PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Tuesday, December 6, 2011

HIJRAH : MOMENTUM IMAN DAN JIHAD

 
HIJRAH
MOMENTUM IMAN DAN JIHAD
 
 
 
Bulan Muharram yang merupakan bulan pertama dalam taqwim Hijriah yang begitu terkenal dengan peristiwa hijrah Rasulullah dan para muhajirin dari kota Makkah  ke kota Madinah.

Hakikatnya, hijrah Rasulullah tidak berlaku pada awal tahun dan tidak berlaku pada bulan Muharram. Sebaliknya, Rasulullah mula keluar dari kota Mekkah pada akhir bulan Safar, bulan yang kedua dalam kalendar Islam. Baginda keluar dari Mekkah bersama-sama dengan Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan tiba di kota Madinah pada hari Jumaat, 12 Rabiul Awal.

Namun detik peristiwa tersebut dipilih sebagai tahun yang pertama dalam kalendar Islam sewaktu proses penetapan kalendar Islam pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab kerana ianya telah menghasilkan momentum terbesar di dalam sejarah perjuangan Rasulullah iaitu pembentukan sebuah negara Islam yang pertama.

Begitulah kuasa yang ada pada sebuah hijrah.

Hijrah umumnya bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain.Adapun hakikat hijrah adalah meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah dan melangkah mendekati Allah .

Hal ini bertepatan dengan hadis Rasulullah yang bermaksud :

“Orang yang berhijrah itu adalah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang Allah”. [HR. Bukhari dan Muslim].


HIJRAH DAN JIHAD BUKTI KEIMANAN

Hijrah dan jihad merupakan perkara yang tidak dapat dipisahkan. Tuntutan jihad sangat diperlukan dalam melaksanakan hijrah.

Hal ini jelas berdasarkan firman Allah :

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ
أُولَئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَةَ اللَّهِ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
 
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [Surah Al-Baqarah: 218]

Berdasarkan ayat di atas, perkataan hijrah dan jihad disekalikan dan dikaitkan pula dengan perkataan iman . Hal Ini menunjukkan hijrah dan jihad harus dibangunkan  atas dasar keimanan.

Iman
adalah keyakinan kepada  Allah, syarat kebahagian, kemenangan dan kemuliaan didunia dan akhirat. Hijrah adalah pembuktian atau tindakbalas keimanan.Jihad pula adalah bentuk komitmen dalam menegakkan keimanan.

Hakikat hijrah adalah melaksanakan perintah Allah dengan meninggalkan kemalasan dan kederhakaan kepada-Nya serta meninggalkan larangan-larangan-Nya dengan meninggalkan segala bentuk kesukaan atau kecintaan kepada kemaksiatan, maka hijrah itu harus dilakukan sepanjang perjalanan hidup sebagai seorang muslim. Bagi merealisasikan perkara ini pastinya menuntut kepada  menuntut kesungguhan (jihad). Oleh yang demikian , iman, hijrah dan jihad merupakan kunci bagi manusia untuk meraih darjat yang tinggi dan kemenangan dalam melawan musuh-musuh kebenaran.


JIHAD SEBAGAI CABANG HIJRAH

Daripada Aishah r.a berkata, Rasulullah saw bersabda maksudnya:

Tidak ada hijrah selepas pembukaan (Mekkah,) tetapi jihad dan niat (yang baik.) Apabila kamu disuruh bersiap sedia, maka bersedialah.”  [Hadis riwayat Muslim]

Imam al-Nawawi berkata, para ulama’ mengatakan hijrah daripada Dar al-Harb kepada Dar al-Islam kekal sehingga hari kiamat. Terdapat dua takwilan bagi hadis ini :

i)  tiada hijrah daripada Mekah selepas pembukaannya, kerana Mekah telah menjadi Dar al-Islam.Adapun hijrah hanya daripada Dar al-Harb. Hadith ini mengandungi mukjizat RasululLah s.a.w bahawa Mekah akan kekal sebagai Dar al-Islam, yang tidak terbayang untuk berhijrah daripadanya.

ii) maksudnya tiada hijrah selepas Pembukaan Mekah yang kelebihannya seperti kelebihan sebelum pembukaannya

Dan maksud  : “ Tetapi Jihad dan Niat ”, daripada hadis tersebut adalah :

“Tetapi apa yang tinggal untuk kamu adalah jalan untuk jalan untuk memperoleh fadhilat-fadhilat hijrah tersebut iaitu dengan jihad dan niat yang soleh dan baik pada setiap perkara.”

Berdasarkan hadis di atas, jelaslah bahawasanya  tiada lagi hijrah bagi umat Islam selepas pembukaan kota Makkah.Namun, Rasulullah memperluaskan maksud dan konsep hijrah pada bahagian kedua dengan menyatakan, niat dan kesediaan berjihad untuk Islam juga dianggap satu cabang hijrah.

Adapun kefahaman jihad sepertimana yang dimaksudkan oleh As-Syahid Imam Hassan Al-Banna adalah adalah satu fardhu yang berkuatkuasa sehingga hari kiamat.

Begitu juga maksud dari sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:  

"Sesiapa yang mati dan tidak berperang dan tidak berniat hatinya untuk berperang maka dia mati dalam keadaan mati jahiliyyah."

Peringkat pertama bagi jihad adalah mengingkari dari hati, peringkat tertingginya adalah berjihad dijalan Allah. Antara keduanya adalah jihad lidah,  pena, tangan dan perkataan yang benar kepada pemerintah yang zalim.


KONKLUSI

Tuntasnya, penghijrahan Rasulullah dan para muhajirin dari kota Makkah ke kota Madinah adalah dengan membawa matlamat yang satu iaitu menegakkan kalimatulhaq di atas muka bumi ini.Usaha untuk menyebarkan dakwah dan risalah ilahi ini  tidak akan hidup kecuali dengan jihad. Setanding dengan ketinggian dan keluasan ufuk dakwah ini, begitu jugalah besarnya kelebihan jihad di jalan dakwah, mahalnya harga yang dipinta untuk mendokongnya, besarnya balasan yang akan diberikan kepada orang-orang yang beramal.


Wallahu'alam

 sumber:: PMRAM