PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Saturday, April 30, 2011

MAJLIS KESYUKURAN ANAK-ANAK TERENGGANU DAN WALIMATUL URUS BERJALAN LANCAR

KAHERAH, 28 April – Rentetan dari kepulangan semula semua pelajar ke Bumi Mesir bagi meneruskan kembali pengajian masing-masing, satu majlis kesyukuran telah dianjurkan oleh pihak KPT Mesir. Majlis ini turut diserikan dengan Majlis Walimatul Urus bagi beberapa pasangan mahasiswa yang baru melangsungkan perkahwinan mereka semasa kepulangan pelajar berikutan revolusi yang berlaku di Mesir baru-baru ini.

Pasangan yang terlibat dalam Majlis Walimatul Urus ini ialah Saudara Mohd Ubaidillah bin Deraman dan isteri; Saudari Aisyah Karimah bt Ahmad, Saudara Abdul Halim bin Ahmad dan isteri; Saudari Khadijah Rasyidah bt Abd Ghani, dan Saudara Che Ku Mohd Faisal bin Che Ku Abdullah dan isteri; Saudari Wan Rokiah bt Wan Yahya.

Majlis ini bermula pada jam 1 tengah hari dan berakhir pada jam 6 petang. Majlis ini dimulakan dengan bacaan doa oleh Al-Fadhil Syeikh Asyraf Hamed Hasani Al-husaini; Imam Masjid Al-Azhar, Kaherah. Majlis turut diserikan dengan bacaan burdah dan ucapan dari tetamu-tetamu kehormat. Turut dirasmikan dalam majlis ini Tabung Derma bagi menampung kos perbelanjaan rawatan Saudara Noorahmad Hakim; Ketua Biro Kebudayaan, Kesenian & Sukan KPT Mesir.

Dianggarkan seramai 350 orang ahli telah hadir bagi memeriahkan majlis ini. Pihak KPT Mesir dengan berbesar hati mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang turut memeriahkan majlis Kesyukuran dan Walimatul Urus ini.

MAKLUMAN PEMANGKUAN DAN KEMBALI BERTUGAS

Assalamualaikum. Pihak Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) hari ini memaklumkan bahawasanya jawatan Ketua Biro Kebudayaan, Keseniaan & Sukan KPT Mesir yang disandang oleh Saudara Noorahmad Hakim bin Ngah @ Mohd Noor akan dipangku oleh Saudara Mohd Kamal bin Mohd Shah selaku Ketua Biro Perumahan KPT Mesir untuk sementara waktu rentetan daripada masalah kesihatan yang dialami oleh beliau.

Pihak KPT Mesir juga memaklumkan bahawasanya jawatan-jawatan yang telah dipangku sebelum ini telah kembali ditugaskan sebagaimana maklumat berikut:-

1. Yang Dipertua : Saudara Mohd Riduan bin Abu Bakar [+20115263796]

2. Naib Setiausaha : Saudara Ahmad Ulwan bin Hassim [+20149476256]

3. Bendahari : Saudara Wan Mohd Khairuddin B Wan Isa [+20140435469]

4. Ketua Biro Dakwah : Saudara Ahmad Muzani B Abd Rahman [+20159273099]

5. Ketua Biro Akademik : Saudara Mohd Zahani B Abd Ghani [+20141014945]

6. Ketua Unit Informasi & Penerbitan : Saudari Nor Eina bt M. Ali [+20117596077]

Pihak KPT Mesir dengan berbesar hati mengucapkan selamat kembali bertugas kepada semua AJKT & HEWI yang baru tiba dari Malaysia.

Kepada mana-mana ahli yang mempunyai masalah bolehlah berhubung terus kepada ketua biro yang terlibat atau hubungi terus ke nombor telifon rasmi Yang Dipertua KPT Mesir seperti yang tertera di atas.

Friday, April 29, 2011

PERANCIS BOLEHKAN DEDAH AURAT, TAPI MENGHARAMKAN PURDAH


وَلَن تَرْضَى عَنكَ الْيَهُودُ وَلاَ النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللّهِ مِن وَلِيٍّ وَلاَ نَصِيرٍ

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. ( Al-Baqarah:120)

Dasawarsa ini, kita sering dihujani dengan isu-isu yang menggangu gugat sensitiviti umat Islam. Bertepatan dengan firman Allah S.W.T diatas, bangsa Yahudi tidak akan pernah berdiam diri selagi mana umat Islam tidak mengikut gaya hidup mereka. Dulu, Islam dihina dengan penganjuran Islamic Festival Fashion (IFF) yang didalangi umat Islam sendiri. Kini, kita sekali lagi dikejutkan dengan undang-undang pertama di dunia yang mengharamkan pemakaian niqab, yang mula berkuat kuasa di Perancis pada 11 April 2011. Ini bermakna wanita boleh mendedahkan aurat di Cannes tetapi tidak boleh menutup muka di Champs-Elysees.

Nayet (tengah) dan Kenza Drider (kiri), keluar dari balai polis

selepas ditahan kerana memakai purdah di Paris.

Denda juga dikenakan kepada orang yang didapati memaksa wanita memakai purdah, manakala denda AS$38,000 (RM121,600) dan penjara setahun dikenakan jika wanita dipaksa memakai purdah di bawah umur.

Bagi umat Islam, undang-undang itu adalah satu lagi tamparan dan penghinaan kepada agama kedua terbesar di Perancis tersebut dan meningkatkan risiko Islamofobia di negara yang mana masjid dan rumah ibadat lain sering menjadi sasaran kebencian. Dalam masa yang sama, ia akan menjejaskan kehidupan kira-kira 2,000 wanita Islam di Perancis yang memakai purdah (dikenali sebagai niqab di sini) dan burqa.

Rentetan pengharaman itu, dua wanita berpurdah telah ditangkap semasa menyertai satu protes di bandaraya Perancis setelah beberapa jam pengharaman itu berkuat kuasa. Demonstrasi yang diharamkan itu diadakan di dataran berbatu menghadap gereja Notre Dame, penuh simbolik dengan sejarah zaman pertengahan Perancis dan semangat memberontak yang biasa ditunjukkan oleh warganya pada zaman moden. Sesetengah pihak melihat pengharaman itu sebagai menandakan sentimen Islamofobia yang semakin menular di negara tersebut.

