PMRAM CAWANGAN TERENGGANU

Saturday, July 30, 2011

LIQO' GABUNGAN MAHABBAH PENERUS MEDAN TARBIYAH

KAHERAH, 29 JULAI - Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) Keluarga Penuntut-Penunut Terengganu (KPT) Mesir, sekali lagi telah berjaya mengadakan satu program iaitu Liqo’ Gabungan Mahabbah 2011 dibawah seliaan Unit Dakwah. Program ini diadakan bertujuan meneruskan kembali muzakarah berkelompok yang ditangguhkan sehingga berakhirnya peperiksaan fasa kedua. Antara objektif program ini diadakan adalah untuk menguatkan ukhuwwah antara ahli disamping menambah dan menjana thaqafah ahli.

Program bermula pada jam 8.00 pagi dan dirasmikan oleh Naib Pengerusi HEWI KPT Mesir 2010/2011; Saudari Tengku Fathimah Tengku Hashim yang dalam ucapannya menegaskan supaya ahli sentiasa komited dengan muzakarah berkelompok dan menekankan 6 aspek dalam berdakwah iaitu dakwah ‘ammah, dakwah fardi, dakwah billisan, dakwah bi tadwin, dakwah bil hikmah, dakwah bil hal.

Program diteruskan dengan pengisian berbentuk thaqafah iaitu diskusi kitab kecil yang bertajuk “Qimatul Wakti”, yang disampaikan oleh Ketua Unit Akademik HEWI KPT Mesir 2010/2011; Saudari Mardhiah Nordin sekaligus mengisi slot Kuliah Jumaat. Menurut beliau, mahasiswi perlulah mengambil berat soal masa dan mengutamakan fiqh aulawiyat dalam melaksanakan segala gerak kerja dalam semua bidang serta bijak membahagikan masa dalam merancang jadual harian. Ahli kemudiannya dipertontonkan tayangan video serta slideshow yang disediakan.


Satu aktiviti santai turut diselitkan di dalam tentatif program tersebut yang objektifnya menguji dan mengasah minda ahli; permainan regu yang sangat mencabar dan kecekapan serta memberi kesan baik terhadap hubungan silaturrahim sesama ahli. Sebelum berakhir program, ahli dihiburkan dengan persembahan nasyid dari Kumpulan Insyirah; pasukan nasyid khas di bawah bimbingan Unit Kebudayaan, Keseniaan dan Kemasyarakatan HEWI KPT Mesir.

Program berakhir kira-kira jam 12.00 tengahari dengan bacaan doa wahdah yang dipimpin oleh wakil ahli HEWI KPT; Saudari Nasuha Husna Mohd Nordin dan bacaan doa rabitah oleh wakil AJK HEWI KPT 2010/2011; Saudari Nuraini Abdullah. Sebelum bersurai peserta dihidangkan dengan jamuan ringan dan usainya, bersama beramai-ramai bergotong- royong membersihkan maktabah dan kawasan sekitarnya sebagai persediaan menyambut Ramadhan yang bakal kunjung tiba tidak beberapa lama lagi.

JEJAK MAWADDAH SIRI 3,4 & 5 MENDAPAT SAMBUTAN

KAHERAH, 26 Julai- Unit Kebajikan HEWI KPT baru-baru ini telah berjaya mengadakan Jejak Mawaddah siri 3, 4 & 5 yang diadakan di tiga buah rumah ahli Mutazawwijin KPT Mesir.

Kediaman yang terpilih untuk dijejaki pada kali ini ialah kediaman Puan Umi Masmira binti Mat Ali; mantan Naib Pengerusi HEWI KPT, Puan Suhaibah binti Mustaffa dan Puan Aznina binti Abdul Aziz, memandangkan mereka akan pulang ke Malaysia tidak lama lagi, kerana sudah selesai sesi pengajian dan ada juga yang pulang untuk bercuti.


Dalam ziarah yang diadakan pada kali ini turut diadakan majlis yang diselitkan dengan pengenalan terhadap Program Jejak Mawaddah ini seterusnya sesi taaruf antara tuan rumah dan ahli-ahli HEWI yang baru, bagi mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain. Tidak ketinggalan, ucapan dari Naib Pengerusi HEWI, saudari Tengku Fatimah Tengku Hashim dan juga tuan rumah.


Saudari Tengku Fathimah juga sempat merakamkan jutaan terima kasih kepada tuan rumah atas kesudian menerima kunjungan ahli ke teratak masing-masing di dalam ucapannya. Beliau juga sangat teruja dengan sambutan dan kerjasama yang diberikan oleh ahli dalam rombongan yang begitu memberangsangkan. Ini membuktikan bahawa komitmen yang diberikan oleh ahli sangat tinggi.


Jazakumullahu khairal jaza' kepada seluruh warga kerja yang terlibat di dalam program ini secara langsung atau tidak. Siiru 'ala barakatillah.

JAULAH FAYYOUM : MENGERAT UKHUWAH, MENAMBAH PENGETAHUAN

KAHERAH, 23 JULAI – HEWI KPT Mesir di bawah kelolaan Unit Sambutan dan Rehlah telah berjaya mengadakan Jaulah ke Fayoum, setelah kebanyakan ahli telah selesai menghadapi peperiksaan fasa kedua mereka dan sebelum tibanya bulan tarbiyah; Ramadhan al-Mubarak. Ahli rombongan seramai 39 orang termasuk 4 musyrif itu bertolak dari Asrama Darul Iman sekitar jam 7 pagi dengan menaiki sebuah coaster dan sebuah tremco.

Antara tempat menarik yang dibawa melawat adalah Kincir Air Nabi Yusof a.s. yang mempunyai sejarah hebatnya yang tersendiri. Ladang mangga juga turut dikunjungi, memberi peluang kepada peserta untuk merasai suasana ladang sebenar seterusnya menikmati buah-buah mangga segar dari ladang.

Destinasi pertam yang dilawati, Kincir Air Nabi Yusof a.s.


ladang mangga yang sempat disinggahi, sebelum ke Wadi ar-Rayyan.


Perjalanan panjang itu diteruskan dan sempat singgah di Tasik Qarun yang memberi banyak pengajaran dan ladang bunga matahari; ladangnya meliputi bunga-bunga matahari yang besar, banyak dan cantik. Subhanallah. Kemudian terus bergerak ke air terjun di Wadi Arrayan; merupakan satu-satunya air terjun yang terdapat di Mesir, di tengah-tengah padang pasir panas terik dan kering kontang.

Tasik Qarun yang dikatakan tiada dasar.



ladang bunga matahari yang terbentang luas di tepi-tepi jalan sepanjang menuju Wadi ar-Rayan.

aliran air terjun, Wadi ar-Rayyan; menyejuk dan menenangkan.


Peserta rombongan masih bersemangat untuk meneruskan BBQ di destinasi akhir tersebut; air terjun, walaupun terasa penat dan letih berpanas seharian mengikuti jaulah. Majlis di Wadi Arrayan berakhir dengan jayanya walaupun terdapat pelbagai masalah di awal ketika mula tiba. Namun, semangat dan kesatuan yang kuat di kalangan semua peserta akhirnya memberi hasil yang baik kepada semua dan program ini.


