikum wa rahmatullah,


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:-

Hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada bulan Ramadan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu”.

[Surah al-Baqarah : 185]


الله أكبر ، الله أكبر ، الله أكبر ولله الحمد

Madrasah Ramadan telah melabuhkan tirainya. Syawal pula datang bertamu dengan pensyariatan Aidilfitri sebagai manifestasi kejayaan mengharungi madrasah Ramadan selama sebulan.


Oleh sebab itulah dianjurkan kepada umat Islam apabila datangnya Aidilfitri melafazkan ucapan “minal `a-ideen wal fa-izeen” yang bermaksud semoga digolongkan dalam kalangan mereka yang kembali kepada fitrah dan golongan yang berjaya.


Demikianlah halnya yang diharapkan daripada natijah puasa selama sebulan iaitu di akhirnya kita sama-sama digolongkan dalam kalangan orang-orang yang bertaqwa. Semoga dengan pentarbiyahan ini mampu menjadikan kita sebagai golongan yang lebih bersungguh-sungguh dalam mendekatkan diri kepada-Nya di segenap posisi kita berada; sama ada sebagai seorang individu muslim secara umumnya dan sebagai seorang mahasiswa/wi Islam khususnya.


Dalam kita bergembira merayakan Aidilfitri, tidak lupa kita panjatkan doa memohon pertolongan daripada Allah terhadap fitnah kezaliman, penindasan dan kebuluran yang menimpa saudara seakidah kita seperti di Syria, Yaman, Libya, Somalia dan sebagainya.


Semoga Aidilfitri kali ini menjadi titik tolak kemerdekaan kepada kita dan mereka daripada perhambaan terhadap makhluk kepada perhambaan sejati terhadap Khaliq bersesuaian dengan Sambutan Kemerdekaan Malaysia kali ke-54 yang jatuh pada 2 Syawal 1432H bersamaan 31 Ogos 2011M.


Untuk akhirnya, saya mewakili saf kepimpinan AJKT & HEWI KPT Mesir mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri buat seluruh mahasiswa/wi Terengganu di Perlembahan Nil ini dan mendoakan semoga Allah Ta`ala memakbulkan doa dan segala amalan soleh sepanjang pentarbiyahan di bulan Ramadan serta menggolongkan kita dalam kalangan mereka yang benar-benar kembali kepada fitrah dan orang-orang yang bertaqwa.


Sekian, wassalam.


“KEMANTAPAN FIKRAH, MEMBINA SYAKHSIAH”
“BERILMU DAN BERAMAL”


MOHD RIDUAN BIN ABU BAKAR
Yang Dipertua,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2010/2011


Pejabat KPT, Kompleks Darul Iman,
Hayyu Asyir, Kaherah.

MANIFESTASI SELEPAS SYAHR TARBAWIY KPT MESIR

Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kita telah berjaya melalui bulan Ramadan pada tahun ini. Semoga setiap amalan kita diterima oleh Allah S.W.T. Kita panjatkan doa supaya tidak tergolong dalam golongan yang rugi kerana tidak diampunkan dosa walaupun telah melalui bulan Ramadan sebagaimana yang telah diungkapkan dalam hadis Baginda Nabi sallallahu `alaihi wasallam:-

خاب وخسر من أدرك رمضان ولم يغفر له

Maksudnya : “Rugi dan celakalah sesiapa yang berkesempatan melalui Ramadan tetapi tidak diampunkan dosanya”.


Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa pada tahun 1432H pada kali ini, pihak KPT Mesir telah menjadikan bulan Ramadan sebagai Syahr Tarbawiy iaitu sebagai bulan pentarbiyahan. Ini adalah manifestasi daripada usul yang telah dipersetujui dalam MAT KPT Mesir kali ke-46 yang lalu iaitu untuk mempertingkatkan tarbiyah dalam kalangan mahasiswa Terengganu Mesir.


Dalam fatrah sebulan Ramadan pada kali ini, pihak AJK Pelaksana telah melaksanakan beberapa program dan aktiviti bersesuaian untuk meningkatkan tarbiyah dalam kalangan mahasiswa Terengganu Mesir khususnya.


