PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Thursday, November 3, 2011

Majlis Apresiasi : PMRAM Cakna Kebajikan Akademik Mahasiswa

KAHERAH, 3 Nov – Majlis Apresiasi Kecemerlangan anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) di Dewan Andalus, al-Azhar Conference Center (ACC), Hayyu Sadis, Madinah Nasr telah  dilaksanakan dengan jayanya bagi meraikan graduan-graduan dan mahasiswa-mahasiswi yang cemerlang.

Sekalung tahniah buat seluruh graduan dan mahasiswa-mahasiswi yang cemerlang dan tidak ketinggalan pihak PMRAM yang bertungkus-lumus menjayakan majlis berprestij ini.

Majlis Apresiasi ini menunjukkan PMRAM begitu cakna dengan kejayaan yang dikecapi bertepatan dengan subtajuk “Kecemerlangan Akademik Sebagai Senjata Utama”. Akademik menjadi satu agenda yang besar bahkan ia merupakan tuntutan di zaman sekarang.

Ini kerana keperluan semasa masyarakat mengharapkan ilmuwan Islam yang berkualiti serta mampu menguasai segala cabang ilmu samada pengetahuan Islam mahupun perubatan.

“Bertepatan dengan ucapan dasar Presiden PMRAM ‘Kebajikan Akademik’ memberikan gambaran kepada mahasiswa bahawa PMRAM komited dalam menghargai kejayaan mahasiswa sebagai pendorong dan ikon kepada generasi akan datang,” ujar Saudara Firdauz bin Noh selaku Pemantau Majlis Apresiasi Kecemerlangan PMRAM.

Majlis yang berprestij ini menjadi bukti PMRAM komited dalam menghargai kejayaan mahasiswa Islam di Perlembahan Nil  sekaligus membuktikan bahawa mahasiswa Mesir juga mampu berdiri setanding dengan mahasiswa tempatan.

Akhir bicara, semoga momentum kejayaan yang terbilang ini mampu menjulang Islam dan membantu perkembangan dakwah Islamiah dengan kehadiran ilmuwan muda yang berkualiti dari sudut fikrah dan syakhsiah.