Namun, kerajaan Presiden Nicolas Sarkozytetap mempertahankan undang-undang itu sebagai benteng yang melindungi identiti Perancis daripada ketidaksamaan dan fahaman yang melampau. Sementara itu, pihak Polis merungut bahawa undang-undang baru itu sukar dikuatkuasakan.

“Undang-undang itu sangat jelas. Menyembunyikan muka anda di tempat awam menjadi sebab untuk dikenakan tindakan,” kata Menteri Dalam Negeri, Claude Gueant pada mesyuarat Kesatuan Eropah (EU) di Luxembourg.

Beliau berkata, pengharaman tersebut melindungi dua prinsip asas iaitu sekularisme dan prinsip kesamarataan antara lelaki dan wanita.


Walaubagaimanapun, seorang jutawan muslim di Perancis yang bernama Rachid Nekkaz telah memperuntukan wang sebanyak 1 juta Euro untuk membiayai saman kepada mana-mana wanita Islam di Perancis yang memilih untuk terus memakai purdah atau niqab.Ini menunjukkan, masih ada insan yang sanggup menggadaikan harta dan wang ringgit, demi mempertahankan maruah muslimah dan agama Islam itu sendiri. Wallahu a’llam.

Wednesday, April 27, 2011

PERISTIWA DI BULAN JAMADIL AWWAL

Jamadil Awwal merupakan bulan ke-5 di dalam kalendar Takwim Hijrah.

Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa' :
Maksudnya : Oleh itu (orang beriman yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka kami akan menganugeranhkannya ganjaran pahala yang besar.

Kini kita berada pada bulan Jamadil Awwal yang pernah menyaksikan bagaimana berlakunya peperangan Mu'tah pada tahun ke 8 Hijrah disebabkan pengkhhianatan terhadap seorang utusan yang telah dihantar oleh Rasulullah SAW kepada Raja Busra iaitu Harith bin Umair al-Azdi di mana beliau telah gugur syahid apabila direbus hidup-hidup di dalam kawah air panas. Sebagaimana maklum selepas pembukaan kota Mekah pada bulan Ramadhan tahun yang sama maka tiada lagi berlaku peperangan besar dengan kafir Quraisy sebaliknya tumpuan dakwah Islam mula dikembangkan ke luar tanah Arab melalui penghantaran utusan yang membawa surat daripada Rasulullah SAW.

Jawapan yang diterima daripada pemimpin qabilah dan negara terhadap seruan dakwah melalui surat yang dihantar ini bermacam-macam di mana ada yang menerima Islam, tidak kurang yang menolak secara lembut dan ada juga yang menolak secara kasar termasuk dalam kes utusan kepada Raja Busra yang dibunuh secara kejam. Pada hari ini jarang berlaku pemimpin negara umat Islam yang menghantar surat utusan dakwah kepada pemimpin bukan Islam sebaliknya ramai yang mengutus surat untuk terus taat setia kepada kuasa kuffar dan sistem ciptaan manusia.

Peperangan Mu'tah turut mengajar kita bagaimana ketegasan Rasulullah SAW terhadap musuh Islam. Jika Rasulullah SAW dan banyak pemimpin zaman silam sanggup menghantar tentera walaupun seorang umat Islam yang dibunuh atau dihina oleh musuh sebaliknya pada hari ini ramai musuh di kalangan umat Islam sendiri sanggup bersekongkol dengan penjenayah dan pengganas dunia iaitu Amerika Syarikat dan zionis Yahudi dalam menjajah dan membunuh umat Islam seperti di Palestin, Iraq, dan yang terbaru di Libya.

Kita lihat Libya bakal menjadi Iraq yang kedua di mana atas alasan mahu menggulingkan pemimpin berkuku besi maka musuh Islam melakukan serangan dan akhirnya ia dijajah dengan pemimpin boneka dijadikan sandaran. Inilah di antara amaran Nabi Muhammad SAW apabila sesebuah negara tidak melaksanakan sistem Islam dan memilih pemimpin yang jahat maka negara tersebut akan dijajah oleh penjajah yang jauh lebih jahat dan kejam.

Pemilihan sebagai pemimpin mesti berlandaskan syarak bukannya hawa nafsu dan rasuah bagi memastikan keadilan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat antaranya ialah mesti sanggup berkorban bukan sahaja harta benda malah jiwa raga dalam mempertahan dan menjulang sistem Islam bukan memilih pemimpin yang hanya tahu mengumpul kekayaan dengan merompak hasil mahsul negara.

Memilih pemimpin yang sanggup menjaga maruah dan jiwa rakyat jelata bukannya pemimpin yang membiarkan budaya fitnah dan pelanggaran maruah seperti isu liwat dan video seks yang meletakkan maruah umat Islam buruk tanpa ada usaha dalam menyekat perbuatan terkutuk ini demi mengejar dan menjaga harta dan takhta.

Memilih pemimpin yang menjadikan Allah sebagai penguasa yang paling berkuasa sehingga tunduk patuh terhadap segala sisitemNya, bukannya pemimpin yang hanya melaungkan hak asasi manusia sedangkan hak Allah dilanggar ssesuka hati. Bijak memilih pemimpin membawa kebahagiaan, salah memilih pemimpin membawa penderitaan. Ia bukan perkara kecil tapi bakal ditanya di akhirat kelak.

Firman Allah dalam ayat 149 Surah Ali Imran :
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu mengikuti orang-orang kafir nescaya mereka akan mengembalikankamu ke belakang (kekufuran) lalu jadilah kam orang-orang yang rugi.

Semangat jihad yang ditanam beserta keyakinan yang tidak berbelah bahagi kepada pertolongan Allah telah membawa kemenangan kepada tentera Islam di mana hanya 12 tentera Islam gugur syahid termasuk tiga panglima perang yang telah dilantik oleh Rasulullah SAW di mana kepimpinan tentera Islam selepas itu diambil alih oleh Saiyyida Khalid bin Al-Walid.

Semangat jihad inilah yang digeruni oleh musuh islam sehingga telah banyak usaha termasuk dalam merombak sukatan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir dan lain-lain supaya umat Islam mandul jidah dan tidak lagi bangkit menentang keganasan kuffar. Sekiranya terus ada pejuang Islam yang cintakan mati syahid bagi berdepan dengan tentera kuffar yang takut mati maka selagi itulah kuffar akan berdepan dengan tantangan sengit yang menakutkan. Umat Islam dimandulkan jihad mereka dengan kejahilah terhadap agama mereka sendiri, tenggelam dalam hiburan yang melalaikan, lemas dalam cinta dunia dan takutkan mati.