Oleh yang demikian, kami mengharapkan segala aktiviti yang telah dilaksanakan itu dapat meningkatkan lagi tarbiyah dan taqwa kita kepada Allah selepas kita keluar daripada madrasah Ramadan pada kali ini.


Ramadan meninggalkan kita tanpa ada jaminan adakah kita akan bertemu Ramadan pada tahun hadapan. Para salafus soleh menangisi pemergian Ramadan dan selalu memperbanyakkan doa supaya dipertemukan semula dengan Ramadan pada tahun yang seterusnya.


Syahr Tarbawiy Melahirkan Insan Rabbaniy Bukan Ramadaniy

Apa yang ingin dilahirkan melalui madrasah Ramadan juga adalah insan-insan yang mempunyai jiwa rabbaniy dan bukan sekadar memiliki semangat Ramadaniy. Apa yang diinginkan adalah hamba yang melakukan amal kebaikan dalam tujuan mencari redha Allah dan bukan sekadar mengejar ganjaran pahala.


Syahr Tarbawiy ini juga akan melahirkan insan yang menjadikan Ramadan sebagai batu loncatan dan pembakar semangat untuk terus meningkatkan amal dan bukan sekadar menjadikannya satu-satunya bulan untuk berbuat kebaikan. Segalanya kembali kepada niat kita di awal Ramadan dahulu. Jika niat itu bersih semata-mata mengharapkan redha Ilahi, insya-Allah rasa taqwa itu akan berterusan walaupun Ramadan sudah berlalu meninggalkan kita.


Pada kesempatan ini juga, saya selaku Pengarah Sambutan Syahr Tarbawiy peringkat KPT Mesir 1432H ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua AJK pelaksana dan juga kepada mereka yang telah menjayakan program ini.


Sekian wassalam.


“KEMANTAPAN FIKRAH, MEMBINA SYAKHSIAH”
“BERILMU DAN BERAMAL”


AHMAD ULWAN BIN HASSIM
Pengarah Sambutan Syahr Tarbawiy 1432H,
(Merangkap Naib Setiausaha),
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2010/2011


Pejabat KPT, Kompleks Darul Iman,
Hayyu Asyir, Kaherah.

KPT MESIR TERUS BERSAMA BKKIMM

28 Ogos 2011 – Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) yang menaungi mahasiswa Islam Melaka terus mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak.


BKKIMM telah mengalami penafian hak sebagai persatuan mahasiswa dan tidak diberi keistimewaan untuk mengadakan aktiviti hingga membantutkan perjalanannya.


Namun kini ia dilihat semakin kuat apabila mendapat sokongan padu daripada anak kelahiran Melaka sendiri dan turut didokong oleh kesatuan mahasiswa walaupun mendapat pelbagai tekanan.


Yang Dipertua Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir; Saudara Mohd Riduan bin Abu Bakar ketika ditemui selepas menghadiri majlis berbuka puasa BKKIMM semalam menyatakan bahawa KPT Mesir akan terus bersama mendokong BKKIMM.


Tambah beliau lagi, kehadiran beberapa pimpinan BKAN ke majlis tersebut disambut baik dan diharap mengeratkan ukhuwwah bersama.


Moga BKKIMM akan terus maju, melakar sejarah agung buat anak Melaka dan kelangsungan agenda dakwah Islam.

MAHASISWA BARU : KPT MESIR GERAKKAN USMB

Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir yang ditubuhkan sejak tahun 1964 telah berperanan dalam menjaga kebajikan mahasiswa Terengganu di Mesir.


Setibanya mahasiswa baru Terengganu khasnya ke Mesir, pastinya akan disambut mesra oleh pihak KPT Mesir.


Menurut Timbalan Yang Dipertua KPT Mesir; Saudara Ahmad Salikin bin Abd Rahman ketika ditanya tentang persediaan menyambut mahasiswa baru kali ini beliau menegaskan bahawa pihak KPT Mesir telah menjalankan persediaan awal bagi tujuan tersebut.


Pihak KPT Mesir telah melantik Saudara Abdul Mannan bin Jusoh sebagai Pengarah Urusetia Sambutan Mahasiswa Baru (USMB) 2011.


