PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Monday, April 25, 2011

MANTAPKAN UKHUWAH, LANCARKAN HAFAZAN


KAHERAH, 22 April – Setelah kepulangan mahasiswa-mahasiswi ke bumi Mesir, HEWI KPT telah mengambil inisiatif untuk berkumpul bersama-sama ahli. Liqo’ Mahabbah diadakan bagi mengukuhkan lagi ikatan ukhuwah yang telah lama terjalin bersama ahli-ahli HEWI KPT.

Liqo’ tersebut bermula jam 1.40 petang telah dipengerusikan oleh Naib Pengerusi HEWI, Saudari Tengku Fathimah binti Tengku Hashim. Dalam liqo’ tersebut ahli HEWI telah dimaklumkan berkenaan laporan gerak kerja HEWI, makluman terkini daripada setiap Unit HEWI serta program terdekat yang bakal dianjurkan oleh KPT MESIR iaitu Majlis Kesyukuran Anak-anak Terengganu Mesir dan Majlis Walimah Perkahwinan pada 28 April ini.

Antara perkara yang telah disentuh oleh beberapa unit HEWI ialah berkenaan pekeliling keselamatan yang terkini dan makluman berkenaan Jami’yyah Syar’iyyah oleh Ketua Unit Kebajikan Saudari Shazazierra Shariff. Ketua Unit Akademik, Saudari Mardhiah Nordin pula mengumumkan berkenaan Madrasah Saiyyidah Aisyah yang disambung kembali setelah ditawaqufkan sementara waktu rentetan daripada evakuasi serta makluman berkenaan Halaqah Tahsin Quran yang bakal dilaksanakan setiap hari Selasa bermula 26 April ini.

Di akhir pertemuan, Naib Pengerusi HEWI telah mengingatkan kepada semua ahli supaya menjaga keselamatan diri serta kesihatan memandangkan cuaca yang tidak menentu. Sebelum majlis berakhir, gimik perasmian memotong kek Halaqah Tahsin Quran telah dilancarkan oleh Naib Pengerusi HEWI dan Ketua Unit Akademik HEWI.