Pemikiran umat Islam dipenuhi dengan cara hidup kuffar di mana ikutan mereka adalah artis, bintang sukan dan sebagainya. bahan bacaan mereka adalah bahan hiburan yang merosakkan. Malah cara berpakaian bukan sahaja jauh daripada sunnah Nabi malah bertentangan dengan syariat Islam. Pejuang Islam tidak pernah kecewa apabila mereka sentiasa bersyukur dengan kemenangan serta sentiasa sabar atas ujian kekalahan. Kekalahan di dunia bukan bererti turut kalah dalam meraih keredhaan Allah untuk mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Yakinlah kita bahawa perjuangan Islam tidak pernah ditimpa kerugian sebaliknya kemenangan yang lebih manis bakal menunggu kita di akhirat sana. Peristiwa-peristiwa dalam bulan Jamadil Awwal ini mengajar kita agar bermujahadah di dalam menjaga maruah diri dan Islam tercinta walaupun nyawa sabagai bayaran.

Tuesday, April 26, 2011

MUKTAMAR SANAWI PMRAM KALI KE-78 & MUKTAMAR HEWI PMRAM KALI KE-24


Pengumuman Rasmi PMRAM : Muktamar HEWI PMRAM akan diadakan pada 3 Mei 2011 (Selasa), manakala Muktamar Sanawi PMRAM pula akan diadakan pada 4 Mei 2011 (Rabu). Sesiapa yang ingin menjadi perwakilan muktamar, anda boleh daftarkan nama melalui Ketua Perwakilan di seluruh Cawangan PMRAM.

Ketua Perwakilan PMRAM Cawangan Terengganu:-
Siswa : Saudara Syed Maarof bin Syed Akil
Siswi : Saudari Maryam binti Abdul Ghani

Pihak PMRAM telah membuka Usul Muktamar Sanawi PMRAM bermula pada 25 April 2011 hingga 30 April 2011. Setiap usul yang ingin dicadangkan kepada pihak PMRAM, boleh dihantar sama ada melalui e-mel rasmi PMRAM; pmram@yahoo.com / pmram1930@yahoo.com / suagung@pmram.org atau boleh terus menghantar usul tersebut ke Pejabat PMRAM.


Pihak PMRAM amat mengalu-alukan bagi mereka yang ingin menghantar usul kepada pihak pentadbiran PMRAM untuk dibawa ke persidangan muktamar yang akan berlangsung pada 3 & 4 Mei 2011.

MEMOHON SUMBANGAN KEWANGAN BAGI PEMBIAYAAN KOS RAWATAN PESAKIT



Rujukan kami : KPT 02/01/01-X47/2010/2011 (39)

Tarikh : 21 Jamadil Awwal 1432H
Bersamaan : 25 April 2011M

Kepada:-

___________________________________

Assalamualaikum wrt. wbt.

Tuan/Puan/Dato’/Datin,

MEMOHON SUMBANGAN KEWANGAN BAGI PEMBIAYAAN KOS RAWATAN PESAKIT

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

2. Untuk makluman pihak tuan/puan, salah seorang mahasiswa Terengganu di Mesir yang bernamaNoorahmad Hakim bin Ngah @ Mohd Noor, nombor kad pengenalan [901103-11-5475] dan nombor pasport[A19074465] telah disyaki mengalami penyakit Guillian Barre Syndrome (GBS) yang menyebabkan beliau terpaksa dimasukkan ke dalam wad kecemasan di Hospital Pakar Universiti Ain Shams selama beberapa hari.


3. Justeru itu, pihak kami memohon jasa baik pihak tuan/puan untuk menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban yang ditanggung. Sebagaimana yang dimaklumkan oleh pihak hospital, kos rawatan penyakit beliau mencecah LE 17,000 (RM 8,500) dan berkemungkinan nilai tersebut akan meningkat.

4. Bersama surat ini disertakan beberapa salinan dokumen seperti maklumat peribadi, maklumat pengajian, resit pembayaran dan lain-lain maklumat yang berkaitan.

(Rujuk lampiran)

5. Sumbangan tuan/puan boleh disalurkan kepada beliau melalui Akaun HSBC bernombor[032085144108] atas nama Noorahmad Hakim bin Ngah @ Mohd Noor atau boleh berhubung terus dengan bapa beliau; Hj. Mohd Noor bin Mamat di talian [+60199368365].

6. Segala jasa baik dan perhatian yang diberikan mudah-mudahan akan mendapat ganjaran yang setimpal di sisi Allah dan didahului dengan ucapan jutaan terima kasih.

Sekian, wassalam.

“KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH”

“BERILMU DAN BERAMAL”

Yang menjalankan tugas,

………………t.t……………………..
(ABDULLAH HARIS BIN ZAKARIA)

Setiausaha,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir,
Sesi 2010/2011.

s.k. – Yang Dipertua KPT Mesir
- Fail…


Sila klik pada gambar untuk paparan yang lebih jelas

JEJAK MAWADDAH PENGIKAT UKHUWAH

KAHERAH,23 Mei - Barisan Hewi Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu di bawah Unit Kebajikan buat pertama kalinya bagi sesi ini telah mengadakan satu siri ziarah ke rumah ahli mutazawwijin yang dikenali sebagai ‘Jejak Mawaddah’. Kediaman pertama yang menjadi sasaran kami kali ini ialah rumah Saudari Rusiah binti Yunus yang merupakan isteri kepada Saudara Razi bin Musa, mantan Ahli Lembaga Penasihat Keluarga penuntut-Penuntut Terengganu (KPT) Mesir.

Kediaman beliau menjadi pilihan pada kali ini adalah memandangkan mereka baru berpindah ke rumah baru selepas pulang ke Malaysia baru-baru ini. Menurut beliau, kediaman barunya ini begitu selesa dan bagus berbanding rumah sebelumnya yang terletak di bangunan bersebelahan. Tambahan pula, kediaman ini terletak berdekatan dengan pusat jagaan kanak-kanak tempat anak-anaknya belajar.

Kunjungan kami yang terdiri daripada 6 orang AJK Hal Ehwal Wanita Islam dan 3 orang ahli disambut baik oleh beliau dan anak-anak. Jelas kelihatan pada wajah anak-anaknya perasaan gembira apabila kami sampai. Anak bongsu beliau, Aamina yang pernah mengalami masalah paru-paru ketika awal kelahirannya kini membesar dengan sihat dan sudah pandai tersenyum kepada orang-orang di sekeliling.