Peserta juga sempat mendengar ucapan penutup daripada Naib Pengerusi HEWI KPT Mesir sesi 2010/2011 yang menekankan semangat berukhuwah di antara ahli tidak kira dari apa jua bidang samada pengajian Islam mahupun perubatan.

KPT MESIR BERSAMA BKKIMM ERATKAN KESATUAN

KAHERAH, 26 April – Pihak Pimpinan Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) telah menziarahi Pimpinan Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) di Rumah Melaka Baru.

Pertemuan singkat yang diketuai oleh Yang Dipertua KPT Mesir; Saudara Riduan bin Abu Bakar tersebut disambut baik oleh Pimpinan PMRAM Cawangan Melaka.


Turut serta dalam pertemuan tersebut adalah sebahagian AJKT KPT Mesir, antaranya Setiausaha; Saudara Abdullah Haris bin Zakaria, Ketua Biro Kebajikan; Saudara Mohd Farezuan bin Mat Azahar dan Ketua Biro Informasi & Penerbitan; Saudara Abdullah Amir bin Mohd Zabudin serta beberapa orang AJKT BKKIMM yang diketuai oleh Yang Dipertuanya; Saudara Harman bin Hassan.


Pertemuan tersebut diadakan sebagai tanda keprihatinan pihak KPT Mesir terhadap permasalahan yang berlaku dalam kalangan mahasiswa Melaka, khususnya BKKIMM sendiri sebagai persatuan yang menjaga kebajikan mereka.


“KPT Mesir amat cakna terhadap isu-su yang berlaku terutamanya tentang pencabulan hak mahasiswa dan kesatuan kita. Kita sentiasa berusaha mencari jalan untuk menyelesaikan permasalahan tersebut secara bersama”, ujar Yang Dipertua KPT Mesir ketika ditemui.

Pertemuan tersebut diakhiri dengan penyerahan sumbangan daripada PMRAM Cawangan Terengganu kepada PMRAM Cawangan Melaka.


“Pihak BKKIMM amat berbesar hati dengan kunjungan daripada pihak KPT Mesir”, ujar Yang Dipertua BKKIMM sebagai penutup pertemuan tersebut.


Pihak KPT Mesir mengucapkan jutaan terima kasih atas sambutan dan jamuan yang telah disediakan bagi menyambut kehadiran kami.


Semoga dengan pertemuan tersebut akan mengeratkan lagi hubungan ‘adik-beradik’ antara KPT Mesir dan BKKIMM seterusnya melangsungkan survival BKKIMM untuk terus maju pada masa akan datang.

Friday, July 29, 2011

TAHNIAH : PENASIHAT KPT LULUS DARUL IFTA'

Pihak Pimpinan KPT Mesir merakamkan jutaan tahniah dan sekalung penghargaan kepada Ketua Lembaga Penasihat KPT Mesir; Ustaz Rafzan bin Razak atas kejayaan beliau dalam Majlis Graduasi Darul Ifta’ Mesir baru-baru ini.


Ustaz Rafzan Razak merupakan Ketua Lembaga Penasihat KPT Mesir pada sesi 2010/2011. Beliau adalah antara puluhan penerima sijil penghargaan daripada pihak Darul Ifta’ Mesir pada majlis graduasi yang diadakan pada 26 Julai yang lalu.


Pihak Pimpinan KPT Mesir mengharapkan agar kejayaan ini menjadi salah satu contoh kepada ahli KPT agar lebih berusaha ke arah meningkatkan mutu akademik dari semasa ke semasa.


KPT Mesir juga menyeru seluruh ahli supaya sama-sama berdoa agar mendapat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan yang baru sahaja berakhir baru-baru ini.

Thursday, July 28, 2011

AHLI KPT DIMINTA MELAKUKAN SOLAT HAJAT

Pihak Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) menyeru kepada seluruh mahasiswa Islam untuk melakukan solat hajat “Selamatkan PMRAM dan Mahasiswa Mesir”.

Pihak KPT menyahut seruan yang telah dikeluarkan oleh Presiden PMRAM Pusat, Saudara Mohd Zuhaili bin Saiman yang telah disiarkan melalui web rasmi PMRAM.


Yang Dipertua KPT, Saudara Mohd Riduan bin Abu Bakar ketika diminta mengulas berkenaan isu yang sedang berlaku menegaskan bahawa usaha pihak-pihak tertentu untuk mengharamkan PMRAM adalah tidak bertanggungjawab dan tidak bertamadun.


Tambah beliau, hak mahasiswa juga tidak sewajarnya tidak digangu sehingga boleh melenyapkan masa depan mahasiswa Islam.


Pihak KPT Mesir bersedia mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak demi kebajikan dan masa depan mahasiswa Terengganu khasnya.


Semoga Allah taala memelihara PMRAM yang menjadi lambang penyatuan mahasiswa Malaysia di Mesir.

Wednesday, July 27, 2011

KULIAH JUMAAT : AKADEMI DAI'E MAHASISWI

KAHERAH, 22 Julai – Unit Dakwah HEWI KPT Mesir telah mengadakan satu program khusus bagi mahasiswi PMRAM cawangan Terengganu yang dinamakan Kuliah Jumaat dan insyaAllah akan berterusan setiap minggu pada hari jumaat. Kuliah yang bermula pada 7.oo pagi ini akan dibentangkan oleh barisan kepimpinan Hewi KPT Mesir secara bergilir pada setiap hari Jumaat berdasarkan kutaib yang dipilih oleh pembentang sendiri.


Program ini dilihat sebagai satu akademi dai'e bagi para mahasiswi bagi melatih dan melahirkan tenaga pengajar yang lebih ramai dari kalangan akhowat di samping memberi peluang kepada mereka menyampaikan ilmu yang telah dipelajari. Program ini juga diadakan bertujuan untuk manambahkan thaqafah ahli PMRAM cawangan Terengganu khususnya.


Kuliah Jumaat kali pertama dimulakan dengan pembentangan kutaib yang bertajuk Ukhuwah dan Berlapang Dada siri khutbah Ustaz Amru Khalid yang dibentangkan oleh Naib Pengerusi HEWI KPT Mesir, Saudari Tengku Fathimah binti Tengku Hashim.


Dalam kitab tersebut menceritakan tentang ukhuwah pada zaman Nabi Muhammad Sollallahu’alaihi wasallam yang boleh dilihat pada kaum Muhajirin dan Ansar yang sanggup mengorbankan harta benda untuk saudara seislam menunjukkan ukhwah mereka yang begitu tinggi. Pada akhir pembentangan beliau mengingatkan semua ahli PMRAM cawangan Terengganu khususnya untuk menjaga dan memantapkan ukhwah sesama ahli mahupun pimpinan.

Tuesday, July 26, 2011

ISU MAHASISWA : KPT MOHON AHLI ISI BORANG ADUAN


Pihak Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) menggesa ahli untuk menyalurkan maklumat dan membuat laporan bertulis terhadap permasalahan isu mahasiswa.

