PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Tuesday, November 29, 2011

OPS MESRA HISBAH Mendekati Ahli

Kaherah, 26 Nov - Unit Operasi Hisbah PMRAM telah menjalankan program Ops Mesra bermula awal November. Rentetan daripada itu, Unit Operasi dan Siasatan Keluarga Penuntut- penuntut Terengganu (KPT) Mesir dengan kerjasama sukarelawan Ops Mesra telah mengunjungi rumah sewa mahasiswi perubatan bertempat di Bawabah 1, Hayyu Asyir.

Ops Mesra ini disertai oleh wakil Hisbah PMRAM, Naib Pengerusi bersama 2 orang wakil AJK HEWI KPT Mesir, Timbalan Unit Operasi dan Siasatan bersama Timbalan Unit Penerangan Hisbah KPT Mesir, dan 5 orang sukarelawan.

Program ini bertujuan untuk memberi penerangan hisbah kepada ahli yang tinggal di rumah sewa. Dalam masa yang sama mengeratkan hubungan antara ahli yang tinggal di luar kompleks serta mengenali pola penempatan siswi dan mengetahui permasalahan ahli.

Alhamdulillah, pembawakan Hisbah PMRAM kali ini mendapat sambutan yang baik daripada ahli yang sanggup turun padang bersama-sama dalam menjayakan Program Ops Mesra, bertepatan dengan tema program; “Hisbah Tanggungjawab Bersama”.

Antara pengisian yang telah dijalankan semasa program tersebut ialah pengenalan tentang Hisbah. Kebanyakan ahli kurang mendapat pendedahan disebabkan kurangnya sebaran maklumat kepada mereka.

Di samping itu, ahli turut diberi penerangan berkenaan keselamatan sepanjang proses pilihanraya yang akan berlangsung oleh Naib Pengerusi HEWI KPT Mesir, Saudari Nuraini Abdullah.

Diharapkan kunjungan ini dapat memberi maklumat yang berguna kepada ahli. Jutaan terima kasih diucapkan atas segala kerjasama dan komitmen yang diberikan oleh semua pihak.