Ibu kepada 5 cahaya mata ini sangat gembira di atas kunjungan kami serta menyatakan bahawa pintu rumahnya sentiasa terbuka untuk semua dan ahli KPT Mesir khususnya. Pihak HEWI KPT Mesir mengucapkan jutaan terima kasih kepada ustazah dan keluarga kerana sudi menerima kunjungan kami pada kali ini. Semoga ukhuwah antara kita bertambah dan berkekalan.

MUJAHID HARAPAN UMMAH

KAHERAH, 23 Mei 2011 - Sejurus mendengar berita kelahiran seorang cucu Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) dari pasangan Saudara Mohamad Mohkri bin Ibrahim dan Saudari Nurshafieza binti Mohd, 2 orang HEWI KPT Mesir yang diwakili Ketua Unit Kebajikan ; Saudari Shazazierra binti Sharif dan Ketua Unit Akademik ; Saudari Mardhiah binti Nordin segera ke hospital bagi melawatnya.

Putera seberat 3.5 kg ini dilahirkan di Hospital Taufiqiyyah 'Abbas 'Aqad pada jam 5 pagi. Ibu dan bayi dibenarkan pulang ke kediaman mereka yang terletak tidak jauh dari hospital tersebut setelah keadaan kedua-duanya stabil. Wakil HEWI KPT Mesir juga telah menghulurkan sedikit sumbangan.

Pihak Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir mengucapkan sekalung tahniah buat Saudari Nurshafieza serta pasangan di atas kelahiran putera pertama mereka. "Anak-anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan mereka samada memilih Yahudi, Nasrani atau Majusi". Semoga saudari Nurshafieza serta pasangan dapat menjadi ibu bapa yang berjaya mendidik anak-anak agar dapat menjadi mujahid untuk kesinambungan Islam akan datang.

Monday, April 25, 2011

MAJLIS KESYUKURAN ANAK-ANAK TERNGGANU MESIR & WALIMATUL URUS


Majlis Kesyukuran Anak-anak Terengganu Mesir & Majlis Walimah Perkahwinan.

Tarikh : 28 April 2011 (Khamis).
Tempat : Dewan Darul Iman, Rumah Terengganu, Hayyu 10.
Masa : 1.00 hingga 5.00 petang.

Seluruh anak Terengganu di Perlembahan Nil dijemput hadir!!

Sesiapa yang sudi menghulurkan sumbangan kepada pihak kami, boleh terus menghubungi Pengarah program; Saudara Mohd Zahani bin Abdul Ghani [+20141014945] atau Timbalan Pengarah; Saudari Mardhiah binti Nordin [+20115044105].

“Nikmat Disyukuri Ukhuwwah Terpatri”

MANTAPKAN UKHUWAH, LANCARKAN HAFAZAN


KAHERAH, 22 April – Setelah kepulangan mahasiswa-mahasiswi ke bumi Mesir, HEWI KPT telah mengambil inisiatif untuk berkumpul bersama-sama ahli. Liqo’ Mahabbah diadakan bagi mengukuhkan lagi ikatan ukhuwah yang telah lama terjalin bersama ahli-ahli HEWI KPT.

Liqo’ tersebut bermula jam 1.40 petang telah dipengerusikan oleh Naib Pengerusi HEWI, Saudari Tengku Fathimah binti Tengku Hashim. Dalam liqo’ tersebut ahli HEWI telah dimaklumkan berkenaan laporan gerak kerja HEWI, makluman terkini daripada setiap Unit HEWI serta program terdekat yang bakal dianjurkan oleh KPT MESIR iaitu Majlis Kesyukuran Anak-anak Terengganu Mesir dan Majlis Walimah Perkahwinan pada 28 April ini.

Antara perkara yang telah disentuh oleh beberapa unit HEWI ialah berkenaan pekeliling keselamatan yang terkini dan makluman berkenaan Jami’yyah Syar’iyyah oleh Ketua Unit Kebajikan Saudari Shazazierra Shariff. Ketua Unit Akademik, Saudari Mardhiah Nordin pula mengumumkan berkenaan Madrasah Saiyyidah Aisyah yang disambung kembali setelah ditawaqufkan sementara waktu rentetan daripada evakuasi serta makluman berkenaan Halaqah Tahsin Quran yang bakal dilaksanakan setiap hari Selasa bermula 26 April ini.

Di akhir pertemuan, Naib Pengerusi HEWI telah mengingatkan kepada semua ahli supaya menjaga keselamatan diri serta kesihatan memandangkan cuaca yang tidak menentu. Sebelum majlis berakhir, gimik perasmian memotong kek Halaqah Tahsin Quran telah dilancarkan oleh Naib Pengerusi HEWI dan Ketua Unit Akademik HEWI.

Saturday, April 23, 2011

KPT MESIR DOAKAN KESIHATAN SAUDARA NOORAHMAD HAKIM

KAHERAH, 23 April – KPT Mesir mengucapkan takziah kepada saudara Noorahmad Hakim yang merupakan Ketua Badan Kebudayaan, Kesenian dan Sukan, Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir, berikutan masalah kesihatan yang mengganggu beliau.

Pihak KPT Mesir yang diwakili oleh saudara Mohd Kamal bin Mohd Shah serta beberapa orang AJKT membantu menguruskan semua urusan berkaitan dari hari pertama beliau ditimpa musibah ini sehingga hari ini beliau keluar dari hospital. Beliau telah dibenarkan pulang hari ini untuk berehat di rumah dan dijangka akan pulang ke Malaysia pada hari selasa ini 26 april 2011.

Saudara Noorahmad Hakim dimasukkan ke wad Hospital Pakar Universiti Ain Sham pada 19 April yg lalu selepas melihatkan kesakitan yang dialaminya dua hingga tiga hari sebelum itu semakin teruk. Beliau disyaki menghidap penyakit GBS (Guillian Barre Syndrome)

Pihak KPT Mesir turut menyampaikan sumbangan bagi meringankan perbelanjaan beliau dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak PMRAM, pihak ‘Education Malaysia’ yang diwakili Encik Aswandi Laman (Atase Kebajikan) dan semua ahli yang turut memberikan sumbangan kewangan dan sumbangan tenaga kepada saudara Noorahmad Hakim dalam usaha menyembuhkan beliau.