Menurut Ketua Biro Kebajikan KPT, Saudara Mohd Farezuan bin Mat Azahar bahawa KPT memandang berat terhadap permasalahan yang menimpa keatas mahasiswa mesir dikebelakangan ini.


Untuk itu, KPT berharap borang aduan mahasiswa dapat menjadi platform terbaik untuk mahasiswa mendapat pembelaan sewajarnya.


“Laporan secara bertulis amat penting untuk tindakan pihak KPT bagi membela kebajikan ahli” ujar beliau lagi.


KPT Mesir menyahut saranan PMRAM Pusat agar memperkasakan borang aduan tersebut dan berharap semua pihak memberikan kerjasama yang sebaiknya.


Untuk makluman, borang aduan tersebut boleh didapati dan diserahkan kepada:-

  • Ketua Biro Kebajikan KPT
    Saudara Mohd Farezuan bin Mat Azahar
    No Tel : 014 3877883
  • Ketua Unit Kebajikan KPT
    Saudari Shazazierra binti Sharif
    No Tel : 011 2871396

Saturday, July 23, 2011

DISKUSI KITAB : SUNTIK KESEDARAN MAHASISWA ISLAM

Kaherah, 21 Julai 2011 – Ijtima’ Usbu`ie Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) telah diadakan dengan mendiskusikan kitab “Risalah al-Azhar Bayna al-Ams wa al-Yaum wa al-Ghad”; karangan Dr. Yusuf al-Qaradhawi.


Ianya dianjurkan di bawah seliaan Biro dan Unit Akademik KPT Mesir yang diadakan di Dewan Darul Iman, Rumah Terengganu, Kaherah.


Kitab tersebut telah didiskusikan oleh Ustaz Ahmad Kamal bin Mansor yang merupakan mahasiwa Terengganu dalam jurusan master tahun 1, Kuliah Dirasat al-Azhar.


Majlis itu dihadiri oleh ahli-ahli KPT Mesir yang berada di sekitar Kaherah daripada pelbagai bidang akademik. Saudara Ailani bin Ruslandin telah mempengerusikan majlis sekitar jam 8.00 malam dengan bacaan al-Fatihah.


Antara perkara yang disentuh oleh pendiskusi adalah berkenaan dengan tanggungjawab mahasiswa Islam untuk menjadi pendakwah bagi menyeru masyarakat kepada Islam dan menyelamatkan umat dengan Islam.


Al-Azhar merupakan kiblat ilmu umat Islam yang melahirkan ramai ulama dan cendekiawan Islam di serata dunia. Antara tokoh-tokoh yang telah dilahirkan oleh al-Azhar ialah Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Dr. Muhammad Sa`ied Ramadhan al-Buty, Dr. `Ali Juma`ah dan ramai lagi.


Menurut pendiskusi, dalam kitab Risalah al-Azhar, pengarang menyatakan bahawa sekiranya al-Azhar ini tiada, maka masyarakat akan memandang material semata-mata tanpa agama Islam yang akan melahirkan pemikiran jahiliah zaman moden seperti sekular, liberal, orientalis dan sebagainya.


“Sesungguhnya al-Azhar adalah universiti, masjid dan persatuan; universiti untuk ilmu dan pendidikan, masjid untuk ibadah dan tarbiah dan persatuan untuk dakwah dan islah”, tiga asas penting yang dinyatakan oleh pengarang kitab.


Justeru itu, seluruh mahasiswa Islam tidak seharusnya mengenepikan tiga asas penting tersebut dalam mendepani arus globalisasi dan cabaran yang mendatang.


Majlis tersebut berakhir dengan sesi soal jawab dan penyampaian cenderahati oleh pihak KPT Mesir kepada pendiskusi sebagai tanda penghargaan.


Pihak KPT Mesir berharap agar majlis tersebut dapat meyuntik kesedaran dalam diri mahasiswa Islam terhadap kepentingan membina kekuatan thaqafah dan tanggungjawab melaksanakan amanah ilmu.


Semoga Allah Ta`ala memberikan hidayah kepada kita untuk terus istiqamah dalam menjayakan agenda perjuangan Islam yang dicintai ini.

PENYERAHAN MEMORANDUM KEPADA DATO' DUTA

KAHERAH, 22 Julai – Suara mahasiswa terus membentuk gelombang kesatuan mahasiswa yang mempetahankan hak daripada terus dicabuli tanpa sekelumit ihsan.


Pimpinan Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN),Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM),pimpinan PMRAM dan HEWI PMRAM juga turut bersama-sama dalam penyerahan memorandum kepada TYT Dato’ Duta Dr.Fakhruddin bin Abd Mokti yang diketuai oleh Saudara Nurudin Zanki bin Hamzah selaku Pengerusi Gerakan Solidariti Pertahan Hak Mahasiswa semalam.


Namun begitu, memorandum tersebut hanya boleh disampaikan kepada Encik Abdul Latif wakil kedutaan dan telah diberi jaminan akan memanjangkan kepada pihak Dato’ Duta Dr.Fakhruddin bin Abd Mokti dan Kementerian Pengajian Tinggi .


Kesungguhan pimpinan pelajar ini membuktikan kesungguhan hak mahasiswa dalam memperjuangkan hak mahasiswa agar tidak mudah diperkotak katikkan.

” Penyerahan memorandum ini adalah ekoran daripada penyerahan memorandum kepada Dato’ Seri Jamil bin Khir di Majlis Ramah Mesra bersama Anak Wilayah Persekutuan kelmarian yang enggan diterima dan meminta diserahkan kepada Dato’ Duta sendiri ” ujar Saudara Muhammad Zuhaili bin Saiman Presiden PMRAM 2011 .

Sumber : www.pmram.org

PMRAM KUNJUNGI KPT : ERATKAN JALINAN KERJASAMA

Kaherah, 21 Julai 2011 – Pihak pimpinan KPT Mesir telah menerima kunjungan daripada pihak pimpinan PMRAM Pusat yang diadakan di Dewan Darul Iman.


Yang Dipertua KPT Mesir; Saudara Mohd Riduan bin Abu Bakar ketika dalam pertemuan tersebut telah merakamkan ucapan terima kasih atas kunjungan tersebut.


Beliau juga turut menceritakan beberapa permasalahan dan isu yang berlaku serta tindakan yang telah diambil oleh pihak KPT Mesir dalam menyelesaikan permasalahan tersebut.


Dalam pertemuan tersebut, Naib Pengerusi HEWI KPT Mesir; Saudari Tengku Fatimah binti Tengku Hashim melahirkan rasa gembira dan mengalu-alukan kedatangan pihak PMRAM Pusat.


Presiden PMRAM; Saudara Zuhaili bin Saiman ketika menyampaikan ucapan penutup berharap hubungan antara pihak PMRAM Pusat dan pihak KPT Mesir terus kukuh yang diibaratkan seperti hubungan anak dengan ayah.


