PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Wednesday, October 26, 2011

IJTIMA’ HEWI BERLANGSUNG MERIAH

KAHERAH, 19 OKTOBER - Ijtima’ HEWI 2011 yang diadakan di Dewan Darul Iman telah berlangsung dengan meriah dan jayanya. Majlis perasmian Ijtima’ disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM, Saudari Nurain Yaacob.

Suasana hangat dirasakan sepanjang ijtima’ diadakan dengan sesi pembentangan gerak kerja HEWI yang diselang-seli soal jawab oleh para perwakilan memeriahkan lagi majlis. Antara persoalan yang dikemukakan kebanyakannya mengenai kebajikan ahli, kemantapan tarbiah, pemerkasaan akademik dan lain-lain.

Majlis kemudian dirancakkan lagi dengan sesi komentar dan cadangan untuk semua yang hadir. Para perwakilan saling memberikan pandangan masing-masing bagi memantapkan pentadbiran HEWI serta muhasabah untuk semua ahli HEWI KPT Mesir.

Menuju ke penghujung, majlis disulami dengan Kalam Penutup Kepimpinan HEWI dan Penasihat HEWI; Saudari Nadiah Remli. Nasihat dan kemaafan dipohon atas segala kekurangan sepanjang sesi pentadbiran.

Selain itu, turut diadakan upacara penyampaian hadiah bagi pertandingan yang dianjurkan oleh Unit Akademik iaitu Pertandingan Cerna Thaqafah (kuiz dan terjemah artikel) serta Unit Perumahan iaitu Teratak Impian.

Tahniah kepada kepimpinan HEWI pada tahun ini kerana berjaya melakukan transformasi dengan menerbitkan penyata kewangan kali pertama dan melahirkan mahasiswi yang hebat dalam bercakap; memberi idea, kritikan dan pandangan. Semoga kepimpinan akan datang mampu mengekalkan keberjayaan ini, bahkan lebih baik dari apa yang telah dicapai. Selamat maju jaya buat kepimpinan baru.