Kami juga masih mengalu-alukan kepada mana-mana individu atau syarikat yang ingin menyalurkan sumbangan untuk menampung kos perubatan saudara Noorahmad Hakim yang kini mencecah LE17,000. Sesiapa yang ingin menyalurkan sumbangan bolehlah menghubungi Ketua Biro Kebajikan KPT Mesir, Saudara Mohd Farezuan Mat Azhar di talian +20112789339.

KPT Mesir mengharapkan agar beliau tabah dengan ujian tersebut dan kami mendoakan agar beliau cepat sembuh dan kembali pulih seperti biasa untuk meneruskan pengajian yang semakin hampir dengan peperiksaan.

Thursday, April 21, 2011

Lambaian Al-Azhar Asy-Syarif

Alhamdulillah, Segala puji bagi Allah SWT Pencipta sekalian alam yang masih mencambahkan nur Iman dan Islam dalam sanubari kita di saat ini serta selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW penghulu segala nabi.


Pasca arus pemodenan semasa dewasa ini seringkali dikaitkan dengan kebangkitan masyarakat di seluruh dunia, samaada di negara-negara umat Islam, mahu pun dalam kalangan negara yang mempunyai minoriti penganut yang beragama Islam. Era perubahan yang mencakupi pelbagai aspek akan terus dimainkan oleh golongan yang mempunyai sentiviti kepada dunia semasa. Bahkan dunia di saat ini memerlukan kepada individu yang mampu mentadbirnya mengikut acuan serta corak yang berlandaskan prinsip-prinsip Al-Quran serta As-Sunnah. Namun begitu, kerancakan revolusi yang hangat diperkatakan, bukan sahaja berlaku kepada golongan-golongan tertentu, malah revolusi ilmu dalam kalangan pelajar khususnya melalui wadah Al-Azhar Asy-Syarif perlu dititikberatkan.


Suatu ketika dahulu, pada era 70-an slogan “Student Power” sering dikumandangkan. Ia dianggap simbolik untuk membuktikan bahawa gerakan mahasiswa mempunyai satu kuasa tertentu dalam mengubah isu-isu yang berkaitan dengan negara. Istilah ”Student Power” memerlukan kepada penilaian dan penafsiran yang positif sejajar dengan pemikiran seorang yang bergelar mahasiswa. Yang dimaksudkan di sini ialah keupayaan mahasiswa sebagai agen perubah dalam masyarakat dan sejauh mana penerimaan masyarakat terhadap sumbangan mereka. Masyarakat memandang tinggi kepada aspirasi mahasiswa Al-Azhar khususnya dalam semua bidang samaada ekonomi, sosial, politik, kebudayaan dan kemasyarakatan. Perlu disedari bahawa mahasiswa adalah pewaris negara lantas secara tidak langsung mahasiswa juga diberikan peluang untuk sama-sama merencana corak pemerintahan negara kelak.


Kebanyakan masalah yang berlaku di tempat kelahiran kita khususnya begitu membimbangkan dan mendukacitakan. Kes pembuangan bayi, penzinaan, lesbian, lumba haram, perjudian, sumbang mahram dan rasuah berleluasa hatta tidak mampu untuk dibendung serta dibanteras. Manusia terlalu mengikut telunjuk nafsu yang menjadi raja dalam kancah kemaksiatan tanpa menghiraukan pertimbangan akal. Justeru itu, ini adalah tugas dan tanggungjawab mahasiswa Islam membawa dan menarik masyarakat ke jalan kebenaran. Tugas yang begitu besar tidak mampu dilaksanakan tanpa adanya ilmu dan kefahaman yang jelas serta matlamat yang diinginkan oleh Islam itu sendiri.


Tambahan pula, fenomena yang sering tidak lekang dari kamus seorang mahasiswa Al-Azhar sejak kurun lamanya adalah mereka ini dipandang rendah serta diketepikan. Ini kerana mereka menganggap golongan yang berada dibangku Al-Azhar tidak mempunyai kemahiran bahkan hanya pandai membicarakan berkaitan dengan agama sahaja dan hanya layak menjadi seorang ustaz dan ustazah di sekolah.


Menyedari hakikat ini, apakah peranan kita selaku mahasiswa Islam yang menuntut di Universiti Al-Azhar? Sebuah gedung ilmu yang telah melahirkan ramai cendiakawan-cendiakawan dari pelbagai lapangan keilmuan. Ianya tidak hanya menfokuskan kepada lapangan agama sahaja malah mencakupi semua bidang yang berkaitan dengan kehidupan manusia. Dimanakah kekuatan dan ditahap manakah keupayaan mahasiswa yang memegang status Azhari mampu memikul amanah yang telah dipundakkan dalam merencanakan mahasiswa yang belajar di Timur Tengah amnya serta di Perlembahan Nil khususnya mempunyai kekuatan berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat? Jawapan kepada persoalan ini, sebenarnya wujud pada diri individu yang bergelar Azhari. Merekalah yang lebih arif dalam menentukan masa depan Islam dan Negara. Bahkan tujuan pemusafiran kita ke medan ilmu ini adalah untuk mencari, mengkaji, meneliti dan memahami seterusnya mengamalkan ilmu yang diperolehi.


Dalam diri seorang mahasiswa perlu diselitkan perasaan untuk merintis, membina dan menempatkan diri sebagai insan intelek yang mampu mencorakkan masa depan gemilang untuk umat. Dalam hal ini, mahasiswa Islam seharusnya bertindak secara peka kepada arus global melanda dunia kini. Bukan hanya terbatas serta menfokuskan kepada bidang keilmuan pengkuliahan semata-mata malah perlu meninjau keadaan di luar alam pembelajaran. Lapangan ilmu cukup luas sekiranya pemikiran mahasiswa Islam tidak difokuskan kepada satu skop sahaja. Sebagai seorang yang bergelar mahasiswa Islam perlu genius dalam meneroka bidang ilmu samaada ilmu turathi atau kontemporari. Sejarah Islam di masa lampau telah melakar satu sejarah yang begitu agung serta gah di bumi Baghdad dengan perkembangan institusi keilmuan dan penterjemahan iaitu Baitul Hikmah. Oleh itu, kesenian corak masyarakat di luar zon permastautin perlu dititikberatkan dan diambil perhatian khususnya di negara-negara Islam.