Pihak KPT Mesir berharap agar dengan pertemuan tersebut akan terus mengukuhkan hubungan demi menjayakan agenda kebajikan mahasiswa Terengganu khasnya.


Pertemuan tersebut diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh kedua-dua belah pihak sebagai tanda kenang-kenangan.

Friday, July 22, 2011

AHLI HEWI KPT MESIR MENGEMBARA KE PALESTIN

KAHERAH, 19 JULAI - Unit Sambutan dan Rehlah HEWI KPT baru-baru ini telah menganjurkan satu program "Pengembaraan Merentasi Bumi Palestin", selepas solat zohor secara berjemaah di Musolla Darul Iman. Program ini dibuka kepada semua ahli yang berminat dan telah mendapat sambutan yang baik daripada mereka.

Program ini dimulakan dengan tayangan berkaitan dengan nasib rakyat di Palestin kemudian diikuti dengan tayangan filem "Valley Of The Wolves Palestine 2011" yang diadaptasi daripada peristiwa Marvi Marmara yang cuba menghantar bantuan makanan kepada rakyat Palestin pada tahun lalu yang begitu menyayat hati. Ahli juga diajak merentasi bumi Mesir ketika peristiwa thaurah dengan beberapa tayangan video yang dapat membangkitkan semangat para pemuda pemudi di abad ini dan memberi seribu erti.

Selepas tayangan berakhir, beberapa orang ahli yang hadir diminta untuk memberi sedikit ulasan berkenaan dengan video-video yang telah ditayangkan. Naib Pengerusi HEWI, Saudari Tengku Fathimah binti Tengku Hashim juga diminta untuk memberikan kesimpulan akhir bagi program yang telah dijalankan. "Berada di dalam persatuan atau jemaah amat penting bagi kita umat islam untuk menjamin kebangkitan serta kemenangan Islam," kata beliau di dalam ucapannya. Beliau menekankan kepada semua ahli agar sentiasa berada di atas landasan perjuangan dan jangan sekali-kali mudah futhur dengan apa jua ujian yang datang.

Beliau juga berpesan kepada semua ahli agar peka dengan isu semasa dan menjuarai isu terutamanya berkaitan dengan isu umat islam seluruh dunia. Di akhir ucapannya, beliau mendoakan agar semua ahli diberi kejayaan bersama dalam peperiksaan yang dihadapi.

Program ini diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh Naib Pengerusi HEWI kepada 2 orang peserta yang datang awal dan beberapa orang yang telah memberi ulasan berkaitan dengan tayangan tersebut serta ucapan penutup daripada Ketua Unit Sambutan dan Rehlah (USR) HEWI KPT, Saudari Nursyazwani binti Jusoh.

"Setelah melihat mahasiswa kini semakin kendur sensitivitinya terhadap isu Palestin, maka HEWI KPT telah mengambil inisiatif untuk mengadakan program ini. Isu Palestin bukanlah isu rakyatnya semata-mata, tetapi merupakan isu umat Islam seluruhnya", ujar beliau di akhir ucapannya.


Wednesday, July 20, 2011

MALAM MAHABBAH KUKUHKAN WEHDAH

KAHERAH, 18 Julai 2011 – Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) dibawah seliaan Biro Kebudayaan, Keseniaan dan sukan telah berjaya menganjurkan Malam Mahabbah KPT.

Ianya telah berlangsung di Asrama kompleks Terengganu, Hayyu Asyier, Kaherah dengan kehadiran ahli KPT dari pelbagai bidang pengajian.

Majlis yang diadakan ini adalah bertujuan untuk mengeratkan ukhuwwah islamiyyah antara ahli KPT yang datang dari pelbagai lapisan dan meraikan setelah menghadapi peperiksaan fasa dua baru-baru ini.

Malam Mahabbah tersebut dimulakan dengan solat isya’ berjemaah serta solat hajat bagi mengadu serta memohon perlindungan dan kesejahteraan dari Allah taala untuk seluruh mahasiswa Mesir daripada pelbagai ancaman yang tidak diingini.

Sejurus selepas solat, satu liqa’ mahabbah antara mahasiswa dan saf kepimpinan HEWI KPT telah diadakan.Ketika di dalam liqa’ tersebut, HEWI KPT telah membuka peluang kepada semua ahli HEWI untuk memberikan sebarang cadangan atau muhasabah kepada kepimpinan HEWI KPT bagi sesi ini.

Di kesempatan itu juga, barisan HEWI telah memaklumkan beberapa aktiviti terdekat yang bakal menanti semua ahli sempena musim cuti kali ini.

Di akhir liqa' tersebut Naib Pengerusi HEWI,Saudari Tengku Fathimah binti Tengku Hashim telah melahirkan kebimbangan terhadap penindasan hak mahasiswa yang hangat diperkatakan kini.

Beliau menasihatkan mahasiswa agar sentiasa peka dan cakna dengan isu semasa disamping tidak mengabaikan tanggungjawab untuk mendalami ilmu Islam.


Setelah itu, majlis diteruskan dengan jamuan serta diadakan sedikit tayangan berkaitan dengan PMRAM, sejarah ARMA serta DPM dan lain-lain lagi.

Majlis pada malam tersebut berjalan dengan penuh muhibbah dan ceria. Ahli KPT juga telah memberikan respon yang sangat baik untuk diteruskan pada masa akan datang.

Pihak KPT Mesir mengucapkan sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih kepada AJK pelaksana dan semua ahli KPT yang hadir memeriahkan Malam Mahabbah KPT. Semoga segala komitmen dan usaha yang diberikan mendapat ganjaran yang sebaiknya dari Allah taala.

Monday, July 18, 2011

ISU HAK MAHASISWA, PMRAM MINTA SEMUA BERTENANG

KAHERAH,17 Julai – Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) menasihati dan mengingatkan semua mahasiswa Islam agar tenang dan tidak mengambil sebarang tindakan melulu berhubung isu hak mahasiswa yang berlaku baru-baru ini.

PMRAM sentiasa memantau dan mengikuti isu ini dan melihat isu hak mahasiswa ini sangat besar dan sedang panas di kalangan mahasiswa Islam di Mesir.

Selain itu, PMRAM meminta agar semua kes yang berlaku agar dapat dilaporkan secara bertulis ke peringkat PMRAM untuk tindakan susulan di peringkat PMRAM bagi kajian dan jalan penyelesaian.

“PMRAM sentiasa memerhatikan perkembangan isu ini dari semasa ke semasa dan kita melihat ia isu yang besar kerana melibatkan hak mahasiswa. Justeru, PMRAM menasihati mahasiswa Islam untuk tidak mengambil tindakan melulu dan menyerahkan tindakan kepada PMRAM untuk diselesaikan dengan cara yang terbaik,” ujar Presiden PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman.