Diharap dengan perlantikan tersebut akan melicinkan lagi gerak kerja bagi menyambut kehadiran mahasiswa baru kali ini.

Friday, August 26, 2011

KPT MESIR MENYOKONG PENUH KONVOKESYEN PMRAM


Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) baru-baru ini telah mengumumkan kesediaannya untuk mengadakan konvokesyen pada tahun ini.

PMRAM adalah persatuan induk mahasiswa Islam di Mesir yang dahulu pernah menganjurkan konvokesyen demi meraikan kejayaan mahasiswa Malaysia di Mesir.

Pihak Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir dengan sukacitanya menegaskan bahawa kami menyokong penuh atas usaha PMRAM untuk mengadakan konvokesyen pada tahun ini.

Berdasarkan kepada culaan yang dibuat oleh pihak KPT Mesir, ahli bersetuju untuk diadakan konvokesyen tersebut. Oleh itu adalah wajar bagi pihak PMRAM mempertimbangkannya.

Pihak KPT Mesir bersedia untuk menyalurkan bantuan kepada pihak PMRAM untuk menjayakan konvokesyen pada tahun ini.

Konvokesyen yang bakal diadakan oleh pihak PMRAM ini diharapkan dapat meraikan dan menghargai graduan-graduan yang telah berjaya dan akan menyuntik semangat bagi mahasiswa-mahasiswa lain.

Semoga usaha murni ini mendapat berkat dan keredhaan Allah Ta`ala demi kesatuan kita.

Sekian, wassalam.

“BERILMU DAN BERAMAL”
“KEMANTAPAN FIKRAH, MEMBINA SYAKHSIAH”

MOHD RIDUAN BIN ABU BAKAR
Yang Dipertua,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2010/2011.

Pejabat KPT, Kompleks Darul Iman,
Hayyu 10, Kaherah.

MAKLUMAN RASMI PEMANGKUAN JAWATAN HEWI KPT

Setelah mesyuarat barisan kepimpinan Hal Ehwal Wanita Islam ( HEWI ) Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir diadakan, pihak HEWI KPT Mesir dengan sukacitanya dan secara rasminya memutuskan dan memaklumkan bahawa kekosongan jawatan-jawatan HEWI KPT Mesir seperti Setiausaha, Ketua Unit Dakwah dan Ketua Unit Akademik akan dipangku sebagaimana maklumat berikut:-


1. Setiausaha : Saudari Nur Farhana bt Hanafi (Ketua Unit Perumahan) [+20116452606].

2. Ketua Unit Dakwah : Saudari Nursyazwani bt Jusoh (Bendahari) [+20119834344].

3. Ketua Unit Akademik : Saudari Nor Eina bt M Ali (Ketua Unit Informasi & Penerbitan) [+20117596077].


Sebarang permasalahan dan persoalan, sila berhubung dengan unit berkenaan atau terus menghubungi nombor telefon Naib Pengerusi HEWI KPT Mesir [+20116035409].


“BERILMU DAN BERAMAL”

“KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH”


NUR FARHANA BT HANAFI
Pemangku Setiausaha,
Hal Ehwal Wanita Islam,

Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2010/2011.

MAKLUMAN PEMANGKU PENGERUSI UBM DAN HISBAH

Pihak Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa Pengerusi Unit Bait Muslim (UBM) dan Unit Hisbah KPT Mesir telah dipangku oleh Saudara Abdul Halim bin Ahmad.

Keputusan tersebut telah dibuat oleh pihak KPT Mesir setelah penyandangnya; Saudara Nik Rosdi bin Nik Jusoh pulang bercuti ke Malaysia baru-baru ini.


Semoga dengan perlantikan tersebut akan melicinkan lagi perjalanan gerak kerja.


Sekian, wassalam.


“Kemantapan Fikrah Membina Syakhsiah”
“BERILMU DAN BERAMAL”


ABDULLAH HARIS BIN ZAKARIA
Setiausaha,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2010/2011.

Thursday, August 25, 2011

2 PRESIDEN KECEWA DENGAN SIKAP EN. KHAIRI JALALLUDIN

KAHERAH, 25 Ogos – Satu perjumpaan tertutup antara Presiden PMRAM; Saudara Muhamad Zuhaili Saiman dan Presiden Perubatan; Saudara Syafiq Hamdani telah diadakan pada jam 10 pagi tadi di Markaz Perubatan, Sayyidah Zainab.