Pelbagai langkah harus dirangka dan dijalankan bagi mengembalikan keizzahan golongan Al-Azhar demi mencapai satu masa depan yang cerah pada masa hadapan serta memartabatkan Islam dan Negara. Ilmu adalah aset yang akan terus kekal selama-lamanya. Dengan ilmu, 'nyawa' seseorang itu akan terus hidup walaupun dirinya terbujur kaku dimamah bumi. Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan kepentingan menguasai ilmu sehinggakan pada awal kalam Allah SWT terhadap kekasihnya, Nabi Muhammad SAW adalah mutiara firman yang membicarakan salah satu cabang ilmu.

Pakar-pakar motivasi mengatakan bahawa orang yang bijak adalah orang yang pandai mencari dan mengambil peluang. Mengintai segala peluang yang ada serta segera memanfaatkannya untuk berjaya dalam hidup adalah sesuatu yang sangat digalakkan. Ramai yang telah berjaya dengan kaedah ini. Yang paling bijak adalah Yahudi seluruh dunia. Disebalik kelemahan umat Islam serta hancurnya kesatuan ummah ini, mereka segera mengambil peluang untuk memperkukuhkan negara haram mereka. Amerika pula mengambil peluang dari peristiwa letupan World Trade Centre (WTC) untuk memerangi Islam atas nama ‘Perang Terhadap Keganasan’.

Semester 1 telah melabuhkan tirai serta meninggalkan seribu satu nostalgia yang sukar untuk dikenang. Lambaian semester 2 sudah menjelma sejajar bagi melengkapkan lagi tugas seorang mahasiswa. Mahasiswa Islam perlu bangkit dan memakukan azam di dalam sanubari masing-masing untuk merealisasikan matlamat yang telah tersemat semenjak menjejakkan kaki ke Perlembahan Nil ini. Kalau kita selaku generasi yang sering dilaung-laungkan sebagai pewaris pusaka anbiya’ terus alpa, lalai dan leka dengan kemewahan, keduniaan, pangkat, kebendaan serta kedudukan sedangkan suara kita sunyi daripada jeritan untuk memohon agar masyarakat Islam kembali kepada Islam, kita sememangnya pengkhianat kepada amanah yang dipundakkan oleh Allah SWT ke atas bahu kita. Dalam mengejar serta mengenggam segulung sijil perlu diingat bahawa kita bukan hamba yang diciptakan untuk memegang status ‘hamba kepada sijil’ bahkan tanggungjawab kita selaku hamba Allah SWT perlu diutamakan serta dilaksanakan. Segulung sijil bukan matlamat yang sebenar bahkan ia merupakan satu wasilah untuk mengizzahkan Islam yang dianuti.

Akhir bicara, renungilah kata-kata sahabat Rasulullah SAW, Abu Darda’ RA : ‘‘Aku tidak takut kalau orang bertanya padaku apa yang kamu tahu berkenaan dengan ilmu, tetapi apa yang aku takut ialah apa orang tanya padaku apa yang telah aku amalkan’’.

Tuesday, April 19, 2011

Solat Berkualiti Zahirkan Peribadi Mulia

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud : "Mahukah kamu aku beritahu seburuk-buruknya pencuri? Sahabat bertanya : Siapakah dia wahai Rasulullah? Nabi SAW menjawab : Orang yang mencuri dari solatnya. Sahabat bertanya : Bagaimanakah seseorang mencuri dari solatnya? Baginda SAW bersabda : Dia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya."

Dalam kisah lain, Rasulullah SAW pernah menyuruh orang yang sudah melakukan solat untuk mengulangi solatnya sehingga tiga kali. Sebabnya, ketika solat orang itu belum menyempurnakan wudhuknya, takbirnya, berdirinya, bacaannya, rukuknya, sujudnya dan toma'ninahnya.

Baginda SAW menjelaskan cara yang benar dalam melakukannya sebanyak empat kali hingga selesai. Lalu Baginda bersabda yang bermaksud : "Solat seseorang di antara kamu tidak akan sempurna sebelum mengerjakan yang demikian itu."

Menunaikan solat saja tidak mencukupi hingga mencapai tahap kesempurnaan. Kesempurnaan bukanlah paksaan, tetapi sebagai cara untuk menerapkan jiwa solat supaya membentuk keperibadian terpuji, menghasilkan keberkatan serta memperbaiki diri. Kesempurnaan solat dimulakan dengan menyempurnakan wudhu' mengikut contoh dan petunjuk Rasulullah SAW kerana pergerakan tanpa peraturan tidak akan memberi makna.

Setiap gerakan solat mempunyai jiwa dan roh, peranan serta makna tersendiri yang akan memantulkan kekuatan positif. ia adalah sebuah irama kesatuan yang saling membantu dan menyempurnakan gerakan seterusnya. Wudhu' bermakna membersihkan keperibadian buruk dan dosa. Menghadap kiblat bererti menghadapkan jiwa dan roh sepenuh hati dengan khusyuk dan merendah diri. Manakala takbiratulihram bermakna membesarkan zat Allah.

Membaca surah dengan menghayati dan berkeinginan untuk mengamalkannya. Rukuk dan sujud adalah bentuk perwujudan ketundukan, kepatuhan dan kepasrahan diri secara menyeluruh kepada zat Yang Maha Agung. Kualiti ketaqwaan seseorang sesungguhnya berkait rapat dengan kualiti solat kerana selain berkomunikasi dengan Allah, solat juga membentuk hubungan mendidik jiwa daripada melakukan perkara dilarang yang akan merosakkan jiwa.

Allah berfirman yang bermaksud :

"Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan keji) dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya daripada ibadah lain), dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah al-'Ankabut, ayat 45)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Apa pendapat kamu jika sebatang sungai berada di depan rumah seoarng daripada kamu, kemudian ia mandi sebanyak lima kali setiap harinya, apakah tersisa kotoran darinya? Sahabat menjawab : Tentu tidak tersisa sedikitpun kotoran. Baginda SAW bersabda ; Begitulah perumpaan solat, ia berfungsi sebagai penggugur dosa dan kesalahan." Hadis riwayat Muttafaqun 'Alaih).

Hati menjadi tenang dan jiwa menjadi sejuk. Solat ibarat sumber mata iar sejuk yang tidak pernah kering oleh terik perjalanan dunia. Justeru itu, orang yang berakal sihat pasti amat bergembira mencelupkan dirinya ke dalam mata air solat lima kali sehari semalam secara berjemaah. Malaikat pencatat amalan kebajikan pun menulis setiap langkah menuju masjid dapat mengangkat satu darjat kemuliaan. Mencatatkan langkah berikutnya sebagai penghapus satu kesalahan.