KPT MESIR MENYERU MAHASISWA MEMANFAATKAN MUSIM CUTI

Alhamdulillah, imtihan fasal kedua bagi kebanyakan mahasisiwa Islam dibumi ambiya’, Mesir baru sahaja melabuhkan tirainya. Tentunya disana masing-masing sedang berkira samada mahu menghabiskan cuti di Mesir mahupun pulang ke Malaysia, disamping tidak kurang juga yang menggunakan peluang ini untuk menunaikan ibadah umrah dan mengisi pengajian talaqqi yang cukup banyak diadakan sementara berbaki tempoh untuk memasuki bulan Ramadhan al-Mubarak.

Telah berkata al-Imam As-Shafei rohimahullah “Waktu sekiranya engkau tidak menyibukkannnya dengan perkara yang hak nescaya ia akan menyibukkan kamu dengan yang batil”.

Bertititik tolak daripada itu maka pihak Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) berasa bertanggungjawab untuk mengadakan pelbagai aktiviti bagi memanfaatkan cuti mahasiswa kali ini khusus bagi mereka yang berada di bumi Mesir.

Antara aktiviti yang direncanakan bagi memanfaatkan musim cuti kali ini adalah seperti pengajian tafaqquh fiddin, pembentangan kertas kerja@kitab, seminar ilmuan, kejohanan bola sepak, kursus kemahiran dan rehlah ke destinasi bersejarah dan menarik sekitar Mesir.

Maklumat berkenaan dengan program-program yang dianjurkan KPT Mesir akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui sebaran iklan di web rasmi, facebook atau YM KPT.

KPT Mesir sangat komited menjayakan agenda untuk mencemerlangkan mahasiswa sejajar dengan matlamat penubuhannya dan tuntutan didalam agama Islam.

Diharapkan dengan penganjuran program-program seperti ini dapat memanfaatkan cuti dalam kerangka melahirkan mahasiswa yang berintegriti dan proaktif.

“KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKSHIAH”
“BERILMU DAN BERAMAL”

AHMAD SALIKIN BIN ABD RAHMAN
Timbalan Yang Dipertua,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT),
Sesi 2010/2011

Friday, July 15, 2011

10 TITIK KEBANGKITAN ISLAM DARIPADA ANGAN-ANGAN KEPADA REALITI

Sesungguhnya Allah SWT telah mengurniakan kita sebagai ummat Islam dengan kemuliaan Islam itu sendiri dan telah menjadikan Islam dan Iman itu sebagai sebagai dua nikmat yang paling terpuji sehinggakan Allah SWT telah mendedikasikan di dalam firmanNya di dalam surah Al-Maidah ayat 3 :

“Pada hari ini telah Ku-sempurnakan bagimu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam jadi agama bagimu”.


Maka, Allah SWT telah mewahyukan satu risalah yang penting kepada Nabi Muhammad SAW yang mana risalah tersebut merangkumi syari’at yang ditetapkan dan Baginda juga adalah penghulu kepada sekalian Nabi dan Rasul dan Al-Quran itu sebagai penghulu dan pemacu kearah kebangkitan Islam yang diturunkan oleh Allah SWT sebagaimana ummat Nabi Muhammad SAW sebagai rantaian kepada perjuangan Baginda SAW.

Sabda Rasulullah SAW: “Akan ada setiap seratus tahun seorang ketua yang akan menjadi pentajdid kepada ummat ini”.


Kita akan melihat pentajdid-pentajdid ini kadang-kadang muncul atas kesedaran individu, kadang-kadang secara berkumpulan atau kadang-kadang secara bermasyarakat untuk melaksanakan konsep pembaharuan kepada ummat ini.


Sebagaimana janji Allah SWT Al-Quran dan As-Sunnah itu tetap terpelihara, sebagaimana itu jugalah ummat Nabi Muhammad SAW akan diberi kemenangan dan kekuasaan di bumi ini. Walaupun mutakhir ini kita melihat musuh-musuh Islam tidak pernah lekang meguasai penjajahan terhadap negara-negara Islam tidak kiralah dalam bentuk serangan bersenjata atau serangan dalam bentuk pemikiran sebagaimana yang telah pada zaman ini.


Allah SWT telah menyatakan di dalam surah An-Nur ayat 55 :

“Dan Allah SWT telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan dia benar-benar akan menukar ( keadaan ) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersukutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik”.


Sebagaimana yang kita lihat tentang kebangkitan ini, ia adalah merupakan suatu kebangkitan yang mencakupi semua aspek iaitu kebangkitan dari segi akal dan pemikiran, hati dan jiwa, kehendak dan keazaman, perbuatan dan akhlak, kesedaran dan dakwah serta kesungguhan.


Dan sesungguhnya ia perlulah di aplikasikan melalui medium pendidikan dan ilmuan serta masyarakat, ekonomi dan politik sehinggalah kepada tentera-tentera dan ini apa yang dapat kita lihat di negara Palestin, Afghanistan dan di Kashmir serta beberapa buah negara yang lain.


Maka kebangkitan inilah yang perlu diadaptasikan supaya kegemilangan Islam itu akan dapat dikecapi kembali. Sebagaimana yang telah disebutkan oleh seorang Ulama Kontemporari masa kini, Al-Imam Dr Yusuf Al-Qardawi berkenaan sepuluh prinsip di dalam kitab beliau iaitu Kebangkitan Islam daripada angan-angan kepada realiti. Antara sepuluh prinsip tersebut ialah :


1) Daripada Konsep Luaran Dan Zahir Kepada Hakikat Dan Intipati

Prinsip pertama yang telah diperkatakan ialah manusia perlu mengubah persepsi mementingkan konsep luaran dan zahir kepada konsep hakikat dan intipati.


Sebahagian orang Islam hanya dikenali diukur melalui rupa dan bentuk bukan pada keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Kita perlu mengetahui bahawasanya keimanan seseorang itu akan menyelamatkannya daripada api neraka dan ia dikira layak untuk menduduki syurga Allah SWT serta akan memperolehi perlindungan dan rahmat Allah SWT di dunia.


Sebagaimana contoh, agama Islam itu adalah sebagai pegangan dan hakikatnya adalah mengesakan Allah SWT. Ibadat hakikatnya adalah mencapai ikhlas kepada Allah SWT, dan mu’amalat maka hakikatnya adalah kebenaran. Maka sesiapa yang memandang enteng terhadap perkara tersebut maka sesungguhnya dia telah menghilangkan atau melanggari konsep yang dikehendaki oleh Islam pada aspek akidah, ibadah dan mu’amalah.


Oleh sebab yang demikian keimanan dan ketaqwaan adalah hakikat sebenar kita diciptakan di muka bumi Allah SWT dan ia merupakan kunci yang sebenar dalam memandu hati orang-orang yang beriman dan memberikan cahaya serta sistem yang betul. Ia juga merupakan satu kekuatan peransang untuk mendorong manusia kepada melaksanakan amalan-amalan soleh dan berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan.

Allah SWT telah menyatakan : “Maka sesiapa yang beriman dengan Allah diberi petunjuk hatinya”. ( At-Taghabun : 11 ).