Perjumpaan 2 Presiden tersebut adalah bertujuan bagi membincangkan isu mahasiswa perubatan Tanta; Saudara Muhammad Alif Sofian Gan yang tidak dapat memasuki peperiksaan akhir tahun ekoran kelewatan pengurusan dan sikap sambil lewa yang ditunjukkan oleh Pegawai EM; En. Khairi Jalalludin.


Isu mahasiswa perubatan Tanta telah mendapat perhatian di peringkat PMRAM bagi sama-sama turut serta membela mangsa.


Sebelum ini PMRAM telah pun mendapatkan maklumat dan laporan di peringkat Perubatan Cawangan Tanta berhubung isu yang berlaku.


Hasil perjumpaan tersebut, kedua-dua Presiden bersetuju untuk mengambil tindakan yang lebih serius bagi membantu mangsa dalam isu yang dihadapinya.


“Ia adalah isu mahasiswa. Isu mahasiswa adalah isu kita bersama. PMRAM melahirkan sikap kecewa dengan sikap sambil lewa yang ditunjukkan oleh En. Khairi Jalalludin sekaligus mencerminkan bahawa tercalarnya profesional seorang pegawai yang dihantar ke Mesir”, ujar Presiden PMRAM.


“Pihak Perubatan mengucapkan terima kasih kepada PMRAM kerana sanggup bersama-sama untuk membantu Perubatan dalam menyelesaikan isu ini. Kita mengharapkan keputusan yang terbaik demi kebajikan Saudara Muhammad Alif bin Sofian Gan”, kata Presiden Perubatan.

Sunday, August 21, 2011

GEMPAK MUJAHIDAH : MENAMBAH THAQAFAH, MENGUKUH KESATUAN

Kaherah, 27 Ogos 2011 – Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI), Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir, telah berjaya menganjurkan program Gempak Mujahidah 2011 (GM ‘11) yang telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 15 & 16 Ogos dengan tema ‘Mahasiswi Seiring Dengan Perkembangan Dunia Baru’. Program ini adalah program khusus bagi siswi dan kehadiran peserta adalah seramai lebih kurang 48 orang.


Program tersebut bermula seawal 7.30 pagi dengan pendaftaran peserta, kemudia Majlis Perasmian Gempak Mujahidah yang bermula jam 9.00 pagi dengan alunan Asma’ al-Husna, lagu PMRAM dan lagu tema progam. Majlis diserikan dengan ucapan Pengarah Program; Saudari Naufal Kamaruddin, seterusnya ucapan Naib Pengerusi HEWI KPT Mesir 2010/2011; Saudari Tengku Fathimah Tengku Hashim, dan perasmiannya disempurnakan oleh Yang DiPertua (YDP) KPT Mesir 2010/2011; Saudara Mohd Riduan Abu Bakar yang juga merangkap Pengerusi HEWI, sekaligus melancarkan gimik perasmian.


Slot pertama dimulakan dengan Wacana Ilmiah pada yang bertajuk ‘Realiti Muslimah Mendepani Arus Globalisasi’ dan disampaikan oleh Saudari Nurul Hasanah Yahuza (Naib Pengerusi II; Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM 2011) dan Saudari Noor Akmaizan Yusof (Setiausaha HEWI PMRAM 2011). Slot ini diserikan lagi dengan moderator yang ceria Saudari Nadiah Remli dan berakhir kira-kira jam 11.40 pagi.


Slot 2 diteruskan dengan Kursus Bekam yang telah disampaikan oleh Saudari Nursyazwani Jusoh. Program kemudiannya disambung dengan pengisian berikutnya iaitu Forum Kesihatan Wanita yang membicarakan tentang kehamilan oleh Saudari Natrah Ahmad Kamil (Mantan Timbalan Presiden II Persatuan Perubatan). Kemudian disusuli dengan pemeriksaan kesihatan yang bermula jam 1.30 tengah hari hingga 4.30 petang.