Syeikh Hasan Al-Banna menulis sepucuk surat wasiat kepada penggerak muda muslim yang berbunyi, " Jika kamu mendengar seruan azan, segeralah tunaikan solat berjemaah walaupun kesibukan kamu."

Firman Allah ynag bermaksud :

"Sesungguhnya yang memakmurkan masjid Allah hanyalah orang yang beriman kepadaNya dan hari kemudian, serta (tetap) mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapapun) kecuali kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk." (Surah At-Taubah, ayat 18)

Perkara pertama yng dilakukan Rasulullah SAW ketika sampai di Madinah dalam rangkain hijrahnya adalah membangun masjid. Dari sini kita dapat mengambil pelajaran betapa pentingnya posisi masjid dalam perjuangan kaum Muslimin. Semangat persamaan dan penyatuan ummah tidak mungkin lahir jika muslimin tidak bertemu setiap hari dalam satu saf di hadapan Allah. Masjid selain tempat beribadah adalah landasan penyatuan atas dasar ketaqwaan.

Jesteru, setiap masjid tidak boleh sunyi daripada aktiviti yang menyatukan ummah sebaliknya dimakmurkan supaya institusi masjid menjadi penting kepada umat islam mencapai kejayaan dalam kehidupan mereka.

Masjid juga mesti menjadi perantara pembinaan ummah. Hanya dengan dimakmurkan, masjid akan memainkan fungsi strateginya sebagai institusi kebangkitan ummah Islam.

Allah berfirman yang bermaksud :

"Sesungguhnya beruntunglah orang Mukmin, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang yang meninggalkan perbuatan sia-sia." (Surah al-Mukminun, ayat 1-3)

Diceritakan bahawa Muhammad Al-Fateh dan tenteranya ketika ingin menakluk kota Istanbul seperti dijanjikan Rasulullah SAW dalam hadisnya, tidak pernah meninggalkan solat wajib, rawatib dan tahajjud sejak baligh. Jiwa dan roh solat mereka telah berhubungan langsung dengan Allah iaitu sumber segala kekuatan. Itulah barangkali kunci kejayaan beliau dan tenteranya menakluk kota Istanbul yang menjadi kota khalifah Islam terkenal hingga berkurun lamanya. Sekian

Monday, April 18, 2011

PMRAM Membidas Tuduhan Mahasisiwa Mesir Lemah Bahasa Arab

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) membidas tuduhan yang dilemparkan oleh beberapa pihak mengenai mahasiswa/wi Malaysia yang menuntut pengajian di Mesir khususnya di Universiti Al-Azhar lemah dalam berbahasa Arab.

Baru-baru ini juga kenyataan tersebut dimainkan di peringkat Malaysia apabila Datuk Khalid Nordin, Menteri Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan peperiksaan kelayakan(Imtihan Qabul) akan diadakan di Malaysia bagi mana-mana individu yang mahu melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar.


Tuduhan tersebut telah menimbulkan kontroversi ramai pihak kerana ia melibatkan imej dan kredibiliti Universiti Al-Azhar yang bertaraf dunia dan merupakan pusat ilmu bagi Umat Islam.

Hal ini demikian kerana universiti yang telah melahirkan ribuan ulama terkini seolah-olah gagal dalam menyampaikan ilmu Islam yang menggunakan bahasa pengantar bahasa Arab.

Tambahan pula, tuduhan tersebut menyatakan bahawa mahasiswa/wi Malaysia yang berada di Mesir ‘malas’ ekoran pengangkutan yang susah didapati dan pensyarah yang mengajar tidak menggunakan bahasa Arab yang fasih sebaliknya menggunakan bahasa Arab tempatan (lahjah ammiah).


PMRAM memandang tuduhan tersebut adalah tidak tepat kerana ia tidak mengambarkan suasana sebenar bagi penuntut-penuntut Universiti Al-Azhar di Mesir. Sedangkan sejak akhir-akhir ini kita melihat kebanyakkan kelas-kelas pengajian sama ada yang dilangsungkan di kuliah mahupun di luar kuliah didominasi oleh penuntut-penuntut Malaysia.

Begitu juga, kelas-kelas tafaqquh yang dianjurkan di peringkat negeri masing-masing makin bertambah. Ini jelas membuktikan budaya cintakan ilmu makin menebal dalam jiwa mahasiswa/wi Malaysia di sini.

Kegagalan penuntut-penuntut Malaysia menghabiskan pengajian mereka di Al-Azhar dalam jangka masa 4 tahun tidak boleh dijadikan bukti bahawa mereka ini lemah bahasa Arab. Sedangkan sistem pengajian dan peperiksaan ini amat berbeza dengan sistem yang digunapakai di negara kita. Justeru adalah tidak adil sekiranya kita melihat perkara tersebut sebagai ukuran utama bagi membuktikan kelemahan mereka dalam bahasa Arab.

PMRAM yang merupakan persatuan induk pelajar-pelajar Malaysia di sini sudah sekian lama mengambil inisiatif membantu pelajar dalam meningkatkan ilmu pengetahuan dan juga kecemerlangan akademik.

Pelbagai program yang menjurus ke arah tujuan tersebut telah dilaksanakan saban tahun antaranya ialah :

1) Mengadakan pengajian ilmiah bersama para Ulama’-Ulama’ besar Al-Azhar
3) Mengadakan Majlis Pembacaan Hadis Kutub Sittah bersama Ulama’ Al-Azhar
4) Melaksanakan kelas tutorial berpusat dan memantau perjalanan study group di kalangan ahli
5) Mengadakan bengkel cara-cara menjawab soalan kepada mahasiswa baru
6) Mengadakan peperiksaan Pra-Imtihan Qabul sebagai medan latihan untuk menguji dan mengenalpasti tahap pencapaian mahasiswa baru sebelum menduduki Imtihan Qabul yang sebenar.
7) Mengadakan kelas tafaqquh khas bagi pelajar yang gagal dalam Imtihan Qabul.
8) Polisi persatuan yang menjadikan hari Jumaat sebagai hari berbahasa Arab.
9) Bekerjasama dengan markaz-markaz bahasa di Kaherah dalam melaksanakan kelas pengukuhan bahasa Arab


Justeru, PMRAM amat mengharapkan agar semua pihak mengkaji dan menilai semula fakta mengenai dakwaan yang dilemparkan serta lebih banyak membuka ruang dan peluang kepada para pelajar untuk terus belajar di bumi Mesir ini seterusnya dapat mencurahkan bakti kepada negara sekembalinya ke tanah air kelak.