2) Daripada Konsep Perdebatan Dan Pertelingkahan Kepada Konsep Bekerja Dan Berkorban

Konsep seperti ini adalah antara ciri-ciri yang jelas dalam aspek keremajaan dalam kebangkitan Islam, iaitu bermalas-malas dalam berkata-kata atau banyak berkata-berkata atau bertelingkah yang tidak memberi sebarang manfaat berbanding konsep bekerja yang menghasilkan manfaat kepada manusia dan bumi.


Ia juga perlu dijauhi daripada membicarakan peristiwa-peristiwa lampau dan bermegah-megah akan perkara tersebut tanpa ada sebarang tindakan melalui perbuatan mahupun anggota tubuh badan yang mana perkara tersebut akan menjadikan peribadi seseorang muslim hari ini lebih baik dari semalam dan esok itu adalah lebih baik dari hari ini.


Allah SWT telah menyatakan : “Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada ( Allah ) Yang Maha Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan”.


3) Daripada Konsep Sentimental dan Emosi kepada Konsep Rasional dan Terbuka

Tidak menafikan akan emosi dan perasaan itu adalah sebahagian daripada kejadian dan keadaan manusia itu dan pastinya ia saling berhubung-kait dengan akal dan pemikiran manusia. Akal manusia adalah puncak kepada jasad dan tubuhnya dan ia juga merupakan kunci kepada perbuatan manusia yang waras.


Bahawasanya kemantapan akal pemikiran itu apabila kekuatan iman serta keikhlasan yang jitu menghiasi padanya. Inilah yang telah diungkapkan oleh As-Syahid Imam Hassan Al-Banna seorang pentajdid kepada kebangkitan Islam dalam risalahnya kepada pemuda. Akal yang membezakan manusia dan haiwan dan ia merupakan syarat yang telah dipertanggugjawabkan Allah SWT terhapad manusia.


Oleh yang demikian prinsip ini menerangkan kepada kita bahawa manusia tidak dituntut beremosi dan mengikut hawa nafsu bahkan apa yang dikehendaki adalah rasional dalam melaksanakan sesuatu perkara.


Allah SWT telah menyatakan di dalam Al-Quran akan pelbagai sifat sentimental yang mengikut landasan syariat dan ia merupakan satu kurniaan kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih sebagaimana di dalam surah Al-Anfal : 2 :

“Sesungguhnya orang-orang mukmin apabila disebutkan Allah SWT bergetar hati-hati mereka dan apabila dibacakan keatas mereka ayat-ayat Allah SWT maka bertambahlah iman mereka”.


4) Daripada Konsep Menumpukan Perkara Cabang Kepada Konsep Perkara Prinsip dan Asas

Sebagaimana yang telah berlaku sebahagian daripada kebangkitan Islam era moden iaitu pertelingkahan yang berlebihan terhadap perkara-perkara cabang seperti perkara-perkara sunat daripada perkara wajib, perkara yang makruh daripada perkara pengharaman kepada perkara prinsip, menyeluruh serta asas seperti kewajipan yang diperintahkan dan pengharaman bahkan dosa-dosa besar pada perkara-perkara yang dilarang.


Pertelingkahan kepada perkara-perkara cabang akan mendatangkan beberapa perkara yang bercanggah iaitu ia bersalahan dengan konsep yang sebenar Al-Quran dan As-Sunnah yang telah diturunkan selama 23 tahun dan telah juga menerangkan prinsip dan asas akidah dan akhlak serta amalan-amalan yang ditanam dalam jiwa dan pemikiran. Ini dapat dilihat pada konsep surah dan ayat yang diturunkan di mekah sebelum daripada hijrah Nabi Muhammad SAW.


Adapun mengenai konsep ayat dan surah yang diturunkan di Madinah ia menjuruskan kepada pelaksanaan dan pensyari’atan serta memperincikan lagi sistem yang berkaitan agama Islam.


Konsep perkara-perkara cabang ini juga tidak akan ada penghujung dan ia terlalu banyak dan juga terbatas pada kemampuan sebenar manusia.


5) Daripada Konsep Kesukaran dan Pengasingan diri Kepada Konsep Sederhana Dan Bermasyarakat

Allah SWT telah menyatakan di dalam firmanNya : “Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” ( surah Al-Baqarah : 185 ).

Ini adalah sebahagian contoh yang tercatat padanya di dalam Al-Quran yang mana ini adalah sebahagian perintah Allah SWT dan Allah SWT tidak membebankan sesuatupun terhadap hamba-hambanya sebagaimana ayat di atas. Nabi Muhammad SAW telah juga memerintahkan akan sekalian ummatnya supaya bermudah-mudah dalam perkara-perkara yang berkaitan dan tidak membebankan diri.


Ini dijelaskan lagi di dalam satu Hadis Baginda SAW yang mana ketika Baginda telah mengutuskan dua orang sahabatnya iaitu Muaz Bin Jabal Al-Anshori dan Abu Musa Al-Asy’ari ke Yaman supaya menjalankan kerja-kerja dakwah di sana.


Ini dijelaskan dalam suatu ungkapan yang ringkas dan memberi pengertian yang cukup jitu, iaitu sabda Nabi SAW : “Bermudah-mudahlah dan jangan memayahkan dan berilah berita gembira dan jangan mengasingkan diri serta ikhlaskan diri dan jangan membelakangi”.


6) Daripada Konsep Kebekuan Dan Mengikut Secara Melulu Kepada Konsep Penyelidikan Dan Pembaharuan

Kehidupan yang bercirikan Islam ketika berkembangnya tamadun kita adalah suatu kehidupan pembaharuan dalam kesemua aspek agama, ilmu, peradaban, perindustrian dalam kesemua lapangan kemajuan dan tamadun.


Maka bila mana terdapat perkembangan ilmu dan teknologi yang meluas ia menuntut kepada suatu pengkajian dan penyelidikan supaya hukum yang dikeluarkan bertepatan dengan tamadun serta peradaban yang ada sekarang.


Oleh yang demikian prinsip ini mendidik supaya meluangkan masa dan tenaga secara semaksima mungkin supaya kebangkitan Islam itu bukan lagi angan-angan, bahkan ia menjadi suatu realiti.


Terdapat beberapa perkara yang menjadi kesukaran dalam berijtihad sehingga menyebabkan kita bertaqlid, akan tetapi perkara-perkara ini bukanlah berterusan dan ia perlulah kembali kepada sumber-sumber yang utama iaitu Al-Quran dan As-Sunnah bukan berdasarkan kepada akal dan mengikut semata-mata.


Adapun mengenai As-Sunnah ia merupakan perincian dan pentafsiran kepada Al-Quran yang mana Al-Quran menerangkan secara umum dan akan diperincikan melalui Hadis Nabi Muhammad SAW. Allah SWT menyatakan:

“Dan Kami telah menurunkan Al-Quran untuk kamu menerangkan kepada manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka berfikir”. ( An-Nahl : 44 ).


Allah SWT telah menciptakan akal dan setiap yang waras mampu untuk berfikir luar daripada kotak pemikiran,akal juga mampu untuk mengkaji dan menyelidik sehingga mencapai kepada hakikat.


7) Daripada Konsep Fanatik Dan Terkunci Kepada Konsep Bertolak Ansur Dan Bebas.