Program diteruskan dengan slot berikutnya; slot bersama HEWI yang bertajuk Tentang Dia. Dalam slot ini Kepimpinan HEWI akan membaca biodata diri dan menerangkan portfolio masing-masing, dan setiap 2 org daripada 4 kumpulan yang telah dibahagikan akan mencabut nama 2 HEWI bertuah yang akan masuk ke kumpulan mereka. Manakala ahli kumpulan lain akan meneka 2 HEWI bertuah tersebut berdasarkan klu-klu yang dibuat. Ahli kumpulan tersebut kemudiannya diminta menperkenalkan kembali HEWI tersebut, berdasarkan apa yang telah diperkenalkan di permulaan slot tadi.


Usai solat Asar, pertandingan permainan tradisional diteruskan dengan acara regu, tudung botol dan congkak yang telah diwakili oleh setiap kumpulan pada satu permainan. Pertandingan ini tamat tepat jam 6.00 petang dan selesai hari pertama.


Pada hari kedua pula, seawal jam 2.30 pagi berlangsungnya qiayamullal dan peserta kemudiannya dihidangkan dengan sedikit makanan untuk sahur jama’ie dan menunggu untuk solat subuh secara berjemaah.


Program disambung pada jam 7.30 pagi dengan diskusi kitab fiqh mar’ah yang bertajuk ‘Risalah fi Ahkam al-Haidh wa an-Nifas wa al-Istihadah’ didiskusikan oleh Ustazah Afraa ‘Abidah binti Ismail; isteri kepada Sheikh Rohimuddin Nawawi Azmatkhan al-Bantany. Kemudian diteruskan acara debat ’kedai kopi’ yang diwakili oleh pihak kerajaan dan pembangkang dari setiap kumpulan, tema program telah dijadikan tajuk perbahasan untuk acara debat kali ini. Perbahasan ini telah dimenangi oleh pihak kerajaan.


Sebelum ke slot seterusnya, program memberi laluan untuk solat Zohor dan rehat. Setelah itu diteruskan dengan Kursus Pengurusan Jenazah yang telah dibentangkan oleh Ustazah Dayang Siti Noraini binti Awang Damit Yahya. Kursus ini telah menerangkan bagaimana cara menghadapi orang yang sedang nazak, bagaimana mamandikan jenazah ,mengkafankan jenazah dan lain-lain. Cara memandikan dan mengkafankan ditunjukkan secara praktikal.


Seterusnya diadakan pertandingan gubahan dan pantun secara serentak dan ditangguh seketika bagi member laluan kepada waktu solat asar, disambung semula pada jam 4.15 petang dan berakhir pada 6.00 petang.


Akhirnya tibalah ke Majlis Penutup yang disempurnakan oleh Saudari Noor Akmaizan Yusof yang merukapan HEWI Angkat Terengganu. Kemudian diteruskan dengan penyampaian hadiah untuk pemenang pertandingan, persembahan nasyid oleh kumpulan Insyirah, sedikit tayangan video dari HEWI dan berbuka puasa beramai-ramai. Program dua hari ini juga diserikan dengan pameran di bawah keloalaan Unit Informasi dan Penerbitan HEWI KPT Mesir 2010/2011.


Bacaan doa di akhir program disampaikan oleh Ketua Unit Dakwah HEWI KPT Mesir; Saudari Nuraini Abdullah. Majlis berakhir sekitar jam 8.00 malam.


Pihak KPT Mesir mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh warga kerja yang bertungkus-lumus menjayakan program Gempak Mujahidah 2011 yang berlangsung selama 2 hari ini.

Saturday, August 20, 2011

ISU MAHASISWA PERUBATAN TANTA : PMRAM AKAN BERTINDAK


KAHERAH, 19 Ogos – Isu seorang mahasiswa perubatan di Tanta; Saudara Muhammad Alif Sofian Gan yang tidak dapat memasuki peperiksaan akhir tahun pada Jun baru-baru ini mendapat perhatian serius di peringkat PMRAM.


Beliau dilaporkan tidak dapat memasuki peperiksaan akhir tahun kerana fail atau dokumen pengajian beliau tidak sampai ke pihak Universiti Tanta untuk diproses.