Sunday, April 17, 2011

RUMAH TERENGGANU HAYYU ASYIER DIPECAH MASUK

Kaherah, 15 April - Satu kejadian kecurian yang melibatkan mahasiswa Terengganu telah berlaku sekitar jam 12.15 tengahari hari ini. Kejadian berlaku di Kompleks Pelajar terengganu Mesir ketika para mahasiswa sedang bersiap untuk solat jumaat. Kejadian ini mengakibatkan kehilangan sebuah telefon bimbit dan sebuah kamera digital yang dianggarkan kerugian sebanyak RM1200 (LE2400).

Kecurian ini dilakukan oleh dua orang warga Arab tempatan yang menyelinap masuk ke dalam asrama ketikamana para penghuni bersiap-siap untuk ke masjid menunaikan solat Jumaat. Saksi yang menyaksikan kejadian tersebut berkata kedua-dua pencuri itu berlagak seolah-olah mereka hanya sekadar membuat pemeriksaan di asrama tersebut apabila disergah ketika sedang menyelongkar bilik salah sebuah rumah di dalam asrama tersebut. Apabila menyedari tindakan mereka itu menimbulkan syak oleh saksi tersebut mereka mula melarikan diri lalu dikejar oleh saksi tersebut akan tetapi mereka berjaya melepaskan diri.

Satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa yg turut ditemani oleh Presiden PMRAM dan dua orang AJKT KPT.Pihak KPT Mesir mengucapkan takziah kepada mangsa yang terlibat dan menasihatkan agar mahasiswa/wi sentiasa berhati-hati dan meningkatkan tahap keselamatan ekoran bertambahnya kejadian jenayah yang melibatkan mahasiswa/wi Malaysia akibat ketidakseimbangan politik Mesir pasca kebangkitan rakyat menjatuhkan pemerintah sebelum ini.

PERKHIDMATAN POS KARGO KITAB DAN BARANGAN


Unit Ekonomi KPT Mesir menawarkan perkhidmatan pos kargo kitab dan barangan ke Malaysia seperti maklumat berikut:-

- Harga sekotak : USD 33 / LE 190 / RM 140.
- Kotak-kotak anda DIJANGKA akan DIPUNGUT pada akhir bulan APRIL 2011!!
> Penghantaran terus ke RUMAH tanpa bayaran tambahan (door to door).
> Kotak disediakan secara PERCUMA!!
> Bermula kotak KETIGA dan ke atas akan mendapat POTONGAN harga sebanyak USD 1 / LE 5.

Anda hanya perlu:-
1- Pastikan nama, alamat dan nombor telefon bimbit & telefon rumah bagi pengirim serta penerima barangan ditulis dengan lengkap dan jelas.
2- Kotak hendaklah dibalut dengan kemas, tidak terlalu kembung dan tidak melebihi saiz kotak.

- Untuk mengetahui maklumat lanjut, sila berhubung dengan Pemangku Bendahari KPT Mesir; Saudara Mohd Farezuan bin Mat Azahar [+20143877883] atau Bendahari HEWI; Saudari Nursyazwani binti Jusoh [+20119834344].

> FaceBook Rasmi KPT : http://facebook.com/infokpt

Monday, April 11, 2011

Permata hati kedua



7 April 2011- Seluruh warga HEWI KPT mengucapkan jutaan tahniah kepada pasangan ustazah Maryam bt Rani dan suami atas kelahiran puteri kedua, yang diberi nama Barirah pada 10 mac 2011. Seramai 7 orang wakil HEWI berkesempatan menziarahi mereka di kediamannya baru-baru ini. Bayi tersebut disyaki menghidap penyakit jantung berlubang.

Wakil HEWI telah menghulurkan sedikit sumbangan daripada ahli HEWI KPT untuk meringankan bebanan kos rawatan adik Barirah. Kami mendoakan beliau diberi kesihatan yang baik. Semoga ustazah sekeluarga tabah menghadapi ujian ini.

Friday, April 8, 2011

KPT MERAKAMKAN UCAPAN TAKZIAH BUAT KELUARGA USTAZ FAIZOL ENDUT

7 April 2011 – Pihak KPT Mesir mengucapkan ucapan takziah buat Ustaz Faizol bin Endut sekeluarga diatas pemergian anak beliau Adik Muhammad Luqman Al Hakim.

Adik Muhammad Luqman telah meninggal dunia pada jam 4 pagi waktu Malaysia dan dikebumikan di Negeri Selangor.

Ketika dihubungi oleh pihak KPT, beliau mengucapkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah berusaha membantu beliau sekeluarga.

Seluruh pimpinan KPT Mesir mendoakan kesejahteraan adik Muhammad Luqman bersama para solihin dan berharap ustaz Faizol sekeluarga bersabar diatas ujian daripada Allah S.W.T

HUBUNGAN ERAT KPT MESIR DAN YAYASAN TERENGGANU MENJALINKAN KERJASAMA


Kuala Terengganu, 28 Mac 2011 – Pihak Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) sentiasa konsisten menjaga hubungan baik dengan Yayasan Terengganu yang telah lama terjalin.

Baru-baru ini pihak KPT Mesir yang diketuai oleh Yang Dipertua, Saudara Mohd Riduan bin Abu Bakar dan bersama-sama beberapa orang AJKT telah mengadakan kunjungan ke pejabat Pengarah Yayasan Terengganu dan disambut sendiri oleh Encik Haji Abdul Aziz Mamat, Pengarah Yayasan Terengganu.

Selain mengukuhkan jalinan kerjasama antara pihak KPT Mesir dan Yayasan Terengganu. Turut dibincangkan ketika pertemuan tersebut adalah permasalahan yang berlaku dalam kalangan mahasiswa Mesir.

Pihak KPT Mesir turut menyerahkan memorandum bantahan terhadap permasalahan yang timbul kepada mahasiswa dan beberapa tuntutan.

Usaha pihak KPT untuk mendapatkan koperasi telah disuarakan dan mendapat perhatian Yayasan Terengganu.

Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Yayasan Terengganu diatas usaha yang dilakukan bagi kecemerlangan mahasiswa dan kerjasama baik dengan pihak KPT.