Konsep fanatik sebagaimana yang diperkatakan ialah seseorang manusia itu dikunci pemikirannya tertumpu kepada pemikiran tertentu tanpa ada sikap bertolak ansur bagi dirinya iaitu ruang berbicara tentang perselisihan dalam permasalahn akidah atau pemikiran atau pada permasalahan fiqh atau politik dan tidak ada juga sikap tolak ansur dalam menasihati terhadap dirinya. Bahkan menganggap pandangannya itu adalah betul yang tiada padanya itu sebarang kepincangan dan juga menganggap pandangan selainnya adalah salah dan terdapat kepincangan padanya.


Oleh yang demikian inilah diantara fanatik yang sangat dikeji dan ia merupakan fanatik secara membuta tuli terhadap akidah atau pegangan atau pemikiran atau pandangan atau masyarakat dan sebagainya. Allah SWT telah menyatakan terhadap utusanNya :

“Maka berpeganglah kamu dengan yang telah diwahyukan kepada kamu, sesungguhnya kamu berada di jalan yang benar”. ( Az-Zukhruf: 43 ).


Ini juga diceritakan di dalam Al-Quran tentang perbuatan fanatik sesama mereka dalam berhadapan dengan dakwah Nabi Muhammad SAW : Firman Allah SWT : “Mereka berkata :Hati-hati kami berada dalam tutupan (yang menutupi) apa yang kamu seru kami kepadanya dan di telinga kami ada sumbatan dan antara kami dan kamu ada dinding, maka bekerjalah kamu, sesungguhnya kami bekerja pula”. ( surah Fusshilat : 5 ).


8) Daripada Konsep Melampau Batas Kepada Konsep Bersederhana

Konsep Islam terhadap ummat Islam adalah pertengahan iaitu seumpama jalan yang lurus, dalam setiap lapangan dan konsep pertengahan ini adalah semua perkara dalam akidah, dalam ibadah, dalam akhlak, dalam mu’amalah dan pensyari’atan yang menjauhi konsep berlebihan dan melampaui batas.


Tidak akan wujud kebangkitan Islam yang berealiti kecuali di sana terdapat kesedaran terhadap prinsip ini iaitu membina dengan konsep pertengahan dan bersederhana yang tidak akan memberi sebarang kerugian.


Adapun hal berpaling daripada konsep bersederhana kepada konsep melampaui batas ini telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadis Baginda iaitu : “Jauhilah kamu dalam melampau-lampau terhadap agama, maka sesungguhnya kaum yang telah binasa sebelum daripada kamu adalah disebabkan berlebih-lebih dan melampau dalam agama”. Hadis ini menerangkan tentang faktor kepada kebinasaan ummat terdahulu.


9) Daripada Konsep Keganasan Dan Kebencian Kepada Konsep Kasih Sayang

Sesungguhnya sistem dakwah Islam adalah berkonsepkan kepada kasih sayang dan berkasihan dan jauh sekali ia berkonsepkan kepada kebencian dan keganasan. Allah SWT telah menyatakan di dalam firmanNya :

“Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan kebijaksanaan serta bantahlah mereka dengan cara yang baik”. ( surah An-Nahl : 125 ).


Maka para Rasul dan utusan Allah SWT telah melaksanakan kerja-kerja dakwah secara berhikmah dan berkasih sayang dan berakhlak dengan akhlak yang terpuji.

Daripada Aisyah R.A katanya : “Sesungguhnya Allah SWT adalah penyayang dan Dia sukakan akan sifat penyayang, dan Dia mengurniakan sifat penyayang itu sebagaimana Dia tidak mengurniakan sifat berdendam dan Dia tidak mengurniakan apa yang menyalahi sifatNya”.


10) Daripada Konsep Pertelingkahan Dan Percanggahan Kepada Konsep Penggabungan

Sesungguhnya perpecahan dan percanggahan itu adalah sesuatu wabak dan penyakit yang berbahaya yang telah disebut oleh Rasulullah SAW sebagai “penyakit ummat” iaitu kebencian dan kedengkian (Telah menjalar kepada kamu penyakit ummat daripada sebelum kamu : Dengki dan Benci, benci adalah pengikis dan Aku tidak mengatakan pengkikis kepada rambut, akan tetapi pengkikis agama).


Bahkan ia telah menjatuhkan akan negara Islam yang agung sebelum daripada ini. Allah SWT telah mengingatkan para RasulNya melalui firmanNya :

“Dan janganlah kamu berbantah-bantah, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu”.


Sabda Nabi Muhammad SAW : “Janganlah kamu berbantah-bantah, sesungguhnya orang-orang sebelum kamu mereka suka berbantah-bantah maka mereka telah binasa”.


Ringkasan Kitab dan Terjemahan : AS-SOHWAH AL-ISLAMIYAH MINAL MURAHAQAH ILA RUSD – KEBANGKITAN ISLAM DARIPADA ANGAN-ANGAN KEPADA REALITI (DR YUSOF QARDHAWI)


Penterjemah : MOHD ZAINULLAH MOHD PAUZI

Disediakan oleh:
LAJNAH DAKWAH DAN PEMBANGUNAN INSAN PMRAM 2011

Thursday, July 14, 2011

Program Kembara Diteruskan | Jejak Mawaddah Kembali Lagi

Program Kembara HEWI KPT Mesir; Jejak Mawaddah (JM) diteruskan lagi ke siri 3, 4 & 5 selepas dihentikan sementara waktu kerana memberi laluan kepada Peperiksaan Fasa Dua baru-baru ini. Sebelum ini, JM sempat menerjah teratak Puan Maryam Rani di Hayyu Sabi' bagi siri 1, dan siri 2 di kediaman Puan Rusiah Yunos, berhampiran Kompleks Darul Iman cuma.

JM siri 3, 4 & 5 kali ini pula, ingin membawa ahli menziarahi ahli HEWI KPT Mesir yang telah berkahwin, yang tinggal di sekitar Hayyu Asyier ;

-JM siri 3 : Puan Umi Masmira Mat Ali (15 Julai 2011 / Jumaat)
-JM siri 4 : Puan Aznina Abdul Aziz (17 Julai 2011 / Ahad)
-JM siri 5 : Puan Suhaibah Mustaffa (19 Julai 2011 / Selasa)


Dijemput kepada semua ahli untuk bersama memeriahkan program kembara dan ziarah kali ini. Sila berkumpul di lobi jam 4.30 petang.

Kerjasama yang diberikan, didahului dengan ucapan terima kasih.

Sunday, July 3, 2011

WANITA PENGHUNI NERAKA

Suatu hal yang pasti bahawa syurga dan neraka adalah dua makhluk yang Allah Ta'ala ciptakan. Syurga diciptakan-Nya sebagai tempat tinggal abadi bagi orang mukmin dan neraka sebagai tempat tinggal kaum musyrikin dan pelaku dosa yang Allah Ta'ala telah melarang dari melakukannya.