Dimaklumkan bahawa pihak persatuan Perubatan telah pun pergi menemui pihak pegawai EM yang terlibat iaitu En. Khairi Jalalludin, namun masalah yang dihadapi oleh mangsa masih belum selesai. Sehinggakan beliau dikira gagal pada peperiksaan akhir tahun pada semester pertama iaitu Jun lalu.


PMRAM juga mendapat maklumat bahawa mangsa sehingga ke hari ini tidak dapat menduduki peperiksaan akhir tahun pada semester kedua yang sedang berlangsung sekarang.


“PMRAM dimaklumkan bahawa hal ini berlaku apabila En. Khairi Jalalludin enggan turun ke Universiti Tanta dengan lebih awal pada Jun lalu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Saudara Muhammad Alif”, ujar Naib Presiden III; Saudara Syeikh Mujahid.


“Selain itu, PMRAM juga mendapat laporan bahawa pada awal kes berlaku, sepatutnya En. Khairi Jalalludin mengeluarkan surat rasmi kepada pihak Universiti Tanta untuk menyelesaikan masalah ini, namun ia tidak berlaku”, tambah beliau lagi.


PMRAM akan mendapatkan maklumat lengkap berhubung isu ini daripada pihak mangsa dan Perubatan Cawangan Tanta melalui Unit Kebajikan Dan Kemanusiaan DPM Tanta dengan segera bagi memudahkan tindakan diambil.


“Insya-Allah, PMRAM akan mengambil maklumat penuh untuk disiasat seterusnya menyusun langkah bagi membantu pihak mangsa”, jelas beliau lagi.

Friday, August 19, 2011

MAKLUMAN ZAKAT FITRAH 1432H


Makluman kepada semua mahasiswa/wi Terengganu yang berada di Mesir, zakat fitrah pada tahun ini bernilai LE10. Nilai ini adalah berdasarkan ketetapan yang telah dikeluarkan oleh Darul Ifta’ Mesir.


Bagi sesiapa yang ingin membuat pembayaran zakat, sila berbuat demikian melalui Bendahari KPT Mesir; Saudara Wan Mohd Khairuddin bin Wan Isa [+20140435469] atau Bendahari HEWI; Saudari Nursyazwani binti Jusoh [+0119834344]. Boleh juga terus membuat bayaran tersebut kepada Bendahari Kehormat PMRAM.


Pungutan zakat fitrah akan bermula pada 19 Ramadan 1432H dan akan berakhir pada 26 Ramadan 1432H. Semoga segala amalan kita pada bulan yang mulia ini diterima dan dinilai oleh Allah Ta`ala.


Sekian, wassalam.


“Kemantapan Fikrah, Membina Syakhsiah”
“BERILMU DAN BERAMAL”


Yang menjalankan amanah,


WAN MOHD KHAIRUDDIN BIN WAN ISA
Bendahari,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2010/2011.

KPT MESIR LANCAR TABUNG KEMANUSIAAN SOMALIA


Pihak Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir telah melancarkan tabung bantuan kemanusiaan bagi mengumpul sumbangan untuk disalurkan kepada rakyat Somalia yang dilanda krisis kebuluran yang telah meragut puluhan nyawa.


Pelancaran tabung tersebut juga adalah bagi menyahut saranan PMRAM Pusat yang telah dibuat baru-baru ini. Ia bertepatan dengan saranan agama Islam yang menuntut umat Islam agar saling membantu antara satu sama lain.


Maksud Sabda Rasulullah – sollallohu `alaihi wasallam – : “Barangsiapa yang menghilangkan kesusahan seorang muslim, maka Allah akan menghilangkan kesusahannya pada hari akhirat”.

(HR Bukhari dan Muslim)


Perlancaran telah disempurnakan oleh Badan Pengurus Angkat PMRAM Cawangan Terengganu; Saudara Zulhafeez bin Ahmad Zahidi yang turut hadir mengisi slot Ijtima’ Usbu`ie (himpunan mingguan) ahli-ahli KPT Mesir.


Pemangku Ketua Biro Kebajikan KPT Mesir ketika ditemui, menyeru kepada seluruh mahasiswa agar sama-sama menghulurkan bantuan untuk meringankan penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Somalia berikutan krisis kebuluran dan keganasan yang dilalui sejak 60 tahun yang lalu.