Setiap muslim yang mengerti keadaan syurga dan neraka tentunya sangat berharap untuk menjadi penghuni syurga dan terhindar jauh dari neraka, inilah fitrah. Allah Ta'ala memberi peringatan di dalam Al-Quran tentang neraka dan azab yang tersedia di dalamnya dan memerintahkan untuk memelihara diri daripadanya. Allah Ta'ala telah berfirman yang bermaksud :
"Hai orang-orang yang beriman peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (At-Tahrim : 6)

Imam Ath-Thabari Rahimahullah menyatakan di dalam tafsirnya : Ajarkanlah kepada keluargamu amalan ketaatan yang dapat menjaga diri mereka dari neraka." Kedahsyatan neraka juga dinyatakan Rasulullah S.A.W di dalam hadith sahih dari Abu Hurairah R.A. bahawasanya Rasulullah bersabda : "Api kalian yang dinyalakan anak oleh cucu Adam ini hanyalah satu bahagian dari 70 bahagian neraka Jahannam." (Shahihul Jami' 6618)

Mengenai wanita penghuni neraka, Rasulullah S.A.W. bersabda : "Aku melihat ke dalam syurga maka aku melihat kebanyakan pendudukya adalah fuqara' (orang-orang fair) dan aku melihat ke dalam neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penduduknya adalah wanita." (HR Bukhari dan Muslim). Hadith ini menjelaskan kepada kita apa yang disaksikan Rasulullah S.A.W tentag penduduk syurga yang majoritinya fakir miskin dan neraka yang majoriti penduduknya adalah wanita. Di dalam hadith lain pula dinyatakan sebab-sebab kebanykan wanita adalah penghuni neraka.

Di dalam kisah gerhana matahari yang Rasulullah S.A.W dan para sahabat melakukan solat gerhana padanya dengan solat yang dengan solat yang panjang, Rasulullah S.A.W. melihat syurga dan neraka. Ketika baginda melihat neraka baginda bersabda kepada sahabat Radiallahu'anhum : "..... dan aku melihat neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kbanyakan penduduknya adalah wanita. Sahabat pun bertanya : " Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?" Baginda S.A.W. menjawab : "Kerana kekufuran mereka." Kemudian ditanya lagi : "Apakah mereka kufurkepada Allah?" Baginda menjawab : "Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik terhadap salah seorang diantara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai), nescaya dia akan berkata : "Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu" (HR Bukhari)

Dari Imran bin Husain dia berkata, Nabi S.A.W. bersabda : "Sesungguhnya penduduk syurga yang paling sedikit adalah wanita." (HR Muslim dan Ahmad)

Imam Qurthubi Rahimahullah menjelaskan hadith di atas dengan pertanyaan : "Penyebab sedikitnya kaum wanita yang masuk syurga adalah hawa nafsu yang menguasai diri mereka, kecenderungan mereka kepada kesenangan dunia dan berpaling dari akhirat kerana kurangnya akal mereka dan mudahnya mereka untuk tertipu dengan kesenangan dunia yang menyebabkan mereka lemah untuk beramal. Kemudian mereka juga penyabab yang paling kuat untuk memalingkan lelaki dari akhirat disebabkan adanya hawa nafsu dalam diri mereka, kebanyakan dari mereka memalingkan diri mereka dan selain mereka dari akhirat, cepat tertipu jika diajak kepada penyelewengan terhadap agama dan sulit menerima jika diajak kepada akhirat."

Jika kita melihat hadith dan keterangan di atas dengan saksama, nescaya kita akan dapati beberapa sebab yang menjerumuskan kaum wanita ke dalam neraka bahkan majoriti penduduknya dan yang menyebabkan mereka menjadi minoriti dari penghuni syurga. Antara sebabnya ialah wanita kufur terhadap suami dan kebaikan-kebaikan suaminya. Rasulullah S.A.W. bersabda : "Allah tidak akan melihat kepada wanita yang tidak menyukuri apa yang ada pada suaminya dan tidak merasa cukup dengannya." (HR Nasa'i)

Hadith di atas adalah peringatan keras bagi wanita mukminah yang menginginkan redha Allah Ta'ala dan syurga-Nya. Maka tidak selayaknya bagi wanita yang mengharapkan akhirat untuk mengkufuri kebaikan-kebaikan suaminya dan nikmat-nikmat yang diberikannya dan banyak mengadukan hal-hal kecil yang tidak patut untuk diperbesar-besarkan. Jika demikian keadaannya maka sangat tepat jika wanita yang kufur terhadap suaminya serta kebaikan-kebaikannya dikatakan Rasulullah S.A.W. sebagai majoriti kaum yang masuk ke dalam neraka walaupun mereka tidak kekal di dalamnya. cukup kiranya isteri-isteri Rasulullah S.A.W. dan para sahabiyah sebagai suri tauladan bagi isteri-isteri kaum mukminin dalam mensyukuri kebaikan-kebaikan yang diberikan kepada suaminya.

Antara sebab lain kebanyakan wanita dimasukkan ke dalam neraka ialah tabarruj. Apa dimaksud engan tabarruj ialah seorang wanita yang menampakkan perhiasannya dan keindahan tubuhnya serta apa-apa yang seharusnya wajib untuk ditutupi dari hal-hal yang dapat menarik syahwat lelaki. Hal ini kita dapati dari sabda Rasulullah S.A.W. tentang wanita-wanita yang berpakaian tapi hakikatnya telanjang disebabkan pakaian mereka yang terdedah.
Rasulullah S.A.W bersabda :"... dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang, melenggok-lenggokkan kepala mereka kerana sombong dan berpaling daripada ketaatan kepada Allah dan suaminya, kepala mereka seakan-akan seperti bonggol unta. Mereka tidak masuk syurga dan tidak mendapatkan wanginya syurga padahal wanginya bisa didapati dari jarak perjalanan sekian dan sekian." (HR Muslim)

Ubnul 'Abdil Barr menjelaskan Hadith tersebut dengan menyatakan : "Wanita-wanita yang dimaksudkan Nabi S.A.W. adalah yang memakai pakaian yang tipis yang membentuk tubuhnya dan tidak menutupinya, maka mereka adalah wanita-wanita yang berpakaian pada zahirnya dan telanjang pada hakikatnya.." Mereka adalah wanita-wanita yang suka menampakkan perhiasan mereka, padahal Allah Ta'ala telah melarang hal ini di dalam firman-Nya yang bermaksud :
"Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan-perhiasan mereka." (An-Nur :31)

Rasulullah S.A.W sendiri menyatakan di dalam hadith shahih bahawa fitnah yang paling besar ditakuti lelaki adalah fitnah wanita. Hanya dengan ucapan dan rayuan seorang wanita mampu menjerumuskan lelaki ke dalam lembah dosa dan hina terlebih lagi jika mereka bersolek dan menampakkan di hadapan kaum lelaki. Ayuh hayati dan renungi sabda Rasulullah S.A.W. : "Dunia ini adalah perhiasan, sebaik-baik perhiasan dunia itu adalah wanita yang solehah." (Riwayat Muslim). Wallahu'alam.