Pihak KPT Mesir berharap dengan pelancaran tabung bantuan kemanusiaan Somalia ini dapat membuka peluang kepada mahasiswa untuk menambahkan lagi kebaikan amalan di bulan Ramadan ini.


Sumbangan anda boleh disalurkan melalui:-


1. Pemangku Ketua Biro Kebajikan KPT Mesir
Saudara Afuza Abdullah bin Idiris
No. Telefon : +20145654733


2. Ketua Unit Kebajikan HEWI KPT Mesir
Saudari Shazazierra binti Sharif
No. Telefon : +20112871396

Wednesday, August 17, 2011

KESAN DESAKAN MEMBUAHKAN HASIL

KAHERAH, 17 Ogos – Isu seorang mahasiswi perubatan Universiti Ain Shams; Saudari Hamisah binti Hashim yang terpaksa menanggung kos pembayaran yuran pengajian ulangannya telah dapat diselesaikan oleh pihak yang terbabit.

Setelah isu ini mendapat liputan meluas dalam media, akhirnya ia telah menatijahkan hasil apabila kos yuran ulangan yang perlu ditanggung tidak perlu dijelaskan oleh beliau.

Sekaligus ia membuktikan bahawa isu ini mula mendapat perhatian apabila desakan daripada PMRAM, BKASM dan PERUBATAN agar Encik Khairi bin Jalalluddin bertindak sepertimana dalam bidang kuasanya selaku Pegawai Atase Pendidikan Education Malaysia Egypt (EME).

PMRAM mengharapkan agar Encik Khairi akan lebih peka tentang pengurusan mahasiswa sama ada di peringkat pengajian Islam mahupun perubatan agar tidak berulang lagi insiden seperti ini.

“Kebersamaan PMRAM, BKASM dan PERUBATAN dalam menangani isu ini membuktikan sensitiviti mahasiswa dalam membela hak dan maruah agar tidak mudah diperjudikan oleh mereka yang tidak amanah dalam melaksanakan tugas”, ujar Saudara Zulhafeez bin Ahmad Zahidi; Ketua Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM ketika ditemui semalam.

“Kewujudan EME adalah bertujuan untuk memudahkan urusan mahasiswa dan menjadi pengantara yang menguruskan segala urusan yang berkaitan dengan mahasiswa, maka perlu diingat dasar dan objektif keberadaan EME di Mesir agar pengurusan dan pentadbiran yang berjalan tidak tersasar daripada matlamatnya yang asal”, tambah beliau lagi.

Sumber : Web Rasmi PMRAM

VOTE '11 SIRI IV : MELAHIRKAN BAKAT BARU



KAHERAH, 13 OGOS – Kursus Vokasional & Teknikal (VOTE ’11) siri keempat ; Kursus Adobe Photoshop telah berjaya diadakan di bawah seliaan Biro dan Unit Informasi dan Penerbitan KPT Mesir. Kursus yang hanya dibuka kepada akhawat sahaja ini telah mendapat sambutan yang baik daripada ahli KPT bukan sahaja yang berada di kompleks bahkan ahli yang tinggal di luar kompleks.

Program ini terbahagi kepada dua sesi ; sesi pembentangan oleh Saudari Naufal binti Kamaruddin, Setiausaha HEWI KPT dan sesi praktikal (pertandingan). Dalam sesi praktikal, peserta telah diminta untuk membuat kad ucapan sempena Ramadhan. Pemenang pertama telah dimenangi oleh Saudari Wan Nurhadhirah Amalina Wan Sulaiman, pelajar perubatan dari Saiyyidah Zainab. Manakala pemenang kedua dan ketiga dimenangi oleh Saudari Noor Syahidatul Akmal binti Haimi dan Saudari Fatin Farhanah Salleh.


Pemenang Pertama


Pemenang Kedua


Pemenang Ketiga


Melalui kursus yang telah diadakan ini, bakat-bakat baru yang terpendam di kalangan ahli dapat diasah sekaligus dapat membina pelapis baru bagi menyumbang tenaga kerja untuk KPT Mesir khususnya dan PMRAM amnya untuk masa akan datang.